LUR | 34

171 40 1
                                    

KELOPAK bunga fondant disusun dengan berhati-hati di atas kek yang hampir siap. Wajah Lily serius, fokus menyiapkan tempahan pelanggannya sebelum tarikh akhir esok. Tiba-tiba, telefon pintarnya berbunyi, meminta supaya diangkat.

Lily segera menghentikan kerjanya, menyeka sisa tepung di tangan sebelum mencapai telefon di atas meja untuk menjawab panggilan yang masuk.

Matanya berbinar saat melihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Panggilan dari kampung!

"Assalamualaikum, Lily." Suara lembut yang amat dikenalinya menyapa di hujung talian.

"Waalaikumussalam. Nenek! Ada apa call Lily ni? Rindu ke?" usik Lily, penuh ceria.

Jarang-jarang dia mendapat panggilan dari Nek Hawa, lebih-lebih lagi pada waktu begini. Pasti wanita tua itu ada sesuatu penting yang mahu bincangkan dengannya.

Nek Hawa diam seketika. Dia sepertinya sedang mencari kata-kata yang sesuai untuk disampaikan kepada cucu perempuannya itu.

"Lily sibuk tak? Tengah buat apa sekarang?"

"Sibuk sikit aje. Ni tengah siapkan kek untuk customer. Kenapa, nek? Macam ada benda penting aje nak bagitahu."

"Memang penting. Nenek ada sesuatu nak bincang dengan Lily ni." Tenang Nek Hawa bersuara, tetapi cukup untuk membuatkan Lily berdebar tanpa sebab yang jelas.

"Pasal apa, nek?"

Nek Hawa menarik nafas perlahan.

"Sebelum tu, nenek nak tanya. Lily ada rapat dengan sesiapa tak dekat bandar tu?"

Lily bungkam sejenak. Tidak menyangka soalan itu akan ditanyakan oleh Nek Hawa kepadanya. Sudahlah cara wanita itu menyoal serius semacam. Makin gementar dia dibuatnya.

"Rapat? Maksud nenek?"

"Eh, budak ni! Dia tanya kita pula! Rapat macam mana Lily rapat dengan Maryam tulah. Ada tak?"

"Oh, kawan perempuan ke? Tak ada. Lily rapat dengan Maryam seorang ajelah."

"Astaghfirullahalazim! Nenek maksudkan kawan lelaki, Lily!"

Lily tersentak kecil. Pipinya mula memerah, terkejut dengan soalan itu.

"Kawan lelaki?" ulangnya perlahan, hampir tergagap.

"Ya! Kawan lelaki! Ada ke tidak?"

Lily menggenggam telefon lebih erat. Fikirannya ligat memikirkan tujuan sebenar Nek Hawa bertanya sedemikian. Ada sesuatu telah berlaku tanpa pengetahuannya ke?

"Kenapa nenek tiba-tiba tanya?"

"Tadi ada orang datang rumah. Katanya dia kawan Lily dari bandar. Dia datang jumpa atuk dan nenek sebab nak minta izin berkenalan dengan Lily. Dan kalau ada jodoh... dia berhajat nak masuk meminang Lily nanti."

Telefon di tangan Lily hampir terlepas ke lantai. Dia tergamam. Matanya membulat.

"Hah? Meminang? Lily?"

"Ya! Sebab tu nenek tanya, Lily ada kawan lelaki ke tak dekat bandar tu. Kami pun terkejut bila ada lelaki muda datang rumah tadi. Ingatkan tersesat, rupa-rupanya dia memang tengah cari rumah ni."

Lily terasa seperti dunianya berhenti berputar untuk seketika. Dia cuba mengingati semua lelaki yang pernah dikenalinya, tetapi tiada seorang pun yang terlintas di fikirannya saat ini.

Kepalanya kosong. Dia terlalu panik setelah mendengar perkataan 'meminang'!

"Dia ada bagitahu nama dia tak, nek?"

Lily Untuk Raqib [C]Where stories live. Discover now