Bab 5: Kembali ke Rahmatullah

20 3 0
                                    

SANG mentari memancar terik menyimbahkan cahayanya ke muka bumi. Suasana di tanah perkuburan Islam Kampung Seluang Baung diselubung hiba. Masyarakat yang hadir, mengelilingi liang lahad yang telah digali. Jenazah Wafiq yang telah disembahyangkan, menanti masa untuk dibawa turun.

"Khaliq," seru Tok Guru Meor.

Mendengarkan itu, Khaliq menengadah memandang gurunya. Dia mengangguk, memahami maksud disebalik pandangan yang disuakan. Tok Guru Meor mengangkat jenazah Wafiq, dicembung lalu diserahkan kepada Khaliq di dalam liang lahad.

"Bismillah wa'ala millati rasulillah," lafaz Khaliq.

Perlahan-lahan dan lemah-lembut, jenazah Wafiq diletakkan dalam posisi menghadap kiblat. Khaliq melepaskan ikatan tali sebelum dibuka kain yang menutupi muka jenazah adiknya. Seketul tanah, diletakkan di bawah hidung.

Khaliq mencapai sekeping papan yang dihulurkan kepadanya. Ditutup jenazah Wafiq sebelum melompat meninggalkan liang lahat. Penimbunan kubur dimulakan dengan memasukkan tiga genggaman tanah, dilanjutkan dengan penimbunan hingga selesai. Batu nisan, dipacakkan setelah liang lahad siap dikambus.

Tok Guru Meor menepuk bahu anak muridnya, menyalurkan kekuatan. Khaliq membalasnya dengan memaniskan wajah meskipun hambar.

"Sebelum aku membacakan talqin, kuingin mengatakan bahawa talqin pada hakikatnya adalah peringatan dan pengajaran buat kita semua yang berada di sini. Hal ini supaya kita menyedari bahawa kematian dan janji-janji Allah SWT itu adalah pasti. Jika diizinkan oleh Allah SWT, jenazah yang telah berada di dalam kubur ini juga pasti akan mendengar peringatan yang disampaikan," ucap Khaliq dengan lantang.

Kesepian menyambar suasana, para hadirin memasang telinga dengan tekun untuk mendengar talqin yang bakal dibacakan oleh Khaliq. Intipati bacaan talqin mengandungi peringatan, amaran, pengajaran dan kesedaran bahawa kehidupan dunia tidak akan kekal, akhirnya semua makhluk akan menemui penciptanya iaitu Allah.

Kematian Wafiq agak menyedihkan buat ahli keluarganya, namun mempunyai hikmah yang tersendiri. Dia adalah seorang budak yang suka melakukan onar, agak nakal dan sukar/mencabar untuk dididik. Bahkan ada yang berfirasat Wafiq menjadi anak derhaka apabila dewasa kelak.

Adik kedua Khaliq yang sedang dikandungkan oleh ibunya sekarang, didoakan supaya menjadi anak yang baik yang mampu berbakti kepada ibu bapanya kelak sekiranya firasat itu adalah benar.

"Walau bagaimanapun, kami tetap menyayangimu. Tenanglah kamu di sana wahai anakku, Wafiq." Ibunya menggumam sendirian. Matanya merenung tepat memandang pusara anak keduanya.

Wanita itu menjadi insan terakhir yang melangkah meninggalkan pusara Wafiq.

🔹🔹🔹

SYED IDRIS berlari sambil mendukung anaknya di dalam hutan, menyelamatkan nyawa daripada seorang penyihir tua yang sedang mengejar di belakang.

"Berlarilah seribu batu sekalipun, budak itu tetap akan jatuh ke tanganku juga!"

Tangan kanannya mengunjur ke hadapan, ditala ke arah sasaran. Akar menjalar muncul dari tanah lalu meluncur pantas menangkap kaki Syed Idris. Sebelah kakinya terbelit. Lelaki itu terhumban jatuh, Syed Arjuna terlepas daripada dukungan. Nyaris tergelincir jatuh dari curam bukit.

Si penyihir menyeringai lebar. Dari kejauhan, dia mengangkat kedua-dua belah tangannya sebelum dua bilah pisau kecil berapungan di atas telapak tangannya. Disasarkan ke arah mereka.

"Ayah!" Syed Arjuna berteriak ketakutan.

"Minta maaf, Arjuna. Ayah terpaksa!" Syed Idris menolak anaknya hingga terjatuh dari curam bukit. Pisau yang meluru laju di udara, merodok rakus tubuh lelaki berkenaan.

🔹🔹🔹

ARJUNA tersentak, terjaga daripada mimpi. Dadanya berombak laju. Dia bangkit daripada pembaringan secara melunjur. Bergementaran jari-jemarinya. Peluh dingin membasahi wajahnya.

"Astagfirullah al azim ...," ucapnya.

Bergelintar matanya mengamati sekeliling. Dia berada di dalam sebuah kamar, berseorangan diri. Di sekelilingnya terdapat beberapa biji mangkuk dan tembikar kecil yang penuh dengan segala ramuan herba dan ubat-ubatan. Salah satunya berisi madu tualang.

"Aku ... aku di mana?" soalnya sendirian.

Wajahnya berkerut halus tatkala merasakan kepedihan pada tubuhnya. Arjuna perlahan bangkit sebelum menilik diri, keseluruhan tubuhnya yang terluka dilumur dengan cairan herba. Kakinya juga. Hanya sehelai seluar pendek separas lutut yang tersarung pada tubuhnya, sekadar menutup aurat dari pusat hingga lutut.

"Alhamdulillah, akhirnya kamu sudah sedar."

Arjuna menoleh ke arah pintu yang sedang terbuka. Tok Guru Meor melangkah masuk ke dalam kamar tersebut, lalu melabuhkan duduk di sebelah budak itu.

"Siapa namamu, wahai budak?" tanya Tok Guru Meor ingin tahu.

"Arjuna," jawabnya memperkenalkan diri.

"Kupula Meor, kebiasaanya dipanggil Tok Guru Meor. Tetapi, kamu boleh sahaja memanggilku ayahanda."

Arjuna mengangguk perlahan. Tok Guru Meor mengukir senyuman tipis melihat tingkah yang diserlahkan budak itu.

"Tidak mengapa, mungkin kamu agak janggal denganku buat masa sekarang. Apa yang penting sekarang, kamu selamat berada di sini. Lagipun, kamu adalah yang paling parah kecederaannya berbanding budak-budak yang lain. Berehatlah. Aku akan terus memantau keadaanmu."

Memandangkan budak itu sudah terjaga, Tok Guru Meor menyediakan ubat untuk diminum bagi merawat kecederaan di bahagian dalaman badan.

"Minum campuran herba ini, untuk merawat kecederaan dalam tubuhmu." Tok Guru Meor menghulur mangkuk daripada kelapa tua yang dibelah dua menggunakan parang itu kepada Arjuna.

"Baiklah," sahut Arjuna seraya menyambut mangkuk berkenaan. Tanpa bertangguh, disua ke bibir. Meskipun kepahitan menyentuh indera rasa, Arjuna menggagahkan jua dirinya untuk menelan hingga titisan terakhir.

"Sekiranya kamu terasa loya, muntahkan sahaja. Barangkali ada racun yang tersuntik ke dalam tubuhmu ketika dililit akar berduri sebelum ini." Tok Guru Meor memaklumkan.

"B-bagaimana dengan yang lain?"

"Ada yang sudah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Namun, salah seorang sudah terkorban. Jenazahnya juga sudah selamat dikebumikan sebentar tadi."

"Ya, aku dipaksa melihat dia disembelih ketika itu. Tetapi ... mereka yang terselamat sepertiku beruntung kerana masih memiliki keluarga. Aku sudah kehilangan ibu dan ayah. Kedua-duanya mati dibunuh oleh seorang penyihir."

"Penyihir berupa nenek kebayan pada malam itukah yang membunuh mereka?"

"Setiap kali kami diserang, dia menyamar dalam pelbagai rupa. Berkemungkinan besar nenek kebayan adalah penyamarannya pada kali ini. Itulah sebab mengapa aku diseksanya dengan kejam sekali. Mujurlah, nyawaku masih terselamat."

"Kamu perlu bersedia, Arjuna. Sampai masa, dia akan menyerang lagi. Kamu boleh menjadi anak muridku sepanjang berada di sini. Insya-Allah, ilmu agama dan ilmu kependekaran sakti akan menjadi fokus utama. Bersiap sedialah."

"Dan ... antara keluarga Sujana dan keluarga Khaliq, masih belum ditentukan yang mana bakal menjadi keluarga angkatmu. Berkenalanlah dengan mereka kelak. Sampai masa, Allah akan menggerakkan hatimu untuk memilih keluarga angkat yang terbaik."

"Keluarga angkat?"

"Ya. Sebenarnya, Ayahanda bermimpi didatangi oleh seorang lelaki pada malam tadi. Dia telah menceritakan serba sedikit mengenaimu. Kami sudah tahu bahawa kamu adalah anak yang terbuang dari kota kelahiran sendiri. Justeru, alangkahbaiknya jika kamu dikurniakan kasih sayang berkeluarga sepanjang berada di sini. Walaupun tidak sama dengan keluarga kandungmu, mudah-mudahan ini dapat mengubati rindumu terhadap mereka."

Lidah Arjuna bagai dikelukan oleh sesuatu kuasa. Dia tidak tahu hendak membalas apa.

Arjuna Dharmabakti 1: Melerai SumpahanWhere stories live. Discover now