Alert! Tuhan Sedang Menguji Kita

1 0 0
                                    

Teringat lagi di pagi hari itu, sedang aku berada di hadapan rumah, terdengar bunyi kucing mengeow-ngeow. Agak kuat juga bunyinya. Aku cuba melihat persekitaran rumah kalau-kalau bunyi kucing tersebut datangnya dari kawasan rumah. Puas mencari tak juga ditemukan dengan kucing tersebut.

"Mungkin kucing tu ada di kompaun jiran-jiran di sebelah". Aku mengagak.

Aku kembali masuk ke rumah. Sekurang-kurangnya aku dah mencari. Aku hanya risau kalau ada kucing yang mungkin tercedera, tersepit atau berlindung di dalam ruang enjin kenderaan yang dipakir di rumahku.

Petang hari kebiasaanya aku akan keluar untuk mengemas kawasan rumah. Aku suka memanfaatkan ruang laman rumah yang besar untuk riadah seperti menyapu, menyiram bunga dan berkebun. Keluar sahaja dari pintu rumah, kedengaran bunyi kucing itu masih belum berhenti.

"Allah...dari pagi dia mengeow sampai ke petang..macam besar sahaja masalah yang menimpa".

Memandangkan paginya aku dah mencari sekitar kawasan rumah, aku pasti bunyi tersebut bukan datangnya dalam kawasan rumah aku. Aku terus sahaja mengintai ke pagar rumah jiran sebelah.

"Pedulilah apa dia nak kata". Risau pulak kalau cctv jiran merakam perbuatan aku mengintai di kompaun rumahnya.

Aku terus memerhati sekeliling kompaun rumah jiran. Ternampak seekor anak kucing sedang berselindung di bawah rak kasutnya. Nampak comot, kotor dan basah anak kucing itu. Kesian pulak aku rasakan. Aku hanya berharap jiran aku itu nanti akan ambil dan ambil tindakan yang sewajarnya. Sekarang mungkin jiran aku tersebut masih belum balik dari kerja.

Usai aku membuat kerja-kerja mengemas halaman rumah, kelihatan notifikasi whatsapp penduduk berbunyi. Nampaklah jiran tersebut memaklumkan perihal anak kucing tersebut dan bertanya sekiranya ada sesiapa di situ ada kehilangan anak kucing.

"erm..kalau anak kucing yang kotor, tak berbaka dan sakit, confirm tak akan ada yang mengaku...kalau jenis yang berbaka hilang, kalau tak dituntut sekalipun akan ada yang memohon untuk membela". Jauh di sudut hati negatif aku berkata-kata.

Namun, itulah hakikat kehidupan. Manusia hanya tertarik pada keindahan, standard dan prestij. Kita dah jadi golongan yang select! Walau cuba menjadi hero pembela seolah-olah prihatin yang dalam tindakan terselit pembelaan yang terpilih.

Warna-warna ujian sebegini sememangnya halus. Ibarat seni yang memerlukan pandangan mata hati untuk menilai.

Tak sampai beberapa minit membaca notifikasi tersebut, tiba-tiba anak kucing tersebut dah muncul di kompaun hadapan rumahku. Bagaimana dia masuk pun aku tak tahu memandangkan pagar rumah aku memang tiada laluan besar. Aku sudah buat modifikasi bagi memastikan kucing-kucing peliharaan aku tidak dapat keluar dari kompaun rumah. Risau kalau mereka keluar ke rumah jiran dan berak merata. Keduanya, kucing aku ada yang berbaka, well...kalau tak kena rembat, nanti ada pula yang mengaku tuan.

Aku menghampiri anak kucing tersebut, makin kuat dia berbunyi. Aku amati keadaanya dengan lebih dekat. Teruk sungguh keadaanya. Baunya hanyir mungkin disebabkan terlalu banyak luka di badanya yang sudah bernanah. Bahagian telinga dan kepalanya penuh gumpalan-gumpalan kudis dan kurap yang sudah menebal.

Apapun, isunya kini, walaupun banyak ujian yang sedang dihadapi anak kucing tersebut, hakikatnya kita semua sedang diuji. Melihat saja, membantu atau melepas tangan.

Memandangkan aku sendiri sudah ada beberapa ekor kucing di rumah, memang aku tidak berhasrat untuk menerima atau menambah bilangan kucing lagi. Walaubagaimanapun banyak alasan yang mendatang, hatiku masih memberi ruang.

"Mungkin aku perlu merawat dia dahulu dan membebaskannya kelak" itu lah yang bermain dalam minda.

Aku hulurkan dia makanan dan minuman. Dengan rakus dia merapati dan menghabiskan semangkuk makanan. Lapar betul dia, mungkin sudah beberapa hari tidak makan. Aku tambahkan lagi makanannya. Ibarat kita juga, kalau perut dah kenyang hati pun senang.

Risau akan keadaanya yang agak teruk, aku putuskan untuk membelanya beberapa hari. Hari demi hari, luka dan dan gumpalan kudis dan kurap semakin berkurangan. Anak kucing tersebut juga sudah pandai berak di dalam tempat yang disediakan. Sesekali aku lepaskan dia bermain di luar sangkar dan setiap masa itu lah dia mengekori aku tanpa henti. Tidak mau dia melepaskan dirinya dari mengekori aku setiap masa.

"hurm...what next?"

Ujian pertama telah dilalui. Bagaimana dengan ujian seterusnya? Ujian perasaan dan ikatan?

Semoga aku diberikan petunjuk oleh Nya. Tidak semua perkara yang terjadi di dalam kawalan kita.

Cuma, sekurang-kurangnya Allah membuka hati untuk lulus ujian pertama. Walau pun pada mulanya hati ini sedikit 'select", tapi engkau juga "select" dalam memilih mana hamba mu yang akan diuji.

Ya Allah, engkau cukupkanlah makan dan minum saudara-saudara ku, perhiasi diri-diri kami dengan kebersihan dan kesihatan, ubati luka-luka kami, wangi dan perindahkan kami, gugurkan gumpalan penyakit-penyakit di tubuh kami seperti mana engkau menjaga makhlukmu si anak kucing itu.

Ameen, Ameen yarobbalalamin..

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 09 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

TELADAN BUAT GENERASI AKAN DATANGWhere stories live. Discover now