Prolog: Kelahiran

103 11 5
                                    

Kota Jenggala,

WAN KALSOM memerhatikan dada langit yang diselubungi kegelapan. Jamung yang menerangi kamar meliang-lintuk mengikut aliran angin yang bertiup. Perutnya yang memboyot, diusap-usap. Peluh berjejeran membasahi wajahnya.

Di 'atas' sana, situasinya sedang riuh rendah. Para malaikat sedang menerawang, menyebut-nyebut tentang anak di dalam kandungannya.

Selaku seorang manusia, perasaan gerun kini mengalir ke segenap urat sarafnya. Buat kesekian kalinya, dia telah menyaksikan salah satu fenomena kekuasaan Allah SWT di hadapan matanya sendiri.

"Allah ... Allah ... Allahuakbar," desisnya kesakitan.

Wan Kalsom terjelopok, wajahnya berkerut hebat menahan sakit kerana hendak bersalin. Tiang berhampiran lantas dicapai, dicengkam sekuat-kuatnya menyaingi deru nafas yang kian kencang berombak.

Tanpa sedar, dia telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Tangisan bayi terus memecah kesunyian. Wan Kalsom terus membawa anaknya ke dalam dakapan. Dia telah melahirkan tanpa sempat memanggil bidan untuk membantu menguruskannya.

Wanita itu merafak syukur atas kurniaan cahaya mata berkenaan. Malah, dia turut bersyukur kerana anaknya tidak tercampak jauh ke tujuh lapis bumi sejurus keluar dari rahimnya. Sekiranya hal demikian berlaku, pasti sama kisah kelahiran anaknya seperti kisah Tunku Malim Deman sewaktu dilahirkan dahulu.

"Subhanallah ... anak kita sudah dilahirkan?" Syed Idris terjengul wajahnya di muka pintu. Dia yang baru sahaja selesai mengerjakan solat sunat tahajud, terus meluru ke kamar apabila terdengar suara rengekan bayi.

🔹🔹🔹

Sementara itu,

'DUNIA GELAP' menjadi huru-hara ibarat dilanda taufan.

"Apa sebenarnya yang telah berlaku?" soal seorang perempuan berkelubung hitam menerusi perhubungan firasat.

"Ramalan kita tentang itu, sudah menjadi nyata!" jawab satu suara ghaib.

"Apa perlu kita lakukan sekarang?"

"Bersiap sedialah. Memandangkan kau berada hampir dengan Kota Jenggala, maka aku amanahkan tugas ini kepada kau. Selesaikan mereka habis-habisan."

"Baiklah."

Pisau dicapai. Telapak tangan kirinya dilukai sebelum darah yang menitis, ditumpahkan ke dalam sebuah bekas. Mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu.

Darah ditumpah, nyawa dipertaruh. Pertembungan antara dua dunia bakal tercetus.

Arjuna Dharmabakti 1: Melerai SumpahanWhere stories live. Discover now