2

26 0 0
                                    

Papa adalah manusia paling kuat yang aku pernah kenal.

Papa memang suka menghiasi kulit pipinya dengan senyum madunya. Jika kalian mengenali, pasti hairan teramatlah menemui papa dengan kerutan berlipat-lipat. Pernah keluarga kami berada dalam krisis ekonomi, tapi papa tetap tenang dan menepuk lembut bahu mama, memujuk.

"Tenang, adindaku. Yang hilang pasti datang kembali. Yang susah pasti senang kembali. Jika bukan dengan apa yang kita ingin, bermakna ada yang lebih baik Tuhan ingin kita amin. Yang penting, kita harungi semua ni sama-sama sekeluarga, ya?"

Aku masih ingat bagaimana papa menceritakan saat pertama kali hatinya terpaut pada arwah mama. Aku tahu bagaimana sucinya cinta mereka pada bahagianya melodi bunyi tawa mereka bercengkerama, pada tautan mata mereka yang tidak pernah lepas, pada tulang lengan mereka yang tidak pernah kosong dari saling meringankan dan pada setiap langkah mereka yang berdansa seirama di bawah bulan mengambang. Mereka indah. Cukup indah.

Namun sehingga sudah sebulan mama meninggal dunia, aku tertanya, ke mana pergi titisan air mata papa? Siapa yang menyapunya?

Sekalipun tiada jawapan kepada persoalanku yang tidak terluah itu, ada satu rasa yang pasti.

Papa sedang bersedih. Papa masih berkabung dan mungkin, akan selamanya berkabung. Meski senyum papa tidak pernah hilang, aku tetap perasan, papa banyak termenung. Seperti sekarang, papa berada di beranda rumah. Sedang termenung.

Pandanganku dikalihkan ke arah tiga orang adikku yang sedang menonton televisyen. Dua orang itu tidak berada di asrama kerana sekarang musim cuti penggal persekolahan. Si bongsu pula masih bertatih menuntut ilmu di sekolah kebangsaan. Beberapa tahun lagi akan mengikut jejak abang kakaknya lah.

"Meh, salam kakak. Kakak nak pulang ke IPT dah ni", laungku terhadap adik-adikku yang tidak lari fokus dari kaca televisyen itu.

Terkedek-kedek mereka turun dari empuknya sofa, terus mendekatiku sambil masing-masing mendepakan tangan. "Kakak jangan tinggal adik lama sangat tau", si bongsu merengek manja.

Kasihan. Tidak pernah dia merintih begini denganku sebelum ini. Aku faham dan hanya mampu menahan tangis.

"Iya, kakak akan balik sini selalu. Buat sementara ni, kalian tolong jagakan papa, ya?", bicaraku sambil memberi pelukan yang terakhir sebelum aku ke beranda rumah pula.

Papa sedang menyandarkan tulang belakangnya di kerusi malas. Hanyut dirinya dibuai angin masa lalu, pada pandanganku.

"Papa"

Papa tersedar dan memandangku. Papa menghadiahi aku senyuman termanisnya, seperti biasa.

"Papa, kakak nak balik dah. Papa jaga diri ya. Jangan lupa cukup makan. Apa-apa, telefon saja kakak", aku menunduk dan mengucup tangan lembut kepunyaan satu-satunya orang tua yang aku masih ada.

"Ini semester kakak yang terakhir kan, kalau tak silap papa?", soal papa sambil memandangku mengharapkan anggukan atau gelengan. "Betul. Tidak lama lagi kakak akan tamatkan pengajian diploma".

Papa mengangguk faham dengan jawapanku. Aku meminta diri dan mula berjalan ke stesen bas yang kira-kira lebih kurang 7 minit sahaja berjalan kaki dari rumahku.

Menjadi kakak sulung, sudah tentu meninggalkan keluarga yang masih berperang dengan emosi terasa berat sekali.




* * * * *

PapaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang