RAQIB ISA | LILY HANA
"Terima kasih." ㅡ Raqib Isa
"Untuk apa? Bukan saya yang jumpa barang awak tu pun. Kucing saya yang curi, tahu?" ㅡ Lily Hana
Raqib dan Lily. Mereka bertemu dan berkenalan buat kali pertama apabila Tabby, si bulus kesayangan Lily...
Raqib memperlahankan larian sebelum berpusing ke belakang. Pandangannya jatuh pada Rafiqa yang sudah terbongkok sambil menahan tapak tangan pada lutut.
"Baru dua round, Afi. Takkan dah penat kut?" usik Raqib sambil berlari setempat di tempat dia berhenti.
Rafiqa pantas menegakkan tubuh. Jelas kelihatan dadanya turun naik, mengatur nafas mengah. Kata-kata abangnya tadi buatkan geramnya meluap!
Baru dua round?!
"Along, tasik ni besar, tahu tak? Besar! Orang gila macam along aje yang tak reti penat lepas joging keliling tasik besar macam ni lepas dua round!" marah Rafiqa. Sumpah, kalau Raqib ajak dia keluar lagi selepas ini, dia takkan sesekali ikut!
"Besar ke? Along rasa kecil aje. Ke stamina Afi yang lemah?"
"Along!"
Raqib ketawa puas. Seronok bila dapat mengusik adiknya.
"Tu, bawah pokok tu ada kerusi. Duduk dulu dekat situ sementara along sambung joging. Lepas tu, baru kita balik."
Rafiqa berpaling ke arah yang ditunjukkan oleh Raqib. Ada sebuah kerusi batu kosong terletak di bawah sepohon pokok yang rendang. Sangat sesuai untuk dia berlindung sebentar daripada sinar mentari yang kian terik.
"Okey, Afi tunggu situ. Cepat sikit, tahu? Panas ni."
"Joging mana boleh cepat-cepat."
"Ah, kisah apa! Along lambat, Afi tinggal."
Namun, ugutan Rafiqa sia-sia kerana hakikatnya, mereka datang dengan kereta Raqib. Mana mungkin dia boleh balik sendiri tanpa abangnya itu.
Cukup melakukan empat pusingan mengelilingi tasik, Raqib berhenti di sebelah Rafiqa. Beberapa gerakan cooling down dilakukan sebelum dia mengambil duduk bersebelahan adiknya.
"Nah." Rafiqa menghulurkan sebotol air minuman kepada Raqib.
Lambat-lambat Raqib menyambutnya bersama pandangan curiga. Jarang benar Rafiqa berbuat baik tanpa sebab. Mesti ada udang di sebalik batu ni.
"Apa tengok-tengok? Along ingat Afi ada letak benda yang tak elok ke dalam air tu?"
Raqib angkat bahu. Bibir tersenyum nakal.
Rafiqa mendengus geram. Macamlah dia tak tahu perkara yang bermain di fikiran lelaki itu. Mesti tengah fikir yang bukan-bukan!
"Tak payah nak angkat bahu sangatlah. Tengok tu, penutup pun ketat lagi. Macam mana nak letak benda-benda pelik?"
Tawa kecil terlepas dari bibir Raqib. Dia ingatkan Rafiqa akan melatah bila diusik, tapi pandai pula gadis itu mempertahankan diri.
Botol air dibuka dengan sekali pulasan. Lalu, air diteguk sehingga habis untuk membasahkan tekak yang kering. Lega rasanya apabila cecair sejuk itu mengalir menuruni rengkung yang kehausan.
"Along, jom balik. Matahari dah makin tinggi ni."
Raqib mengangguk. Topi disarungkan semula ke kepala dan kali ini, secara terbalik. Langkahnya diatur beriringan dengan Rafiqa menuju ke kawasan parkir di mana keretanya terletak.
PERLAHAN-LAHAN Lily memusingkan kepalanya dalam gerakan membulat, cuba melegakan belakang tengkuk yang terasa lenguh. Sejak pagi, dia hanya terperap di dapur, menyiapkan tempahan kek pelanggan-pelanggannya.
Penat, tapi Lily rasa puas. Berbaloi rasanya tatkala melihat kesemua kek naik dengan sekata dan sempurna semasa dibakar.
Tiba-tiba, telefon pintar di dalam poket apron bergetar, menandakan ada mesej masuk.
Segera Lily mengelap tangannya pada kain bersih sebelum menyeluk ke dalam poket apron berwarna pastel yang menjadi teman setianya di dapur.
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Membaca mesej yang masuk, senyuman Lily beransur pudar. Kepala didongak memandang siling lalu dia mengeluh berat.
Bulan ini sahaja, sudah tiga kali Budi meminta duit daripadanya. Kalau sikit-sikit, tak apalah. Lily tak kisah. Tapi ini nak dekat RM900 adiknya minta. Sikit lagi nak masuk seribu. Manalah dia ada duit sebanyak itu.
Telefonnya bergetar lagi dan mesej kedua menyusul.
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
"Kalau aku jadi kau, memang dah lama aku block dan buang nombor dia." Maryam masuk ke dapur bersama mug kosong di tangan.
"Dia adik aku, Mar. Takkanlah aku nak buat macam tu?"
"Oh, adik. Ingatkan ahlong. Datang minta duit aje benda yang dia tahu," ujar Maryam, sinis.
"Meow!" Tabby menyampuk, seolah-olah menyokong kata-kata Maryam.
"See? Tabby pun setuju dengan aku."
Lily diam. Dia langsung tak terasa kerana memang itu hakikatnya. Budi hanya muncul dan datang mencarinya bila ingin meminta duit. Selebihnya? Tak ada!
"Kau tak payah layankan sangat adik kau tu. Dia nak duit, suruh dia pergi cari sendiri. Dia ada tangan dan kaki, kan? Jadi? Kerjalah!"
"Cakap memanglah senang, tapi kau pun tahu perangai Budi tu macam mana. Dia mana pernah dengar cakap orang. Aku ni nama aje kakak dia…"
"Sebab tu kau kena bertegas dengan dia! Jangan bagi muka! Kalau dia pijak kepala kau, kau kenalah pijak balik!" potong Maryam, pantas. Geram sahaja dia dengan dua beradik itu.
Kalau dia jadi Lily, memang sudah lama Maryam hambat Budi dengan getah paip sampai lelaki itu insaf. Dengan kakak sendiri pun kurang ajar. Bikin darah Maryam mendidih aje!
Lily diam. Hati terasa berat. Dia tahu Maryam betul. Namun, untuk bertegas dengan Budi bukanlah perkara mudah.
Pernah dia cuba menegur dan menasihati adiknya, tapi Budi langsung tak makan saman. Malah, perangainya makin menjadi-jadi. Sampai satu tahap, Budi hampir naik tangan pada Lily kerana gadis itu enggan menuruti kemahuan dan kehendaknya.
"Kau tak payah risau. Aku ada untuk protect kau. Sekali dia jentik kau, berpuluh-puluh kali aku akan tendang dia nanti."
Lily mencebik sebelum sesaat kemudian, senyumnya terukir. Beruntung kerana mempunyai sahabat seperti Maryam di sisi tak kira apa jua keadaan.