"DEKAT sini ke?" Raqib meminta kepastian. Kereta diberhentikan di bahu jalan, berhampiran dengan lot parkir deretan kedai bangunan dua tingkat.
Lily segera membuka telefonnya untuk membelek semula alamat yang diberikan oleh 'Vince'.
"Ya, dekat sini."
"Tapi kenapa sunyi semacam?" Sekeliling kawasan itu diamati. Tak ramai orang yang lalu-lalang meskipun hari ini adalah hari minggu dan tempat meletak kereta di sekitar mereka penuh.
"Mungkin customer tu masih on the way. Tak apa, biar saya turun dan tunggu depan butik tu. Awak, boleh tunggu sini."
"Saya tunggu sini?" tanya Raqib dengan nada tidak percaya. Matanya membesar sedikit, menandakan rasa hairannya terhadap permintaan gadis itu.
Lily pantas mengangguk.
"Seriuslah? Dalam kereta ni?"
"Ya, dalam kereta ni. Senang nanti awak nak alihkan kalau ada kereta orang lain nak keluar. Tak pun, awak boleh pergi cari parking dan tunggu saya dekat situ. Dah settle nanti, saya pergi sana," cadang Lily namun tidak begitu digemari oleh Raqib.
"Kalau kita pergi cari parking dulu lepas tu datang sini balik sama-sama, tak boleh?"
"Boleh, tapi bazir masalah sikit. Sebab hari ni kan weekend? Jadi, parking sekitar sini mesti dah full. Kena pergi jauh sikit kut baru jumpa yang kosong."
Raqib termenung seketika. Memang betul juga apa yang Lily cakap, tetapi hatinya tetap gusar mahu biarkan gadis itu menunggu seorang diri. Kalau jadi apa-apa macam mana?
"Serius ke nak turun dan tunggu sorang-sorang?"
"Serius. Lagipun, saya dah biasa. Awak pergilah cari parking dulu. Kalau ada apa-apa, saya akan terus DM awak. Macam biasa." Lily mengangkat telefon bimbitnya, membuatkan Raqib tersenyum menahan lucu.
Yalah, selama ini mereka berdua hanya berhubung melalui DM (Direct Message) di Instagram. Tak pernah sekali pun terlintas di fikiran mereka untuk bertukar nombor telefon. Entah kenapa, komunikasi melalui DM dirasakan sudah memandai walaupun mereka jarang berhubung.
"Okey. Kalau ada apa-apa, terus DM, tahu? Jangan tunggu."
"Baik, kapten!"
Raqib ketawa, namun dia masih berasa ragu-ragu. Dia memandang Lily yang sudah bersedia untuk turun dari kereta bersama kotak kek di tangan. Hatinya berat untuk meninggalkan gadis itu menunggu bersendirian, tetapi dia juga sedar bahawa berkeras hanya akan membuang masa.
"Jangan lupa DM, Lily," pesan Raqib sekali lagi selepas Lily turun dan menutup pintu kereta.
"Jangan lupa tengok kereta orang lain sebelum keluar juga, Raqib," balas Lily. Kini giliran dia pula memberi pesanan kepada Raqib.
Lelaki itu tertawa kecil. "Baik."
"JADI..." Daripada menyandar, Alvin tegakkan semula tubuhnya dan bahu Budi dirangkul dari tepi. Mereka berlima, termasuk Vince dan dua orang anak buah Alvin, sedang memerhatikan Lily dari dalam van yang diparkir di seberang jalan.
Dapat dilihat gadis itu sedang duduk menunggu Vince dengan kotak kek di atas ribanya.
Alvin hanya menanti masa yang sesuai untuk menghantar Vince ke sana dan melaksanakan rancangannya yang telah diatur rapi untuk Budi.
"...kau dah bersedia ke, Encik Budiman?"
"Bersedia? Untuk tengok kakak aku sumbat kau ke dalam penjara? Ya, aku dah lama bersedia. Lebih lama dari yang kau bayangkan." Perlahan sahaja suara Budi meluncur di sebalik gigi yang diketap rapat. Wajah Alvin di sampingnya ditatap tanpa rasa gerun.

YOU ARE READING
Lily Untuk Raqib [C]
RomanceRAQIB ISA | LILY HANA "Terima kasih." ㅡ Raqib Isa "Untuk apa? Bukan saya yang jumpa barang awak tu pun. Kucing saya yang curi, tahu?" ㅡ Lily Hana Raqib dan Lily. Mereka bertemu dan berkenalan buat kali pertama apabila Tabby, si bulus kesayangan Lily...