BAB 1 | HIS POSSESSION

868 68 13
                                    

SESEKALI, keringat yang merecik di dahi dikesat dengan hujung baju lengan panjang. Dijinjing dengan kedua-dua belah tangan guni yang berisi beberapa tandan pisang. Bila terasa lelah, kakinya berhenti melangkah. Belah bibir terbuka mengumpul oksigen. Kulit wajah kian membahang dek terik dari mentari.

"Seroja Kirana!"

Lekas Seroja menoleh ke belakang. Lebar sengihan di bibir tatkala gerangan yang menegurnya tadi makin dekat menghampiri.

"Kenapa Seroja angkat guna ni? Kan berat... Kalau bahu Seroja terkehel nanti, Abang Wan juga yang susah. Berkurang pulak hantaran Seroja nanti."

Irwan cepat-cepat mengelak apabila tangan Seroja laju ingin memukulnya. Terkekek-kekek dia gelak melihat muka cemberut Seroja. Tak boleh kena usik sikit, mulalah naik hantu.

"Janganlah garang sangat, Seroja... Nanti Seroja juga yang tak laku kalau garang-garang macam ni. Dah Abang Wan juga yang kena masuk meminang Seroja." Galak Irwan menyakat. Guni bertukar tangan. Sebelum Seroja betul-betul mengamuk, lebih baik dia cabut lari dulu.

"Abang Wan!"

Berdesup Seroja kejar langkah besar Irwan. Abang Wannya itu kalau sehari tak bikin hati Seroja menggelegak, memang tak sah! Tak boleh tengok dia senang langsung. Ada saja nak disakatnya.

"Sudahlah, Abang Wan! Penat Seroja nak kejar!" Kalau tak Seroja yang mengaku kalah, mana mahunya Irwan nak mengalah.

Diatur langkah menuju ke sebuah pondok kayu. Udara segar pada pagi itu dihirup dalam sambil dilabuhkan punggung di atas lantai berkayu tersebut. Beg kertas dicapai lalu Seroja membawa keluar sebotol air mineral. Dahagalah pula.

"Abang Wan nak air?" Seroja mengsua botol air di tangan.

"Takpe, Seroja minumlah." Irwan mengambil tempat di sebelah Seroja. Diperhatikan gelajat Seroja yang sedang meneguk air. Sontak, bibir Irwan lebar dengan sengihan.

"Pak Abu mana, Seroja?"

Lensa mata Irwan melingas mencari gerangan yang dipanggil Pak Abu. Biasanya waktu-waktu begini orang tua itu dah habis berkebun. Tapi, tak nampak pula batang hidung Pak Abu di situ.

"Katanya tadi nak petik cili padi. Tu ha, Pak Abu." Seroja mengunjuk ke satu arah. Dilihat Pak Abu berjalan ke tempat duduk mereka. Di tangan lelaki tua itu terdapat sebuah besen yang dibawa bersama. Mungkin hasil cili padi yang dipetiknya tadi.

"Bila kamu sampai, Wan?" Besen berisi cili padi diletakkan di penjuru pondok. Disapu peluh dengan kain yang dililit di batang leher. Topi jeraminya ditanggalkan.

"Adalah dalam sepuluh minit. Mak minta Wan beli cili dengan pisang tanduk kalau ada. Banyak ke hasilnya harini, Pak Abu?"

"Tak banyak mana pun, Wan. Kalau mak kamu nak, ambillah. Seroja, nanti asingkan cili tu dalam plastik. Lepastu ambil bawa balik sikit. Pisang tanduk ni pun ambillah kalau kamu nak goreng. Bolehlah buat minum petang."

Pak Abu mengibas wajah dengan tuala. Kakinya berjuntai santai sambil menebar pandangan ke sekeliling kebun. Dah lanjut usia begini, itu sajalah kerja yang mampu dia lakukan. Hasil daripada tanamannya ini, dapatlah Pak Abu menampung perbelanjaan keluarga kecilnya. Walaupun tak banyak, cukuplah untuk makan pakai mereka sekeluarga.

"Tak payahlah, Pak Abu. Daripada Pak Abu bagi Seroja, lebih baik Pak Abu jual dekat orang kampung. Dapat juga duit." Seroja menggeleng.

Bukan mahu menolak rezeki tetapi, dah banyak sangat pemberian Pak Abu kepada Seroja. Bila hulurkan duit, cepat saja orang tua itu menolak. Katanya, anggap sajalah Pak Abu bersedekah. Meskipun berat hati, tetap juga Seroja ambil. Dia enggan mengguris perasaan orang tua itu.

4.0 | HIS POSSESSION Where stories live. Discover now