١

767 64 2
                                    

Gendang dipukul sebanyak tiga kali. Puteri Layla dengan segera menyarungkan capalnya lalu berlari ke arah balkoni istana. Dari jauh dia melihat terdapat ramai penduduk yang sudah berkumpul di gerbang masuk Kerajaan Baiqi. Suara riuh rendah kedengaran dengan rancak.

"Tuan Puteri, angkatan perang sudah kembali pulang,"

Muncul Dayang Su di muka pintu bilik Puteri Layla. Tercungap-cungap beliau memberitahu berita itu kepada Tuan Puteri.

"Benarkah begitu?" soal Puteri Layla kembali.

Dia masih teruja dengan berita yang disampaikan. Dayang Su lantas mengangguk dan tersenyum melihat wajah ceria Puteri Layla.

"Ambikkan beta selendang, beta ingin ketemu dengan kanda Ammar," arahnya lalu menyarungkan baju yang agak sopan.

Dayang Su dengan pantas mengambil selendang yang digantung di dalam almari.

"Tetapi Tuanku sepatutnya ketemu dengan Putera Yussuf terlebih dahulu," ujar Dayang Su sewaktu memakaikan selendang putih di atas kepala Puteri Layla.

"Beta hanya mahu melihat keadaannya sahaja, tidak lama. Kanda Yussuf pasti akan mengadap ayahanda dan bonda dahulu. Kamu jangan risau, hanya sekejap sahaja."

Dayang Su hanya mengeluh perlahan. Dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang kehendak Tuan Puteri.

Dayang Su hanya menurut langkah Puteri Layla yang sedang menyelinap di celahan orang ramai. Tiada sesiapa yang menyedari kehadiran Tuan Puteri kerana fokus akan kemasukkan angkatan tentera yang baru pulang.

Suasana yang riuh sebentar tadi bertukar sepi apabila terdapat banyak mayat yang diusung masuk menggunakan kereta kuda. Kesemua wajah penduduk berubah menjadi suram dan murung. Suasana juga bertukar menjadi hiba.

Dayang Su menekup mulut dan hidungnya kerana bau yang terlalu busuk. Dengan pantas dia menarik lengan Puteri Layla supaya tidak berada berdekatan dengan kereta kuda itu.

Puteri Layla terkaku di sebelah Dayang Su apabila melihat jumlah mayat yang tidak terbilang. Itula pertama kalinya di dalam hidupnya melihat beratus mayat yang dibawa masuk ke dalam negara mereka.

Dia hanya melihat kakandanya iaitu Putera Yussuf menundukkan kepala sewaktu melintasi mereka semua. Wajah Putera Yussuf yang sugul di atas kudanya membuatkan semua rakyat bertambah sedih.

"Tuan Puteri, sungguh baik kalau kita pulang ke istana. Situasi sekarang seperti tidak baik."

Dia resah memikirnya keadaan Puteri Layla di situ.

"Kanda Ammar..."

Puteri Layla seperti baru tersedar dengan tujuannya ke situ lalu dengan segera mencari Ammar. Dayang Su dengan segera mengejar dan menarik Puteri Layla untuk bersembunyi.

"Lepaskan beta. Beta ingin mencari Kanda Ammar," ujar Puteri Layla sambil berusaha melepaskan tangan Dayang Su.

Dayang Su dengan sekuat hati memegang tangan Puteri Layla. Dia tidak mahu penduduk mengetahui keberadaan Tuan Puteri di situ.

"Anakku Ammar!! Kenapa tinggalkan bonda nak?"

Satu suara membuatkan Puteri Layla dan Dayang Su terkejut. Mereka berdua yang berada di sebalik bangunan, melihat Bonda Mawar yang sedang meratapi jenazah Ammar yang diletakkan di hadapannya.

Apabila bukaan kain yang menutupi wajah Ammar dibuka oleh Bonda Mawar, Puteri Layla lantas terduduk di atas tanah. Dia melihat wajah Ammar yang sudah pucat tidak berdarah. Dayang Su turut menekup mulutnya tanda tidak percaya.

Suasana di kawasan itu lantas dipenuhi dengan tangisan dan raungan si ibu dan si isteri yang kehilangan anak dan suami. Turut kedengaran suara anak-anak kecil yang sudah menjadi anak yatim.

HIKAYAT PERMAISURI LAITH [ BAKAL TERBIT ]Where stories live. Discover now