Bab 7: Misteri Belum Terungkai

12 0 0
                                    

MALAM seusai solat fardhu isyak, Khaliq mengajak Arjuna ke penjara yang menjadi tempat tahanan penjenayah-penjenayah yang berjaya ditangkap. Jika bernasib baik, mereka akan ditahan sehingga penyiasatan kes selesai. Sekiranya tidak, melingkuplah sehingga detik hukuman dijatuhkan.

Kawasan itu agak terpencil dan jauh dari lokasi tumpuan awam. Setibanya di sana, didapati Sujana telah berada di penjara tersebut. Para pengawal yang lengkap bersenjatakan tombak, berlegar-legar di sekitar.

"Kau bawa Arjuna bersama?" Sujana mengerutkan raut wajahnya.

"Ya, atas saranan ayahanda untuk tujuan didikan serta pengalaman," kata Khaliq, serius nadanya.

Sujana lantas mengerti. Dia sudah sedia maklum mengenai amanah yang diberikan kepada mereka untuk bersama-sama 'mempersiapkan' Arjuna. Demi agama dan tanah air tercinta, mereka memikul tanggungjawab itu dengan penuh berdedikasi dan bertakwa.

"Ayuh, kita masuk. Jangan buang masa lagi," ajak Khaliq.

Mereka bertiga menyusun langkah, melewati pintu gerbang utama. Ekor mata Arjuna berkelintaran, memerhatikan bangunan batu yang suram. Cahaya kekuningan daripada jamung yang digantung pada dinding menerangi laluan mereka. Kurungan-kurungan di sebalik tembok batu ini majoritinya tidak berpenghuni, kecuali satu kurungan yang menempatkan 'lelaki amuk' yang berjaya ditumpaskan oleh Khaliq sebelum ini.

Sesampainya di hadapan kurungan yang dituju, 'lelaki amuk' dilihat tidak mempedulikan kehadiran mereka. 'Lelaki amuk' duduk bersandar pada dinding, melunjur kaki seraya menyilang tangan di atas dada. Dia tampak begitu kusut. Emosi yang merauti wajahnya memberitahu bahawa ada sesuatu yang sedang menyerabutkan kepalanya. Menganggu ketenangan dan ketenteraman jiwa. Semuanya angkara kegagalan sebuah misi.

"Mengapa kau menghamburkan amukan di pasar sebelum ini? Hilangkah kewarasan kau pada masa itu?" Picu mulut Khaliq melepaskan das tembakan soalan itu kepada 'lelaki amuk'.

Peluru soalan yang cukup menyontak jiwa, mendorong kerlingan tajam daripada 'lelaki amuk'. Lantas melompat bangun, giginya bergemeretak menahan marah yang membuak-buak, mendekati pintu pagar. Sekiranya tiada halangan itu, pasti sudah diterkamnya Khaliq bagai harimau menghambur mangsa.

"Sepatutnya kau bertanya kepada dia mengapa dengan senang hatinya dia mengagalkan misiku! Aku meredah hujan dan panas, membanting tulang empat kerat untuk menyelesaikan misiku. Tetapi akhirnya, sia-sia bagai mencari sungai yang tiada berhulu!" bentak 'lelaki amuk'.

Khaliq menghela segugus nafas melewati rengkungannya. Dia berusaha untuk kekal bersabar.

"Sewaktu hari kejadian, aku terdengar kau berteriak dengan mengatakan kau menanggung penyesalannya akibat kegagalan misi itu. Apa yang telah kau gadaikan sebenarnya untuk menyertai atau menjayakan misi berkenaan?" sampuk Arjuna, menyoal siasat dengan lebih lanjut.

"Kalian tengoklah sendiri!"

'Lelaki amuk' melemparkan sebuah bebola cahaya yang bersinar garang, menyasarkan pancaindera mata mereka. Arjuna, Khaliq dan Sujana lantas melindungi mata dengan telapak tangan. Sekonyong-konyongnya, jisim tubuh mereka meringan. Sekujur tubuh mereka bertiga disaluti cahaya sebelum pecah menjadi serpihan halus, terbang merata bagai segenggam debu yang ditiup angin. Sirna ditarik ke dimensi lain.

🔹🔹🔹🔹🔹

MEREKA muncul terapung beberapa kaki di satu kawasan yang penuh dengan pepohonan dan semak-samun. Bunyi sandal terkersik pada tanah menandakan graviti telah selesai menarik jasad mereka ke lantai bumi.

Arjuna bangun seraya menepuk pakaiannya, membuang debu tanah yang melekat diikuti oleh Khaliq dan Sujana.

"Kita berada di mana?" tanya Sujana.

Arjuna Dharmabakti 1: Melerai SumpahanWhere stories live. Discover now