BAB 6 | HIS POSSESSION

671 61 12
                                    

"PEMILIK Menara Group dikatakan mempunyai hubungan dengan kaum sejenis? Kuala Lumpur..." Belum sempat Wafiq menghabiskan bacaannya, iPad di tangan disambar kasar oleh Remy. Biji matanya membuntang membaca headline tersebut, seperti tidak percaya dengan apa yang tertera di skrin.

Terus, Zariel yang kelihatan selamba mencicip minumannya dipandang.

"Ril, kau baca artikel ni! Kau tahu tak..."

"Aku tahu." Laju Zariel memintas, meninggalkan noktah pada ayat Remy. Wajahnya masih kekal bersahaja, seakan-akan tidak tertarik dan terpengaruh langsung dengan khabar angin yang sedang berlaku. Cawan kopi diangkat sekali lagi lalu diseruput tenang.

"Dahtu, kau boleh buat bodoh aje? Tak takut orang label kau gay nanti?" Remy menekan dengan nada yang lebih mendesak, mencari reaksi yang lebih nyata daripada Zariel.

Macam mana temannya itu boleh berlaku tenang dengan isu tersebut? Remy pula seperti cacing kepanasan memikirkan kemungkinan buruk yang akan menimpa syarikat dan reputasi Zariel.

"Atau... kau sebenarnya memang gay, Ril?" Tersengih-sengih Wafiq seraya menjongketkan sebelah keningnya. Dia mana pernah serius kalau hal yang melibatkan Zariel mahupun Remy. Ada saja ayat hendak menyakitkan hati teman-temannya itu.

Zariel merengus. Wafiq yang duduk bertentangan dengannya, dijeling tajam. Mulut puaka betul!

"Kau tak payah risaulah, Remy. Tahulah budak-budak aku buat kerja dia orang. Kejap lagi, kena take downlah artikel tu."

Menarik nafas lega, Remy sandarkan tubuhnya pada kerusi. Mujurlah Zariel bertindak bijak. Kemudian, pandangannya dilayarkan ke luar kafe, melihat kesibukan kota pada lewat petang itu sebelum netranya melotot kepada Zariel.

"Kau tak risau kalau perkara ni akan berlaku lagi? Orang macam kita ni ramai musuh, Ril. Tak mustahil, isu ni boleh berbangkit balik."

Wafiq mengangguk, bersetuju dengan ujaran Remy itu. Orang-orang seperti dia, Zariel dan Remy memang sentiasa menjadi mata oleh musuh perniagaan. Dalam dunia korporat ini, ada saja onak dan duri yang perlu mereka tempuhi. Setiap langkah mereka dibayangi ancaman, setiap keputusan mereka akan diperhatikan teliti, hanya tunggu masa untuk dijatuhkan. Namun, bilamana hal peribadi yang diusik, menjadikan perkara ini lebih rumit kerana mengancam kedudukan Zariel secara langsung. Bukan hanya Zariel bahkan Megat Remy dan Syed Wafiq juga tak terkecuali dalam hal tersebut.

"Apa lagi yang aku boleh buat? Selagi aku tak jatuh, selagi itulah dia orang akan cari apa saja kelemahan aku." Zariel mengoyak senyuman nipis, berposisi santai sambil menyilangkan kaki. Rumor yang mengatakan dia menyukai kaum sejenis itu, sedikit pun tidak menggoyahkannya.

"Aku rasa... kau kena kahwinlah, Ril."

Spontan, ekspresi wajah Zariel berubah. Senyumannya turut sirna bersama renungan yang berkilau tajam. Hening mengisi ruang antara mereka, seolah-olah setiap aksara Wafiq tadi bergema kuat di halwa telinga Zariel. Alunan muzik jazz yang mengisi udara terasa tidak lagi menenangkan.

"Itu ajelah solution yang kau boleh bagi?" Mudah betul Wafiq memberinya solusi. Langsung tak terlintas di benak, isu perkahwinan ternyata dibangkitkan petang ini.

Zariel menebarkan pandangan ke sekeliling kafe, melihat pelanggan lain yang sedang menikmati minuman mereka sambil berbual mesra. Bunyi cawan dan piring beradu, suara barista mengumumkan pesanan siap menjadi latar suasana.

4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIELWhere stories live. Discover now