Selepas beberapa tahun, mereka dipertemukan semula dan kali ini dengan cerita yang berbeza.
Palette (n.)
a thin board or slab on which an artist lays and mixes colours.
-Kalau kata Dhuha, Palette itu wadah yang menampung warna-warni hidup.
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Dia masih memegang mushaf sebesar dua tapak tangan. Surah Al-Mulk dah selamat dibaca sehingga ayat terakhir. Bacaan doa khatam pun dah diaminkan.
Hanya, selain telekung yang masih belum ditarik melepasi kepala, pandangan mata dia juga masih belum beralih dari potongan ayat ke-13 surah tentang kerajaan itu.
'Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.'
Nafas panjang ditarik sebelum dihembus. Mata merenung baris demi baris ayat yang ada. Betullah tu. Tak ada apa yang terlindung dari Maha Mengetahui yang Allah punya. Sekecil apa pun.
Termasuk rasa dan isi hati pasal kejadian dua hari lepas tu ke, Dhuha?
Senyum ditarik nipis, nyaris tak kelihatan serentak wajah Nathan terbayang.
Sekarang dah pukul 12 setengah pagi dan Dhuha masih belum mengantuk walaupun dia penat seharian ini sibuk dengan kerja. Draft untuk skrip podcast minggu depan dah siap. Manuskrip yang perlu dibaca pun dah selesai satu dari dua yang menuntut perhatiannya.
Cuma, perihal Layt Nathan Intiqab ini yang masih betah untuk memenuhkan fikiran. Masih belum puas buat isi kepala Dhuha penuh sesak dengan persoalan demi persoalan.
Selepas membaca terjemahan ayat ke-13 tadi, kepala Dhuha makin sesak. Mata dia yang kuyu menahan kantuk pun jadi segar macam lepas kena simbah dengan air sejuk. Sekali lagi terjemahan ayat itu dibaca ulang.
Allah tahu, kita aje yang cuba tipu diri sendiri. Nak junjung ego buat-buat okey tu penat. Lari dari kenyataan namanya tu.
Kenyataan apa?
Kenyataan yang tiga tahun belakangan ini Dhuha masih terluka hatinya.
Kenyataan yang tiga tahun belakangan ini tak ada yang 'baik-baik saja' setiap kali ada yang bertanya.
Klak.
Dhuha menutup mushaf sebelum kepala dipusingkan menatap ke arah pintu yang terbuka. Sophie tersenyum sambil tangannya bergerak perlahan menutup pintu bilik. Ingatkan member seorang ni dah masuk ke alam mimpi.
"Aku ingatkan kau dah tidur tapi lupa nak tutup lampu." Sophie memang tengah dalam perjalanan nak balik ke bilik sendiri sebenarnya. Masa lalu depan pintu bilik ini, ternampak cahaya lampu kalimantang masih menyala.
"Tahajud ke?" Sophie menyoal sepatah sebaik Dhuha cuma senyap. Mata disepetkan merenung jam dinding yang tergantung. Qiamullail apa pukul 12 ni?
"Taklah, aku baru nak tidur." Telekung ditarik dan Dhuha meletak semula mushafnya ke rak buku di atas meja.
Sophie angguk sambil mengambil tempat di atas katil. Faham dengan rutin wajib yang satu itu. Melihat Dhuha yang berdiri membelakangi dia, mata Sophie menjeling permukaan meja kerja yang ditempati Dhuha tadi.