4

15 0 0
                                    

Setelah mengambil kunci kereta daripada penyewa, aku memasukkan segala beban kotak dan bagasiku ke dalam punggung kereta. Aniq turut sama membantuku serba-serbi setelah dia menyelesaikan barangannya.

Selesai, kami masuk ke dalam kereta. Aniq yang memandu kereta memandangkan aku tiada lesen. Aku mengambil tempat di bahagian penumpang di belakang.

"Eh, kenapa duduk belakang? Kau kena tolong aku tengok Maps ni. Lagi satu, kena jadi kawan sembang aku supaya aku tak mengantuk sepanjang perjalanan".

Aku tergelak kecil. Iya tak ya juga. Aku dah suruh dia memandu, boleh pula aku nak jadi 'passenger princess' di belakang. Sejurus aku mengubah kedudukan aku di sebelah pemandu, Aniq terus memandu kereta keluar dari kawasan IPT menuju ke kampung halaman kami, Johor.

Aniq yang memulakan perbualan kami di dalam kereta itu. "Papa kau sekarang sorang-soranglah di rumah?"

"Tak adalah. Ada adik bongsu aku sekali".

"Oh, lupa pula adik bongsu kau belum duduk asrama. Eh tapi setahu aku, papa kau bukan dah pencen? Sekarang macam mana?", soalnya agak berlapik namun aku faham maksud soalannya.

"Terpaksalah papa cari kerja semula untuk tampung lagi duit pencen papa untuk sara adik-adik. Kau pula? Setahu aku adik kau si Nana tu sudah pindah dari sekolah harian ke sekolah elit kan?"

Begitulah, perbualan kami pada asalnya bertopik tentang keluarga masing-masing memandangkan keluarga kami saling mengenali. Namun lama-kelamaan setelah agak jauh perjalanan kami, perbualan kami terputus dan kami senyap. Tiada suara.

Aplikasi Maps memberitahu bahawa perjalanan mengambil masa lebih 3 jam. Aku yang memegang telefon, mengemudi perjalanan memberitahu bila dan saat perlu belok ke arah-arah yang ditentukan.

Setelah hampir satu jam setengah berdiam diri, aku agak sempoyongan memegang telefon. Aniq perasan akan kantuk yang melanda diriku. Dia mengambil telefon dari tanganku dan menyuruh aku tidur, tanpa perlu ditahan. Dia sudah sorongkan bantal, aku pun melelapkan mata tanpa berkata apa-apa.

Terjaganya aku dari lena yang entah berapa lama aku ambil, Aniq menegurku. Aku hanya mengangguk tanpa sedar apa yang sebenarnya dikatakan oleh Aniq. Masih dalam kemamaian.

Dia tiba-tiba tergelak. Aku memandangnya hairan. Namun dia tidak pula memberitahu faktor yang menyebabkan geli hati perutnya.

"Kau tahu orang-orang tua selalu kata, 'kelapa muda tidak berminyak'. Ha kau berminyak ke tak berminyak?"

Aik? Tadi gelak, sekarang dia beri peribahasa pula?

"Nama pun kelapa muda, sudah tentulah aku pun belum berminyak".

Aku membalas soalannya. Sefaham aku, maksud peribahasa tersebut adalah orang muda masih belum banyak pengalaman.

Kenapa dia beri peribahasa ni? Dia nampak aku macam orang tua yang berpengalaman ke? Tak ada topik lain ke nak bual?

Aniq hanya memberi senyum mengejek. Aku menjadi keliru. Apa yang terjadi sepanjang aku tidur tadi?

"Sudah tahu belum berminyak, dengar nasihat aku ni. Lain kali jangan suka hati buat keputusan tanpa berfikir akibatnya", Aniq memberiku nasihat tanpa memandangku, masih fokus pada pemanduannya.

"Kenapa kau tiba-tiba mahu nasihatkan aku macam ni? Aku ada buat salah keputusan apa-apa ke?"

Ya, aku masih dalam kekeliruan yang melampau. Jika dia ingin tuju pada mana-mana keputusan yang aku lakukan, cakap berterus teranglah. Bagaimana aku mahu faham dan meresap nasihatnya ke dalam hati jika ada lapisan yang dia letakkan.

Aku perhatikan aplikasi Maps di dalam telefonku yang masih berada dalam tangan Aniq. Pelik, arahannya menyuruh kereta kami untuk lurus sahaja ke hadapan namun Aniq membelok kereta masuk ke haluan kiri. Aku ingin bertanya mengapa namun Aniq lebih pantas mematahkan bicaraku dengan persoalan barunya.

"Aku nak tanyalah kau kan. Apa perasaan kau time aku setuju untuk balik dengan kau sekali ni? Jawab dalam satu peribahasa", Aniq melempar senyum sinis seusai mencabar aku dengan permainan peribahasanya.

Dia sangka ilmuku begitu dangkal? Aku pun tahu peribahasalah!

"Aku rasa...", mataku meliar sekeliling. Fikiranku semakin berpusing, kenapa kawasan ini semakin janggal?

"Aku rasa seperti si mandul baru beranak. Aku gembira sangat akhirnya dapat juga balik setelah bersusah-payah aku telefon seorang demi seorang kawan aku untuk aku tumpang, tapi semuanya tak lepas. Kau saja yang lepas", aku menyelit kata terima kasih juga buatnya pada akhir bicara aku.

"Oh, seperti si mandul baru beranak ya..."


"Macam mana dengan, seperti belum kahwin dah beranak, pula?"


"Hah?"

Aku terkesima. Aku memandang wajahnya dan kini baru aku perasan apa yang tidak aku perasan sepanjang perjalanan ini dari awal tadi.

Sisi candal Aniq. Sisi jijiknya.

Namun segalanya sudah terlambat.

Papa! Ya, papa. Aku mencari telefonku di sekeliling kedudukanku. Bertemankan bingit tawa ladah milik Aniq, dia menggoyang-goyangkan telefonku yang kemas berada dalam genggamannya.

Aku yang berotak geting. Aku hanya fikirkan dapat pulang ke rumah, tanpa memikirkan risiko yang aku ambil. Berdua-duaan tanpa mahram, bergantung percaya pada kenalan keluarga. Pemikiranku hanya seluas dada tuma. Aku yang bodoh. Aku. Semua ini salah aku. Aku sendiri.

Aniq memandu kereta memasuki kawasan yang suram dan gelita. Langit juga kelihatan seperti sudah mengabaikan aku, menggelapkan permukaannya membiarkan tiada sesiapa dapat melihat aku yang meronta-ronta merayu pertolongan. Ia bagai menarik sekali suara-suara alam, menyebabkan lolongan tangisan ketakutanku tidak didengari sesiapa. Matahari sudah hilang meninggalkan aku berseorangan. Bebintang juga tidak sudi memunculkan diri, sekurangnya menemani.


Mama? Papa? Adik?





Tuhan?





* * * * *

PapaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang