Bab 3: Nyawa Yang Terkorban

37 7 1
                                    

NENEK KEBAYAN mengeluarkan pisau belati dan buyung tanah untuk menjayakan upacara pada malam purnama penuh itu. Leher kesemua mangsa korbannya akan disembelih, lalu darah yang mengucur akan dikumpulkan.

Tujuh darah yang menyatu menjadi satu akan digunakan untuk membasahkan dirinya menjelang upacara itu kelak.

Selama ini, dia tidak pernah berputus asa untuk memperoleh semula kekuatan kuasanya yang hilang. Sisa kuasa yang dimiliki menyebabkan banyak tenaganya mudah terhakis apabila digunakan, serta menyebabkan rupa dan usianya tiga kali ganda cepat menua.

"Kunci untuk mendapatkan kembali kekuatan kuasa nenek dan memudakan nenek kembali terletak pada cucu-cucu semua, iaitu kesucian jiwa yang tidak berdosa. Izinkan nenek untuk meragutnya daripada kamu semua."

Kesemua bakal mangsa korbannya direnung satu per satu. Ketakutan menguasai segenap emosi budak-budak berkenaan. Majoritinya basah dengan air mata kerana maut bakal menjengah diri mereka pada bila-bila masa sahaja.

"Hehehe ... yang mana hendak nenek sembelih dahulu, ya?" Nenek kebayan itu melangkah untuk mendekati mangsa-mangsanya satu demi satu untuk menakut-nakutkan mereka. Bibirnya juga mulai mengalunkan sebuah lagu yang popular dalam kalangan orang Melayu.

Nenek nenek si bongkok tiga
Siang malam asyik berjaga
Mencari cucu sebagai mangsa
Menjadi korban bulan purnama

Lalu, kesemua bakal mangsa mengerang ketakutan apabila indera dengar mereka disantak dengan hilaian tawa yang menyeramkan.

Nenek Kebayan itu menghampiri seorang mangsanya, "Kalau tak silap nenek ... nama kamu, Wafiq. Nenek dengar nama kamu diseru ketika nenek berjaya menangkap kamu. Hehehe ...."

Ketakutan budak bernama Wafiq itu naik melonjak-lonjak apabila bilah pisau belati sudah merentangi lehernya. Air matanya melembak, melencuni wajah yang berlepotan dengan kesan debu tanah. Dia menjerit dan menangis tanpa suara.

"Oh, nenek hampir terlupa."

Nenek Kebayan itu melontarkan pandangan ke arah tiang yang mengikat Arjuna. Tapak kaki kanan dikisar beberapa kali lalu tiang itupun berpusing hingga susuk tubuh Arjuna benar-benar menghadap tiang yang mengikat Wafiq.

Rintik-rintik peluh semakin banyak mengucur menerusi liang roma. Jiwanya sedang bergemuruh hebat. Arjuna meratibkan ayat-ayat al-Quran yang diketahuinya di dalam hati, mengharapkan keajaiban muncul. Menyelamatkan mereka daripada terus-menerus menghadapi dugaan ini.

"Sekarang, masanya sudah tiba." Senyuman penuh makna terukir di bibir si Nenek Kebayan.

Detik hitam yang menakutkan ... bilah pisau belati yang sangat tajam itu akhirnya meragut nyawa mangsa korban pertamanya. Darah memancut menerusi salur darah yang terputus. Wafiq meronta-ronta ketika menghadapi sakaratul maut. Si Nenek Kebayan lantas menadah darahnya ke dalam buyung tanah.

"Akhirnya!" sorak si Nenek Kebayan kegembiraan.

Arjuna yang dipaksa untuk menyaksikan peristiwa itu, berkaca matanya. Mangsa pertama sudah terkorban, terkulai tidak lagi bernyawa. Matanya yang terbuka luas, sudah cukup menggambarkan penderitaan yang dialami saat nyawa diragut oleh manusia bertopengkan syaitan berkenaan.

"Sekarang ... siapa mahu menjadi korban yang seterusnya?" Nenek Kebayan itu melayarkan pandangannya ke sekitar. Senyuman tidak lepas-lepas bergayut di bibirnya.

"Berhenti!" laung satu suara.

Kepala si Nenek Kebayan lantas berkalih ke arah punca suara sebelum dikejutkan dengan kemunculan sebilah keris yang terbang deras menuju ke arahnya. Ditepis keris itu menggunakan belatinya.

Arjuna Dharmabakti 1: Melerai SumpahanWhere stories live. Discover now