Pengajaran Kisah Selipar

6 1 1
                                    

Seperti biasa setiap kali Jumaat umat Islam akan bergegas ke masjid untuk melaksanakan solat jumaat. Cuma, bagi orang yang bekerja macam aku kadang-kadang di waktu begini kami mengejar waktu. Persoalan yang selalu bermain di kepala sebelum menunaikan solat jumaat adalah sama ada nak solat dulu atau nak makan tengah hari terlebih dahulu.

Maklumlah, kadang-kadang takut tak sempat nak makan sebab nak bergegas ke pejabat walaupun waktu rehat di hari jumaat adalah panjang. Namun, kebiasaannya ada saja mesyuarat selepas waktu rehat dan aku kena juga balik  awal ke pejabat untuk persediaan mesyuarat.

Satu hari tu aku keluar lewat dari pejabat. Ada mesyuarat sebelah pagi yang berlarutan. Aku bergegas terus ke Masjid dan bercadang untuk makan tengah hari selepas selesai solat sahaja.

Setelah berwuduk aku singgah di bahagian paling strategik untuk simpan selipar. Pertamanya, maklumlah selipar tu aku baru beli. Dalam hati fikirkan perkara negatif. Risaukan selipar baru aku mungkin dirembat oleh jemaah lain yang hadir solat sama ada sengaja atau tidak. Keduanya aku memikirkan senang nanti nak keluar dan terus pergi makan tengah hari.

Selepas meletakkan selipar tersebut, aku pun ke ruang tengah solat. Sambil mendengar khutbah, mata aku pun asyik menjeling tempat aku sorokkan selipar baru aku tersebut.

Selesai khutbah, jemaah sudah mula bangun mempersiapkan saf sebelum solat jumaat dimulakan. Aku pun cuba ke saf hadapan. Biasanya, untuk ke saf hadapan mudah sekali. Apabila jemaah bangun dari duduk, akan terbuka ruang laluan untuk mara ke saf hadapan.

Hari itu lain sekali bagi aku. Setiap kali aku cuba ke hadapan, akan ada jemaah lain lebih cepat mengisi ruang hadapan. Sehinggakan aku terpaksa berundur ke tempat asal aku duduk mendengar khutbah. Namun, rupanya apabila aku cuba ke hadapan tadi, telah ada jemaah lain mengisi ruang belakang aku.

Kali ini tiada ruang kosong di hadapan. Aku terpaksa mundur lagi ke belakang. Dan aku hanya nampak ruang di belakang terbuka. Tetapi, setiap kali aku bergegas ke ruang kosong tersebut pasti akan ada jemaah lain lebih pantas mengisi kekosongan ruang di belakang. Ruang hadapan yang kebiasaanya akan terbuka kosong tidak seperti aku harapkan.

Akhirnya, dengan mengejar waktu yang singkat sebelum imam memulakan solat, aku sedari aku kini berada di saf paling belakang. Ya, di saf paling belakang sahaja "kekosongan" itu diberikan kepada aku.

Hati dan perasaan aku serta merta terbungkam.

"Aku hanya memikirkan selipar dan makan ku.. nah Allah hantar aku kebelakang. Dekat dengan selipar dan makan ku tapi jauh dariNya"

Hari itu aku solat dengan rasa bersalah. Sepatutnya, aku serahkan segalanya pada Dia. Aku ke masjid untuk berbicara denganNya. Bukan sepatutnya merisaukan perkara-perkara lain.

Terima kasih Allah. Begitu sahaja pengajaran diberikan.

Sejak itu, setiap kali ke masjid aku tidak lagi peduli perihal selipar. Dan aku akan makan dahulu sebelum solat supaya di saat makan aku, aku teringatkan solat dan tidak sewaktu solatku aku teringatkan makan.

Aku kongsikan kisah ini supaya anda semua yakin. Dia maha mengetahui apa yang ada dalam hati-hati hambanya. Yakin dan tawakkal! Kejayaan akan datang.

TELADAN BUAT GENERASI AKAN DATANGWhere stories live. Discover now