BAB 2

2.4K 59 1
                                    

KERUSI ditarik keluar dari bawah meja sambil tangan kiri meletakkan beg tangan di atas meja. Kemudian, dia melabuhkan punggung di atas kerusi itu. Nasi lemak yang masih terbungkus di dalam plastik dia capai, manakala Nasi Goreng yang sedia terhidang di atas meja dia tolak ke tepi. Tak ingin dia nak merasa air tangan si perampas.

Dua pasang mata yang sedang memerhatikan tingkahnya tak dia hiraukan. Tergeleng-geleng kepala lelaki tua yang bergelar bapa kandungnya tatkala melihatkan perangai anak daranya itu.

“Biasanya... kamu suka nasi goreng.” Tuan Dais bersuara tanpa memandang anak gadisnya; mata difokuskan pada nasi goreng yang sedang dia jamu.

Gadis yang sedang membuka bungkusan Nasi Lemak itu tergendala perbuatannya. Sambil posisi kepala menghadap hidangan pagi, pandangan melebar ke wajah lelaki tua itu. “Tukar selera.”

Mendengarkan itu, Tuan Dais tak beriak apa-apa. Bukannya dia tidak tahu, isteri dan anak kandungnya itu bagaikan anjing dan kucing. Pantang bertentang mata, silap hari bulan rumah jadi tongkang pecah.

“Mengada-ngada. Matahari dah terpacak baru reti nak bangun. Cuba kau tengok si Mawar tu, pagi-pagi buta lagi dah bangun, dan kau pula, Rose? Kalau macam inilah perangai kau, aku tak rasa yang Farish akan bertahan lama dengan kau. Nanti, kalau dia cari perempuan lain, kau jangan berputih mata.” Sindir si ibu tiri, also known as perampas! Bibir wanita tua itu mengoyak senyum sinis.

Perasaan kesal terbit di dalam diri, menyesal dia satukan Farish dengan anak tirinya. Kalaulah anak kandungnya belum berkahwin, pasti dia sudah satukan Farish dengan Mawar. Mawar merupakan anak kandungnya dan anak tiri kepada Tuan Dais. Manakala, Rose anak kandung Tuan Dais dan anak tiri kepada wanita tua itu, Puan Farida.

“Kalau Farish cari perempuan lain sekalipun, yang ruginya makcik, bukan Rose. Maklumlah, makcik kan tengah mengidam harta mamat tu...” Bidas Rose. Panas membahang hati Puan Farida tatkala mendengarkan itu.

“Beginilah budak bila tak dapat ajaran dari mak, kan? Kurang ajar, tak reti nak hormat orang tua, tak sedar diri. Kau dengan arwah mak kau sama saja, dua-dua tak kenang budi.” Sinis Puan Farida. Tak hiraukan sang suami yang sedang berlabuh di sebelah.

“Farida.” Tuan Dais bersuara, dia rasa sindiran itu berlebihan. Puan Farida lantas terdiam, seketika dia merasa cemburu di saat lelaki tua itu cuba membela anaknya.

Sambil mengunyah nasi lemak, hati tak henti mengutuk wanita tua yang sedang berlabuh di hadapannya tika ini. Anak mata pula lincah memainkan peranan, sedari tadi menjeling-jeling susuk tubuh tua itu dari atas ke bawah. Sesekali dia menayangkan senyuman terpaksa tatkala lelaki tua yang sedang berlabuh di samping wanita tua itu melirik ke arahnya.

Ikutkan hati, mahu saja aku tarik sanggul orang tua bersaka ni.

Sudahlah sanggul tinggi tak ubah punuk unta.

Tahi lalat sebesar bas, macam manalah abah boleh terpikat.

Kutukan demi kutukan dilepaskan dalam hati, bukannya dia tak berani keluarkan melalui mulut, dia cuma hormat akan bapanya.

Suapan terakhir disuakan ke mulut. Licin sahaja plastik lutsinar itu, dia terus bangun dari berlabuh lalu mengorak langkah ke arah singki sambil membawa segumpal plastik lutsinar.

Plastik lutsinar itu dibuang ke dalam tong sampah. Kemudian, dia membuka pili air, terlihat cecair jernih mengalir keluar dari pili air tersebut. Dipicit sedikit pencuci tangan yang terletak di sisi singki lalu diratakan ke seluruh permukaan kulit tangan. Setelah itu, dia membilas tangannya sehingga bersih.

Usai membasuh tangan, dia mengatur langkah ke arah meja makan untuk mengambil beg tangannya. Dia bercadang untuk keluar mencari ketenangan memandangkan majlis pernikahannya akan berlangsung tak lama lagi. Kalau bukan kerana bapanya, tidak ingin dia berkahwin dengan pilihan ibu tirinya itu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: 3 days ago ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Dia, Mr. Bee!Where stories live. Discover now