BAHAGIA ITU MUSNAH

350 17 1
                                    

PROLOG

"NI semua salah abang! Banyak kali Deja cakap baik macam mana pun dia, jangan percaya seratus peratus. Tapi abang tak pernah dengar cakap Deja. Mentang-mentang dia kawan abang dari kecik, abang percaya dia. Tengok apa yang dia dah buat pada kita. Macam mana kita dengan anak-anak nak hidup sekarang?"

"Deja! Kepala abang ni dah sarat dengan masalah, Deja jangan nak tambahkan masalah abang lagi."

"Masalah apa lagi yang tak settle? Semuanya dah berakhir. Hidup kita dah takde apa-apa. Semuanya dah musnah sebab kebodohan abang! Sekarang ni Deja dengan anak-anak yang jadi mangsa. Deja nak cerai."

"Khadeja!"

Memandang luar tingkap, air mata mula gugur membasahi pipi seorang anak kecil yang berusia 10 tahun. Suara orang dewasa bertengkar buat kedua tangannya naik menutup telinga. Berharap suara itu tidak lagi didengar.

Ini kali pertama dia lihat ibu dan papa bergaduh besar.
Sejak lima bulan lalu, kebahagiaan keluarganya musnah angkara seseorang. Setiap malam dia dengar ibu dan papa bergaduh.

Hari ini kemuncaknya. Lima jam yang lepas mereka sekeluarga keluar dari banglo mewah yang dihuninya sejak kecil bersama beberapa buah bagasi.

"Bila abang dah bankrap, terus Deja nak lari tinggalkan abang? Mana sayang dan cinta Deja pada abang? Lupa ke selama ni apa yang abang buat untuk Deja dan anak-anak?"

"Deja tak pernah lupa. Sebab tu Deja nak cerai sebab Deja tahu abang takkan mampu bagi Deja dengan anak-anak kemewahan lagi. 11 tahun abang...abang yang ajar Deja dengan anak-anak hidup mewah. Anak-anak tak pernah hidup susah. Tapi sekarang, tengok! Abang nak bawak kami balik kampung duduk rumah peninggalan yang dah berapa tahun terbiar tu. Deja tak sanggup. Hantar Deja balik rumah parents Deja!"

Hud Zaalan yang duduk di kerusi belakang makin menikus apabila ibunya tiba-tiba menjerit. Apabila ibu toleh belakang pandangnya, Zaalan telan air liur. Dia takut lihat wajah bengis ibu.

"Along..."

Panggilan itu buat Zaalan menunduk. Adiknya Huda, yang baring atas pahanya bangun dengan wajah mamai.

"Huda takut..."

"Jangan takut. Along ada." Lembut Zaalan memujuk lalu ditarik Huda ke dalam pelukan.

"Lapar..."

"Huda tahanlah. Along pun lapar." Kali terakhir makanan masuk mulutnya pagi semalam. Dia masak sebungkus maggi yang dikongsi dengan Huda. Sekarang sudah lebih 24 jam dia tidak makan. Hanya sekadar minum air.

"Nak nasi..."

"Uish..." Bibir Zaalan muncung apabila melihat Huda mahu menangis. Tidak mahu tangisan adiknya buat ibu dan papa marah pada mereka. Teringatkan sesuatu, Zaalan meraba poket seluar. Sebaik dapat, dikeluarkan Apollo chocolate lalu dibuka plastik. "Makan ni..."

"Yeah..."

Senyum Zaalan apabila melihat Huda yang kegembiraan. Rambut adik kesayangannya digosok lembut.

"Percayalah pada abang. Kita mula dari bawah."

"Deja dah tak nak fikir apa-apa. Yang Deja nak, abang ceraikan Deja."

"Ibu...ibu..." Tidak sempat melihat Huda makan Apollo chocolate, Zaalan terpaksa buka mulut apabila melihat ibu tiba-tiba memukul badan papa. Pantas dia ke tengah sambil menahan tangan ibu.

"Deja apa awak buat ni? Jangan jadi gila!"

"Berhenti. Deja nak turun."

"Ibu...." Tangisan Zaalan pecah apabila kereta mula ke kiri ke kanan. Bergabung dengan tangisan Huda buat suasana dalam kereta mula kecoh. Papa sudah tidak fokus pada pemanduan apabila sebelah tangan cuba menahan tangan ibu. Melihat muncul kenderaan lain, mata makin terbeliak.

Pon ponnn...

Dumn...

Gelap. Zaalan tidak nampak apa-apa. Keadaan yang bising tadi serta merta jadi sunyi. Bau yang kurang menyenangkan buat dia tersedar. Seluruh tubuh terasa sakit. Beberapa kali pejam dan buka mata akhirnya dia dapat kembali penglihatannya. Walaupun tidak jelas, cukup dia tahu dia bukan lagi berada dalam kereta. Dirinya terbaring atas tanah.

"Adik...adik okay ke?"

Suara yang tidak dikenali menyapa telinga. Zaalan tidak peduli apabila matanya memandang kereta papa yang terbalik. Kaku seluruh tubuh melihat papa dan ibu yang berlumuran darah tidak sedarkan diri. Huda. Dia tidak nampak huda.

Mana adiknya?

"Ibu..." Perlahan memanggil apabila Zaalan melihat ibu celik mata. Dapat dia lihat bibir ibu bergerak seolah-olah mahu mengatakan sesuatu. Diheret kaki yang luka mendekati kereta apabila ibu cuba angkat tangan seolah-olah memanggil dia.

"Jangan pergi sana dik, bahaya!"

Lengannya yang dipegang buat langkah terhenti. Zaalan tolak tangan itu. Dia harus pergi selamatkan ibu, papa dan Huda. Tak sanggup melihat muka ibu yang sedang menahan sakit saat ini.

"Lepaslah." Terlepas saja pegangan, Zaalan berlari terhinjut-hinjut akibat kakinya yang turut cedera.

Selangkah...dua langkah...

Bunyi letupan kuat buat Zaalan kembali terdampar ke tanah. Bayangan api yang marak buat dia angkat muka bersama kerutan di dahi. Seluruh badan menahan sakit yang makin mencengkam.

"Ibuuu!!!" Air mata jatuh apabila melihat kereta papa terbakar. Digagahkan diri untuk bangun tapi baru selangkah Zaalan kembali jatuh lalu pandangannya bertukar gelap.

HUD ZAALAN : THE HEARTLESS HUSBANDWhere stories live. Discover now