Bersedekah tidak akan mengurangkan harta atau rezeki. Seperti firman Allah SWT dalam al-Quran Surah Saba ayat 39 yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.
Itulah yang selalu kita dengar perihal sedekah. Sedekah tidak akan memiskinkan seseorang dan paling biasa kita dengar bahawa sedekah boleh mensuci jiwa.
Dulu selalu juga aku tertanya-tanya macam mana sedekah boleh "mensuci jiwa"?. Apa dan bagaimana jiwa atau hati kita dibersihkan dan disucikan.
Jawapannya....mulakan bersedekah!
Perasan tak, bila kita belum lagi terjebak dengan amalan bersedekah, maka bersedekah memang payah. Kalau ada saja orang-orang yang meminta sedekah seperti penjual tisu, yang duduk di kerusi roda di pinggir jalan, biasanya kita akan lalu saja. Dalam hati macam-macam analisis liar kita lontarkan.
"Ini mesti scammer ni, kalau tak pun mesti ada sindiket", antara BISIKAN HATI kita. Betul?
Berdasarkan pengalaman aku sendiri, kata-kata nista dan tanggapan buruk yang lahir dalam hati akan terus berusaha membantutkan hasrat memulakan sedekah.
Tapi, apabila kita lawan, kita mulakan tanpa mendengar bisikan hati dan terus hulurkan sedekah, bermakna kita telah berjaya di peringkat pertama. Memecah kelaziman!
Kelaziman apa? Kelaziman hati berprasangka.
Teruskan bersedekah buat kali kedua. Bisikan-bisikan itu pasti ada lagi. Tidak mudah baginya menyerah kalah! Ingat itu bisikan hati kita yang paling dalam. Jangan sibuk salahkan syaitan dengan bisikannya. Itu memang kerja mereka. Tapi, syaitan sebenarnya dah lama bercuti sebab hati manusia sebenarnya sudah ada noda-noda hitam yang perlu dibersihkan.
Lantas, teruskan lagi menghulur sedekah. Sedikit pun jadilah sebagai permulaan. Buat dan terus buat. Ibarat mencuci pakaian, pakaian yang kotor harus disental dan terus disental sehingga bersih. Kerja mencuci juga adalah kerja yang berterusan dan perlu dilakukan secara istiqamah. Bezanya cuci pakaian pakai sabun, dan cuci hati pakai sedekah.
Lama kelamaan, percayalah, ringan saja tangan menghulur. Sampai tiada lagi prasangka buruk terbit dari lubuk hati. Nampak? Mana perginya bisikan-bisikan negatif dahulu? Itu tandanya hati kita telah dibersihkan.
Lantas apa lagi? Kita akan belajar menyakini bahawa memang benar sedekah tidak akan memiskinkan!
Nanti akan aku kongsikan pengalaman berkaitan hikmah sedekah untuk teladan semua.
Ayuh.. teruskan mencuci!!
YOU ARE READING
TELADAN BUAT GENERASI AKAN DATANG
SachbücherKarya ini aku nukilkan kisah-kisah perjalanan dan iktibar dalam kehidupan. Semoga ada pengajaran, iktibar dan teladan buat muhasabah dan analisa tindakan kita dalam kehidupan yang serba misteri. Selamat Membaca!.