Dug! Dag! Dug! Dag!
Jantung berdegup kencang tatkala anak mata menangkap gumpalan asap hitam keluar dari kereta berjenama Honda Civic yang sedang dilahap api. Pintu kereta dikuak luas, dengan seragam polis yang dilekapkan pada tubuh dia melangkah keluar dari perut kereta Audi R8 miliknya. Kemudian, dia lantas bergegas ke tempat kejadian.
Telefon pintar dan dompet ditinggalkan di dalam kereta, enjin kereta masih tidak dimatikan, pintu kereta terkangkang luas. Dapat dilihat dengan jelas, bukan? Dia langsung tak endahkan itu semua lagi. Apa yang penting, keselamatan mangsa. Apabila cinta menguasai diri, seseorang individu sanggup mengorbankan apa sahaja, bahkan nyawa sendiri.
Laju kaki dihayun dengan harapan dapat melepasi garisan bomba. Namun, nasib tak menyebelahi diri. Tatkala dia mencuba untuk cerobohi garisan bomba, bahunya pantas ditarik oleh seorang lelaki tua. Dapat dilihat dari seragamnya, lelaki tua itu merupakan seorang anggota Polis Di Raja Malaysia.
"Get lost from me!" Bentaknya. Membuatkan mata-mata yang berada di situ lantas melirik ke arahnya. Tatkala itu, anggota-anggota polis yang lain sudah menayangkan riak hairan. Tidak pernah mereka lihat jejaka itu bertindak sebegitu rupa.
Setahu mereka, jejaka itu hanyalah seorang Inspektor yang bersikap acuh tak acuh. Membalas persoalan-persoalan yang dilontarkan hanyalah dengan mengangguk dan menggeleng, manakala suara dikunci rapat dalam kerongkong. Bahkan, jika dia ditegur oleh sebarang wanita, dia akan menganggap wanita itu tak wujud sama sekali. Singkat kata, dia tak gemar melengahkan masa untuk wanita sembarangan.
Gamaknya kalau dia keluarkan suara, emas akan keluar berhamburan dari mulutnya.
Sejenis yang tidak melayan, sehinggakan dia menjadi gosip panas di antara perbualan rakan sekerja. Sesetengah orang menganggap jejaka itu menyukai lelaki. Tetapi sebenarnya, itu semua hanyalah rekaan oleh makhluk berhati busuk.
Sejak kecil dia diajar agar menghormati wanita. Kerana taat akan ajaran kedua orang tuanya, dia memilih untuk tidak melayani wanita sama sekali. Dia juga tahu, para wanita cepat terjatuh hati. Tambah lagi, dia tak suka menaruh harapan dan ditaruh harapan.
Tetapi, jangan sangkakan perangai sedingin kutub ais tiada yang sedang bertakhta di hati. Dia sudah bertunang dan majlis perkahwinannya akan berlangsung tak lama lagi. Namun, tunangnya ditimpa malang. Gadis itu mengalami kemalangan jalan raya. Kerana itulah dia meraung seperti sekarang.
Walaupun anggota-anggota bomba sedang memadamkan api yang marak itu, dia masih risau akan keadaan tunangnya.
"Calm down, Arman! She's will be alright!" Ujar lelaki tua tadi, dikenali sebagai Jeneral Hasyim. Ujaran tersebut sekadar untuk menenangkan sang teruna. Walhal, dia sendiri tak percaya jikalau mangsa masih bernyawa. Dengan keadaan api yang semakin marak, apakah pemandu masih selamat? Bahkan, cat kereta pun telah terhakis dek api.
Kasar nafas dihela, tak percaya akan kata-kata itu. "Be alright? Just look at her car! Rentung, Jeneral!" Tengking jejaka itu. Bercucuran air mata membasahi pipi, sebak.
Mendengarkan itu, Jeneral Hasyim turut sebak. Pundak Arman digosok-gosok, menyalurkan semangat supaya jejaka itu terus tabah dengan ujian yang menimpanya. Rasanya jikalau Jeneral Hasyim tiada di situ, pasti lutut Arman sudah longlai tak mampu berdiri. Selain bapanya, atasannya itulah yang banyak memberikan dia semangat.
"Serahkan kepada Tuhan, Arman. Calm down... cover your emotional."
Lantas, air mata diseka dengan belakang tangan. Seperti yang diarahkan, dia berserah sepenuhnya kepada Tuhan. Dia hanya mampu berdoa di dalam hati, berharap agar cinta sejatinya masih bernyawa.