Kisah Jam Lama

7 0 3
                                    

Hari ini sebelum aku bergerak pulang dari menziarahi emak, emak telah memberikan seutas jam tangan kepadaku.

"Amai (nama timanganku di rumah), nanti tolong amak tukarkan bateri baru boleh?" Mohon emak sebelum aku bergegas keluar.

"Jam siapa ni" tanya ku pada emak.

Jam tersebut nampak lusuh. Setelah aku pegang dan belek, ternyata jam tangan tersebut hanyalah seutas jam tangan murah.

"Mungkin tak sampai 20 ringgit pun" kataku dalam hati.

Namun aku ambil jua jam tersebut tanpa sempat aku mendengar jawapan daripada emak.

"Boleh, nanti amai hantar ke kedai untuk tukarkan bateri ya" Balas aku sebelum memberi salam kepada emak dan bergegas pulang.

Dalam perjalanan memandu pulang, hatiku berkata-kata.."hendak buat apa la jam buruk ni, boleh aja beli di mana-mana. Untuk dapatkan yang lebih baik pun boleh". Tapi, dah itu permintaan emak, aku ikutkan saja.

"Alah... sekadar tukarkan bateri berapa la sangat".

Seminggu kemudian, macam biasa aku akan datang menziarah emak.

"Amai dah tukarkan bateri jam yang amak bagi tu ke?" Tanya emak ku.

"Allahhuakbar, terlupa la mak". Jawab ku.

"Aduh betul-betul aku terlupa.. dah seminggu kot. Apa yang susahnya." Terasa terkilan juga dalam hatiku.

"Nanti amai tukar pada kadar segera. Terlupa sangat" balasku.

"Takpa amai. Jangan susah-susah kalau tak boleh tak apa... tak penting sangat.. utamakan pelajaran dulu". Balas emak.

Sedih jugak mendengarnya.. aku paham, seorang ibu sangat menjaga perasaan anaknya. Tapi seorang anak ambil acuh tak acuh.

Hari tu aku cuba buka sendiri jam tersebut. Alhamdulillah tak susah mana pun. Maklumlah jam murah. Aku keluarkan bateri lama jam tersebut. Mudah aku nak tengok jenisnya. Bila dah dapat jenis dan saiz bateri aku terus buka shopee aps untuk cari kalau ada kedai yang menjualnya.

Melambak rupanya seller yang jual bateri yang aku cari. Tapi, memikirkan dah lama aku peram jam tu, aku fikir baik aku cuba cari bateri atau tukar di kedai jam berdekatan rumah aku.

Sampai di kedai jam, aku pun tanya tauke kedai tu kalau dia ada bateri yang aku cari. Kedai jam mana yang tak akan ada kan. Aku tanya tauke tu berapa harga bateri tu.

"Dua lima kosong saja, saya siap boleh tukarkan" jawab tauke kedai tu.

Aku tanpa berfikir panjang terus bersetuju dengan harga yang ditawarkan.

Tetapi, bila aku hendak mengeluarkan jam tersebut, tak pulak aku jumpa.

"Aduh, mesti tertinggal di rumah masa buka bateri". Rasa frust jugak sebab terlalai macam tu.

"Takpa la tauke, bagi bateri saja. Nanti saya tukar sendiri" kataku kepada tauke kedai jam tersebut.

"Berapa tadi?" Tanya aku sekali lagi sambil bateri tu dah aku masukkan dalam beg.

"Dua puluh lima ringgit" jawab tauke tu sekali lagi.

Yang aku dengar pada awal "dua lima kosong". Aku ingatkan RM2.50. Yelah.. sebab aku tengok kat shopee ada yang jual semurah itu. Rasa panas juga mula tu, rasa macam kena tipu. Tapi bateri pun dah masuk beg, aku hulurkan juga RM25 tu. Sambil aku cuba positif, mungkin tauke ni berkata betul, bateri original dan dijamin tahan 3 tahun.

Dalam perjalanan pulang tu terdetik aku nak tanya emak aku. Jam emak ke sebab tak pernah nampak dia pakai.

"Itu jam arwah abah amai. Lama dah dia mati macam tu. Amak rasa eloklah kalau boleh digunakan. Adalah pahala untuk arwah abah" balas emak melalui whatsapp.

Ya Allah, bergoncang hati aku. Semudah itu aku dibolak balikkan. Berkira nak bateri murah, dengar dua lima kosong lalu aku beli dengan harga RM25. Ya mahal!

Itulah teguran Allah kepadaku! apalah sangat nilai harga tersebut dengan kenangan emak dengan arwah abah. Sangat bernilai  memori jam tersebut padanya.
Bahkan mungkin lebih daripada itu. Itulah jam yang arwah abah guna mencari rezeki membesarkan kami sehingga berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Sampai di rumah, aku cuci badan dan tali jam tersebut. Aku kilatkan dan polish tali jam yang dah lusuh tu. Biar nampak cantik dan bersih. Petang tu juga aku bagi pada emak. Mak ambik dan terus pakai dipergelangan tangannya. Sebak hati aku melihatnya. Betapa emak sebenarnya rindukan arwah abah.

Ya Allah. Terima kasih kerana memberi aku pengajaran. Tak semuanya patut diletakkan nilai pada pandangan luaran. Satu pengajaran dan didikan hati yang tak ternilai. Hanya dengan membayar RM25 sahaja. Maafkan aku amak. Maafkan aku ya Allah. Semoga janganlah engkau lambatkan detik indah untuk diriku sepertimana aku acuh tak acuh dalam memenuhi permintaan emak. Semoga kau perhiasilah akhlak dan tingkahlaku ku sepertimana aku perindahkan jam tersebut untuk menggembirakan emakku.

Indahnya teladan yang aku perolehi.

TELADAN BUAT GENERASI AKAN DATANGWhere stories live. Discover now