Halaman rumah Pak Arman sudah dipenuhi dengan khemah-khemah yang akan menempatkan para tetamu. Sanak saudara mula memenuhi kawasan rumah untuk bergotong-royong merewang. Anak-anak kecil berlari gembira di halaman rumah.
Diya berjalan mundar mandir di halaman rumah. Majlis pernikahan akan berlangsung esok pagi. Namun, bayang Adha masih tidak kunjung tiba. Masih tiada khabar berita daripada Adha, Najmi, mahupun Aaryan.
"Diya!" Puan Humaira memanggil.
Diya segera menoleh ke belakang. Kelihatan Puan Humaira menapak mendekatinya.
"Insya-Allah, dia orang baik-baik saja tu. Adha akan balik sebelum majlis nikah esok. Najmi dan Aaryan juga," pujuk Puan Humaira yang mengerti kegusaran yang melanda hati bakal menantunya itu.
"Diya risau, mama. Adha cakap dia orang pergi sehari dua je. Tapi ini dah lima hari, mama. Tak ada khabar berita apa-apa langsung," ujar Diya perlahan.
Matanya masih tetap melihat ke arah jalan raya. Menunggu kelibat bakal sang suami muncul untuk menghilangkan segala gundah dan gulana yang bersarang dalam hati.
"Jangan duduk lama-lama kat luar ni. Tak elok. Awak tu darah manis," nasihat Puan Humaira sebelum dia berlalu meninggalkan Diya bersendirian di halaman rumah.
Usai solat Isyak, Diya menapak menuju ke pangkin di halaman rumah. Dia tetap setia menunggu kepulangan Adha. Doa tidak putus-putus dipanjatkan kepada Allah agar lelaki itu selamat kembali ke pangkuannya.
Jari yang sudah berinai merah ditatap sayu. Dia tertunduk bersama juraian air mata. Sesekali terdengar esakan halus keluar daripada mulutnya.
Puan Humaira yang berada di bawah khemah menggamit ahli keluarga yang lain melihat ke arah Diya. Masing-masing tersenyum penuh makna. Namun, tidak pula mereka mendekati wanita itu. Mereka hanya membiarkan sahaja wanita itu melayan perasaannya.
"I told you I'll be there on our wedding day, sayang."
Suara yang cukup dikenali itu membuatkan Diya segera mengangkat wajah. Dia menghamburkan air mata semahu-mahunya. Bibir tersebik-sebik menahan tangis. Bahu terhinggut-hinggut.
"Kenapa menangis, sayang?"
Adha berjalan terhincut-hincut menuju ke arah wanita yang bakal menjadi isterinya dalam masa kurang 24 jam. Diya menerpa laju melihat keadaan Adha begitu.
Najmi dan Aaryan pula berjalan meninggalkan mereka dan menuju ke arah ahli keluarga lain yang berada di bawah khemah.
"Teruk ke abang kamu tu?" Encik Razif menyoal kepada Aaryan dan Najmi.
"Dua tembakan, papa. Perut dengan paha. Tapi, papa tahulah badan abang kan berotot, so alah! Luka sikit saja tu. Kami balik lambat ni pun sebab tunggu abang dekat wad je." Aaryan tersengih, begitu juga Najmi.
"Najmi, kamu okey?" Puan Humaira pula menyoal apabila dia melihat muka Najmi terdapat kesan luka dan lebam.
"Okey je, mama. Well, sikit je ni," lagak Najmi.
Pandangan dilontarkan ke arah Adha dan Diya yang sedang duduk di pangkin.
"Jadi, awak lambat datang sebab kena tahan dekat wad? Habistu kenapa Najmi dengan Aaryan tak balik dulu bagitahu kami? Tahu tak saya risau macam mana? Sampai hati awak," rajuk Diya.
"Sorry, sayang. Saja nak bagi kejutan elektrik kat sayang," tersengih Adha.
"Jangan buat macam ini lagi, Adha. Luruh jantung saya," tegas Diya. Dia memalingkan wajah melihat ke arah lain. Air mata mengalir lagi.
"Sayang marah abang?"
Adha menukar bahasa panggilan dirinya. Diya hanya diam tidak menjawab.
"Tak baik tau bakal suami tanya tak jawab," pujuk Adha lagi.
"Bakal suami, belum jadi suami lagi," laju Diya membalas.
"Hm, marah betul ni." Adha menggaru kepala yang tidak gatal.
"Kaki tu kenapa?" Diya menyoal. Mata dijeling sekilas ke arah lelaki itu.
"Kena peluru, sayang "
"Lagi kena kat mana?"
"Perut."
"Perut?!"
Mata Diya membuntang. Spontan air mata mengalir laju. Adha hanya membiarkan sahaja.
"Sakit lagi tak?" Diya menyoal perlahan dengan suara serak menangis.
"Nampak muka sayang, hilang semua sakit abang." Adha tersenyum manis. Diya mencebik.
"Orang tanya betul-betul."
"Abang jawab betullah ni, sayang. Sayanglah madu, sayanglah racun."
"Saya racun tikus ke?"
Adha ketawa mendengar soalan Diya namun tidak lama. Dia mendesis menahan kesakitan yang menjalar di perut.
"Awak okey tak ni?" Diya risau melihat keadaan Adha.
"Abang okey, sayang. Jom, masuk dalam! Tak elok duduk bawah embun malam-malam macam ini. Sayang kena rehat. Tengok mata tu dah bengkak banyak sangat menangis," ujar Adha.
"Menangis sebab awaklah!" marah Diya.
"Okey, okey! Abang minta maaf. Sorry, sayang! Laplah air mata tu, sayang," kata Adha sambil tersengih. Diya segera mengelap air mata dengan belakang tapak tangannya.
"Jom, kita masuk dalam!" ajak Adha.
Diya akur. Mereka berjalan beriringan melangkah ke bawah khemah menuju ke arah ahli keluarga berkumpul.
"Adha, tak baik buat bakal menantu mama macam itu tau!" Puan Humaira menjegilkan mata ke arah Adha sebaik sahaja mereka tiba di bawah khemah.
"Sorry, mama! Sorry, sayang!" Adha merapatkan kedua-dua tapak tangan sambil menyengih.
"Abang!" Aaryana menepuk manja perut Adha.
"Aduh!" Adha mengadu kesakitan.
"Buek!" Aaryana menjelirkan lidah.
"Adik abang ni saja eh nak kenakan abang," ujar Adha.
"Ya! Esok tak boleh manja-manja lagi! Buek!" Aaryana menjelirkan lidahnya lagi lalu berlari ke dalam rumah mengejar kanak-kanak.
"Umur dah 21 tahun pun perangai macam kanak-kanak ribena," omel Aaryan.
"Engkau pun sama, tak payah cakap orang!" Najmi menyampuk.
"Eleh! Baru kutuk adik dia sikit, nak marah!"
Aaryan menjulingkan mata ke atas. Najmi menunjukkan penumbuknya kepada Aaryan.
"Tak payah cakap adik kamu yang umur 21 tahun tu, Yan. Ni mama kamu yang dah tua kerepot ni pun perangai masih budak-budak lagi," celah Encik Razif.
"Amboi, abang! Nak tidur luar ke malam ni?" ugut Puan Humaira.
Mereka semua melepaskan tawa besar. Perasaan bahagia menggebu dalam jiwa Adha, bersyukur dirinya masih diberi keizinan oleh Allah untuk merasakan kebahagiaan ini.
**********

YOU ARE READING
𝐓𝐚𝐤𝐝𝐢𝐫 𝐓𝐞𝐫𝐢𝐧𝐝𝐚𝐡 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤𝐤𝐮 (𝐂)
عاطفية[SIRI PERTAMA 4 BERADIK] ❗️Dalam proses edit❗️ Singkat. Itu adalah perkataan yang sesuai untuk permulaan kisah cinta antara Diya dan Adha. Namun tidak bagi Adha kerana dia sudah lama menyukai gadis itu. Dengan bantuan Najmi, kisah cinta mereka berdu...