TANPA teragak-agak, Christopher Lee membatalkan semua janji temunya pada hari itu sebaik sahaja menerima panggilan telefon yang tidak disangka-sangkanya. Dia mundar-mandir di dalam pejabatnya menantikan kedatangan janji temu baharu yang baru dibuat secara spontan sejurus panggilan paling jarang berlaku dalam hidupnya.
Christopher Lee berpaling ke arah pintu saat mendengar ketukan perlahan dan menjawabnya dengan membenarkan susuk tubuh di sebalik pintu masuk. Setiausaha yang membuka pintu mempersilakan pemuda yang seingatnya sudah empat tahun tidak bertemu. Tanpa berlengah, dia meluru ke arah pemuda itu. Bukan setakat berjabat salam, malah dipeluknya pemuda tinggi lampai itu.
Sebaik sahaja kedua-duanya duduk di sofa, setiausaha Christopher Lee masuk semula dengan menyorong troli yang dipenuhi aneka kudapan dan minuman. Bersulam senyuman manis, dia mempersilakan mereka untuk menjamu selera.
"Pak cik gembira betul dapat panggilan Burhan malam tadi. So good to see you again. You look good, life must be good ya?" Christopher Lee terus menuangkan air ke dalam dua cawan yang tersedia.
Boon mengangguk dengan senyuman tidak lekang di bibir sedari menapak ke dalam pejabat yang cukup luas itu. Satu persamaan ketara Christopher Lee dengan arwah ayahnya adalah pejabat itu turut dipenuhi beberapa rak buku yang tersusun rapi buku-bukunya. Kedua-dua sahabat itu ulat buku. Digelar belangkas dek berkepit dengan buku dan selalu bersama-sama sepanjang di institusi pengajian tinggi.
Sehinggakan masing-masing sudah berkeluarga, tetap mereka memanjangkan silaturahim walaupun berbeza pegangan akidah. Christopher Lee terus-terusan menjadi sahabat sejati kepada Nolan Chua Abdullah.
"Maafkan saya, pak cik. Dah lama sungguh tidak berhubung dengan pak cik. Tiba-tiba hubungi terus nak jumpa pak cik pula hari ini." Boon memulakan bicara dengan rasa bersalah.
"Jangan risaulah, Burhan. Pak cik tak ambil hati pun. Bila-bila masa Burhan nak datang jumpa pak cik, pak cik sentiasa ada masa. Burhan tahu kan pakcik pernah cakap pada Burhan yang pak cik anggap Burhan macam anak sendiri. Nampak banyak betul bawa buku ni. Ni bukan buku-buku ayah?" potong Christopher Lee.
Mata Boon tertala pada tangan Christopher Lee yang sudah meraba-raba pada beberapa buku yang dibawanya bersama. Salah satu buku itu diangkat kemudian diselak lembarannya.
"Ayah kamu suka betul berdebat dengan pak cik hinggakan sekecil-kecil perkara pun dia mahu berfikir dengan kritis. Ada masa pak cik layankan juga, tapi kebanyakan masa pak cik bersetuju saja sebab tak mahu dia meleret. Tapi, dia cukup marah dengan pak cik yang berpura-pura bersetuju sebab dia tak nak pak cik mengalah begitu saja dengan hujah-hujahnya. Kamu ni sebenarnya Burhan, banyak mirip personaliti ayah kamu."
Boon berhenti menyudu puding yang enak lalu diletakkan semula ke dalam piring. "Papa kurang bercakap dengan saya."
Christopher Lee tersenyum bukan untuk bersimpati, tetapi sudah lama mengerti akan ketegangan yang sekian lama wujud antara dua beranak itu. Manakan tidak jika personaliti kedua-duanya yang berprinsip dan sukar dipengaruhi itu ada pada diri dua beranak ini.
"Ayah kamu pernah beritahu pak cik, dia mengagumi ketegasan kamu dan nyalarasa kamu yang kuat akan sesuatu yang kamu perjuangkan. Itu sebab pak cik selesa memanggil kamu Burhan sebagaimana ayah kamu panggil kamu sebegitu."
"Sampai saya keliru. Papa panggil saya Burhan, mama panggil saya Boon. Cikgu-cikgu sekolah panggil saya Helmi. Saya ditertawakan sebab mata sepet berwajah Cina, tapi berkulit sawo matang seperti Melayu."
Christopher Lee meletakkan semula buku yang dipegangnya lalu ditenung anak mata Boon dalam-dalam.
"Burhanuddin Helmi... kamu ke mari pasti ada sesuatu yang mahu kamu bicarakan. Pak cik boleh meneka pasti berkait dengan ayah kamu, bukan?"
Boon mengelus perlahan. Seperti ayahnya, lelaki di hadapannya ini juga mampu membaca fikiran walau dia sedaya upaya cuba menyembunyikan.
"Kenapa papa suka sangat membaca buku-buku sejarah Cina? Bukankah dia telah dibuang oleh bangsanya sendiri setelah mengahwini mama? Kenapa bersusah payah untuk memahami susur galur keturunan hatta mengkaji asal usul bangsa Cina?" soal Boon pelik.
"Bukankah melupakan dan menghindarkan adalah lebih baik setelah dikecewakan bangsa sendiri malah dipulaukan kerana mengikut pendirian sendiri?" lanjut Boon.
Dalam tidak sedar, suara Boon meninggi kerana telalu beremosi saat dia meluahkan segala yang terbuku selama ini.
"Atas sebab itukah kamu tidak sependapat dengan ayah kamu?" Christopher Lee menebak.
"Dari segi pendapat apa yang pak cik maksudkan?" Boon menyoal balas.
"Maafkan ayah kamu kerana bercerita dengan pak cik tentang kamu. Katanya, kamu kurang bersetuju dalam banyak hal. Terutama tentang ayah kamu yang masih mementingkan tradisi orang Cina. Asalkan tidak bercanggah dengan agama Islam. Dia akan pastikan tindak-tanduknya dalam banyak perkara berpandukan gaya hidup orang Cina. Contoh paling ketara, cara dia bangunkan perniagaannya ini. Strategi berniaganya, menjurus cara orang Cina berniaga. Jadi, dia beranggapan kamu enggan menerajui tinggalan legasinya ini kerana sedari awal kamu tidak betah dengan tradisi orang Cina. Kamu..."
"Jika papa terlalu mementingkan tradisi orang Cina, kenapa papa memilih mama sebagai suri hatinya?" celah Boon tanpa sempat Christopher Lee menghabiskan ayatnya.
Meletus ketawa Christopher Lee
"Kuasa cinta, Burhan. Kuasa cinta menjadikan manusia berkesanggupan."
"Saya kasihankan mama, pak cik. Sudahlah dibuang keluarga suami, keluarga sendiri pula tidak merestui. Papa lebih pentingkan membina semua ini. Semua ini! Tapi, kenapa keluarga yang perlu membayar harga untuk semua ini?" bentak Boon.
"Untuk mendapatkan sesuatu sememangnya ada harga yang perlu dibayar, Burhan. Itulah yang dinamakan pengorbanan. Arwah ayah kamu memilih semua ini untuk beri kesenangan kemudian hari pada keluarganya. Masa terpaksa dikorbankan. Dia yakin, apa yang dia lakukan tidak sia-sia kerana dia tahu anak-anaknya akan diasuh dengan baik."
Serta-merta Boon teringat ibunya yang sentiasa berada di sisi dirinya juga abangnya, Fateh dan adiknya, Rabiatul Adawiyah. Namun, hatinya masih menggerutu tidak puas hati dengan sikap ayahnya yang tidak mengendahkan dirinya setiap kali dicemuh dan diejek kerana dikatakan berbeza. Melalui fasa-fasa membesar dengan figura seorang ayah yang kerap tiada. Ibunya yang banyak menguruskan hal ehwal rumah tangga dan kebajikan dia tiga beradik. Pernah juga terlintas dalam kepalanya, adakah sebab itu abangnya menjauhkan diri dengan bermastautin di luar negara.
Dalam pada Boon berteleku di meja cuba untuk menenangkan diri, dia tidak menyedari Christopher Lee sudah berganjak ke rak bukunya kemudian mengeluarkan beberapa buah buku.
"Sudah tiba masanya buku-buku ini dimanfaatkan oleh seseorang yang sebetulnya ulat buku seperti pemilik asalnya," ujar Christopher Lee menyuakan tiga buah buku kepada Boon.
Boon menyambutnya dengan wajah tanda tanya.
"Ayah kamu yang beri pada pak cik, sebab pak cik pun sama macam ayah kamu, minat mengkaji ketamadunan manusia," sambungnya lagi.
Boon mahu berkata sesuatu, tetapi kerongkongnya semacam tersekat.
"Asal usul kita Burhan jangan sesekali dilupai. Walau ke mana kita pergi, kita adalah refleksi generasi sebelum ini," bisik Christopher Lee, memahami apa yang bergolak dalam jiwa pemuda itu.
Boon masih berdiam dan sekadar merenung buku yang baru diterimanya.
"Tujuan kamu ke mari adalah kamu mahu menyelusuri dan memahami semuanya yang telah berlaku menerusi kaca mata ayahmu, kan?" Christopher Lee cuba menebak.
Wajah polos yang sudah bertakung air mata itu sekadar mengangguk.
YOU ARE READING
BIBLIOMANIA
Mystery / ThrillerBoon Helmi, seorang Pempengaruh Media Sosial sedang mengalami kemorosotan populariti. Boon tercari-cari topik yang boleh mengembalikan zaman kegemilangannya. Dia tidak mahu menjadi penghibur klise yang mencetuskan kontroversi. Keberuntungan menyebel...