Bab 6: Pendekar Muda

23 2 1
                                    

Tiga tahun berselang,

PETANG itu redup, lagi menyenangkan. Bau segar pokok-pokok dan hutan belantara menambah bening. Sujana dan Arjuna bersama-sama melakukan regangan otot dengan berlari sejauh dua batu. Kemudian, memanjat pokok yang menjulang tinggi hingga ke puncak untuk memperkuat tangan dan kaki.

Kesungguhan Syed Arjuna jelas terpamer. Desah nafasnya langsung tidak diiringi keluhan apabila sering dikerah melakukan latihan yang berat.

Di sebelah malam seusai mengerjakan solat fardhu Isyak secara berjemaah di mesegit, barulah latihan bermula.

Malam itu, cahaya jamung menerangi halaman rumah Tok Guru Meor yang dijadikan gelanggang latihan. Arjuna dan murid-murid lainnya diajar cara memanfaatkan senjata-senjata asli pada anggota tubuh untuk membela diri dan membalas serangan musuh.

Hal itu merangkumi kaedah pukulan dan tangkapan supaya lawan dapat ditumbangkan tanpa menggunakan sebarang senjata.

Kaedah membuka buah kuncian serta teknik membuat serangan balas yang lebih rapi dan berbahaya turut sama menjadi pelajaran mereka pada latihan malam itu.

"Ilmu persilatan ialah kuasa. Kuasa itu tanggungjawab. Sama ada kita bertanggungjawab atau tidak, itu pilihan kita. Tetapi, apa yang dipilih itu ada kesan dan akibatnya." Tok Guru Meor mengucapkannya ketika duduk melepas lelah di bawah pokok ketapang, dikelilingi anak-anak didiknya.

"Dan kita perlu bertanggungjawab terhadap kesan dan akibatnya. Jika kita berani melakukannya, maka kita perlu berani menanggungnya juga," sambung Tok Guru Meor.

"Sebelum latihan pada malam ini berakhir, ayuh kita saksikan pertembungan antara Arjuna dan Khaliq. Dipersilakan ke tengah-tengah gelanggang."

"Arjuna, praktikkan apa yang kau telah pelajari selama ini. Cuba gunakan sebaik-baiknya. Inilah peluang untuk kau menguji kekuatan ketua kita. Kau boleh, aku pasti!" bisik Sujana memberi rangsangan semangat.

Arjuna mengukir senyum sebelum mengangkat punggung, melangkah ke tengah-tengah gelanggang diikuti oleh Khaliq. Kedua-duanya bersalaman sebelum saling menjauhi antara satu sama lain.

Sebagai mukadimah, bunga tari berkeris dibuka, dipersembahkan oleh Khaliq di tengah gelanggang yang dikelilingi oleh jamung-jamung yang meliuk-lentok apinya. Setiap gerak-gerinya mempamerkan kegagahan, kelincahannya dalam berpencak silat.

Keris disisip ke dalam sarungnya lalu diletak di atas sebongkah batu sebelum dia kembali ke tengah gelanggang. Buat kesekian kalinya dia berpencak silat, kali ini bertangan kosong. Arjuna ikut serta, mempersembah bunga tari setiap kali Khaliq menghentikan pergerakannya. Mencipta rentak yang kemas dan teratur. Memukau di mata-mata yang menyaksikannya.

"Sudah bersedia?" Khaliq menyoal.

Arjuna menarik nafas, sedalam-dalamnya sebelum dihamburkan secara lembut. "Aku sudah bersedia."

Pertarungan bermula. Mereka saling tangkis-menangkis serangan dan tendang-menendang. Kedua-duanya sama jaguh ibarat buku bertemu ruas. Arjuna melompat sedikit sebelum melayangkan tendangan. Khaliq lantas membongkok mengelak serangan itu.

Khaliq menyerang balas, tumbukannya ditahan. Arjuna mencengkam leher lawannya dengan kedua-dua belah tangan sebelum menghadiahkan tendangan ke perut lawan dengan lututnya. Lalu, kaki Khaliq dikilas hingga tubuh lawannya itu tumbang menyembah tanah.

Arjuna berundur sedikit ke belakang lalu berkedudukan sedia. Sengaja dia membiarkan Khaliq dengan tidak menyerangnya setelah dijatuhkan. Khaliq lantas bangkit dengan cara 'lentik ulat'.

Pertempuran kembali disambung. Masing-masing hanya menumpukan segenap perhatian ke arah perlawanan. Meskipun mulai kelelahan, Arjuna dan Khaliq masih liat untuk mengalah. Itu kerana kemenangan akan diperolehi sekiranya seseorang pesilat itu berjaya mengunci mati lawannya.

Arjuna Dharmabakti 1: Melerai SumpahanWhere stories live. Discover now