1

376 3 0
                                    

Hujan lebat turun dengan tidak segan membanjiri bumi. Guruh saling berdentum dengan kilat yang sabung-menyabung menambahkan pilu hati seorang remaja lelaki yang sedang merintih kesakitan, meminta simpati dan memohon ampun.

"Ampun, yah! Sakit!"

"Kau kalau sehari tak menyusahkan aku tak boleh ke? Kau faham tak yang aku tak suka tengok muka kau? Kau pembawa sial!" Lelaki setengah abad yang sedikit mabuk itu mengheret anak bongsu lelakinya dengan kejam, menghentakkan kepalanya ke dinding berkali-kali sebelum menghempasnya ke lantai seperti anaknya itu hanyalah sampah yang tidak berharga.

"Ma-maaf yah."

"Urgh, diam! Jangan panggil aku ayah! Aku jijik bodoh!" Lelaki yang digelar ayah itu meramas rambut penuh geram. Kakinya laju menyepak badan anaknya berkali kali tanpa rasa simpati. Tidak dihiraukan si anak yang memohon untuk berhenti.

"Mati!"

Kaki yang masih tersarung kasut kulit itu keras menendang kepala anak bongsunya. Amat keras sehingga menyebabkan remaja tersebut kehilangan kesedaran. Darah yang tidak berhenti keluar dari luka-luka di badannya dan juga darah yang mula menitik deras dari hidung mancungnya.

"Tch, menyusahkan"

Faizal, duda yang telah kehilangan isteri beberapa tahun lepas, berlalu pergi setelah puas menyiksa anak lelakinya. Tidak ada sedikit pun rasa kasihan melihat anaknya terbaring lemah dengan darah merata-rata. Malah, dia berasa puas dapat melepaskan kemarahan dan emosi kepada anak tak bersalah itu.

.

.

Mata indah itu berkelip perlahan. Seluruh tubuhnya terasa sangat sakit dan pedih. Dia mencuba bangun perlahan-lahan sambil mendesis sakit.

Jam di dinding dilihat sekilas. Pukul 5:45 pagi. Seingatnya, dia pulang ke rumah dalam pukul 12 malam sebelum dia tidak sedarkan diri selepas dikerjakan habis-habisan oleh ayahnya.

Ashraf Thariq, seorang remaja berumur 17 tahun dan merupakan anak bongsu dari 3 beradik dalam keluarga. Dulu, hidupnya sangat bahagia dengan ibu dan ayah yang menatangnya bagai minyak yang penuh serta abang dan kakaknya yang selalu memanjakannya. Semuanya berubah setelah kejadian hitam menimpa mereka sekeluarga. Ibu, abang dan kakaknya telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya 8 tahun dahulu. Hanya dirinya dan Faizal yang terselamat. Ayahnya tidak dapat menerima takdir dengan hati yang terbuka. Faizal lebih memilih untuk menyalahkan Ashraf yang bahkan tidak bersalah.

Sejak kehilangan anggota keluarga, kehidupan Ashraf yang mulanya bahagia berubah 180 darjah. Ayahnya bukan lagi seorang bapa yang penyayang seperti dulu. Faizal berubah menjadi kaki botol dan suka melepaskan amarah pada Ashraf. Ashraf hanya mampu menerima sahaja perlakuan buruk dari ayahnya. Dalam diam, Ashraf berasa layak dilayan sedemikian sebagai balasan kerana terselamat dalam kejadian tersebut.

Faizal yang dulunya merupakan seorang jurutera kapal yang berpangkat tinggi telah dibuang kerana menunjukkan prestasi yang sangat teruk dan telah menyebabkan terlalu banyak masalah di tempat kerja. Faizal kehilangan punca pendapatan semuanya kerana tertekan dengan ujian yang menimpa. Isteri yang sangat disayangi, anak lelaki sulungnya yang pandai dan satu-satunya anak perempuan telah diambil tuhan. Rumah mewahnya telah disita dan dia terpaksa menjual kereta mewah kesayangannya untuk meneruskan hidup. Akhirnya dia memilih untuk bekerja sendiri sebagai pemandu Grab sepenuh masa menggunakan kereta Myvi lamanya dan menyewa rumah yang lebih kecil dan sedikit uzur.

Ashraf berjalan dengan sedikit tempang ke biliknya. Kaki dan seluruh tubuhnya sakit selepas dipukul berkali-kali oleh Faizal. Ini bukanlah kali pertama ayahnya mabuk dan menyakiti dirinya malah sudah terlalu sering sehinggakan Ashraf sudah lali. Hampir setiap hari dia dibelasah setengah mati dan diakhiri dengan dirinya tidak sedarkan diri.

Lampu bilik dibuka, memperlihatkan ruangan biliknya yang sempit tetapi kemas. Hanya ada katil bujang dengan tilam yang nipis dan almari kayu dipenjuru bilik. Meja? tiada. Dia selalu mengulang kaji pelajaran di lantai beralaskan tikar getah. Namun Ashraf masih bersyukur kerana Faizal masih baik ingin menampung dirinya dan memberikan bilik kepadanya. Walaupun Faizal tidak lagi mengirim duit belanja, sekurang-kurangnya Ashraf masih dibenarkan untuk makan makanan yang ada di rumah.

Remaja lelaki itu mengambil tuala yang disangkut di pintu almari. Dia perlu membersihkan diri terlebih dahulu. Butang baju dibuka perlahan sambil dirinya berjalan ke arah bilik air di sebelah biliknya. Mukanya berkerut perlahan. Pedih terasa apabila fabrik baju bergesel dengan lukanya yang masih basah. Baju yang dipenuhi dengan darah direndam bersama clorox untuk menghilangkan warna merah.

Dia termenung di hadapan cermin. Meneliti tubuh kurusnya yang semakin lama semakin penuh dengan lebam ungu kebiru-biruan. Ashraf tersenyum hambar. Tidak mengapa dia diperlakukan begini asalkan dia dapat tinggal bersama ayah. Luka yang berdarah masih boleh sembuh, kan?

Setelah hampir 15 minit membersihkan diri, Ashraf mengenakan kain pelikat dan baju plain hitam. Kopiah dipakai dan sejadah yang disidai di kepala katil dibentangkan. Azan Subuh baru sahaja berkumandang. Ashraf mengangkat takbir, menyebut nama Allah, tuhan yang sentiasa ada untuknya.

Ya Allah, semoga hari ini aku kuat seperti hari-hari sebelumnya.

.

"Ayah.. bangun dah pagi. Solat lepastu sarapan." Bahu Faizal digoyangkan perlahan. Ayahnya terlihat nyenyak dalam tidur namun masih jelas tercetak mukanya berkerut dalam. Mungkin sedikit pening akibat minum minuman beralkohol semalam.

"Aya—"

"Diamlah bodoh! Aku nak tidur! Kau pergi je sekolah boleh tak?"

Ashraf tersenyum sendu. Tidak mengapa. Dia sudah selalu dengar kata-kata tajam yang keluar dari mulut Faizal. Seharusnya dia sudah terbiasa namun mengapa hatinya masih sahaja terasa sakit tiap kali kata-kata tersebut keluar? Ashraf mengeluh perlahan. Dia mencium tangan ayahnya walaupun ditepis kasar. Faizal mendecih tidak suka.

"Ashraf pergi dulu ya, ayah. Assalamualaikum."

.

Matahari sudah tegak di atas kepala. Burung-burung sudah berkicauan, saling bernyanyi bahagia di udara seperti tiada apa apa beban.

Faizal mengernyitkan mata berulang kali. Tangannya mengurut-urut sedikit kepalanya. Pening. Dia bangkit perlahan dan berlalu ke bilik air di biliknya bagi membersihkan diri. Setelah itu, dia keluar ke dapur. Ashraf sudah tentu telah menyediakan makanan untuknya. Faizal membuka tudung saji, terlihat satu pinggan nasi goreng, telur mata dan semangkuk sup kosong tersedia di atas meja. Sebuah sticky notes yang tertampal sebelah pinggan nasi goreng menjadi perhatiannya.

'Ayah jangan lupa makan tau! Adik dah masakkan sarapan. Lepastu adik ada buatkan sup untuk hilangkan sikit pening. Hati-hati memandu, yah. Adik sayang ayah!"

Tanpa sedar, Faizal tersenyum hambar. Ashraf menggelarkan dirinya adik, panggilan manja dirinya suatu ketika dahulu. Faizal tiba-tiba diselubung rasa bersalah. Anak bongsunya, anak kesayangannya tidak bersalah. Kemalangan dulu bukanlah berpunca darinya. Faizal cuma ingin menjadikan seseorang sebagai kambing hitam untuk dia salahkan.

Ashraf tidak pernah sedikit pun marah dan memberontak. Ashraf selalu menerima perbuatan buruk Faizal tanpa melawan. Dia juga tidak pernah lupa menyediakan makanan untuk Faizal. Rumah yang sentiasa kemas dan bersih dengan baju-baju yang sentiasa siap dibasuh, sidai dan lipat. Seolah-olah Ashraf menggantikan peranan isterinya.

Senyuman hambar tadi berubah menjadi senyuman pahit. Faizal selalu hilang kawalan apabila melihat muka Ashraf yang sebiji sama seperti arwah isterinya. Faizal rindu pada keluarga harmoninya dulu.

Maafkan ayah, dik..

*****

aku tak membenci hujanWhere stories live. Discover now