bahagian 8. {iman dan taqwa}

1 0 0
                                    

Allah SWT adalah pencipta dan pemilik mutlak sumber alam yang wujud ini. Sumber alam yang diciptakan oleh Allah SWT itu sangat luas. Keluasannya dibuktikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (Tuhan berfirman lagi): 'Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi, mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan." (Surah al-A'raf ayat 96)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberi rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. Sesungguhnya Allah melakukan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan tiap-tiap sesuatu. " (Surah at-Talaq ayat 2-3)

Kedua-dua ayat ini menerangkan mengenai janji Allah SWT yang akan menambahkan lagi rezeki kepada orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya. Dalam perkataan lain, sumber alam akan tumbuh dan berkembang serta semakin bertambah jika penggunanya beriman serta bertakwa kepada Allah SWT. Rezeki yang bertambah-tambah daripada Allah SWT ini yang dikatakan rezeki yang barakah (berkat).

Dalam al-Mufaradat fi Gharib al-Quran, al-Raghib al-Asfahaniy menyatakan barakah bermaksud berkembang dan bertambah. Ia adalah kebaikan yang ditentukan oleh Allah SWT dalam sesuatu perkara.

Berhubung bentuk barakah itu, Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, ia adalah hujan yang diturunkan dari langit, tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok buah-buahan di bumi. Berdasarkan pandangan Ibn Kathir ini, jelas bahawa barakah itu adalah limpahan kemakmuran rezeki dan makanan yang tidak terbatas.

Kunci utama untuk mendapatkan rezeki yang barakah daripada Allah SWT ini ialah iman dan takwa. Keimanan kepada Allah SWT adalah kebebasan daripada memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan kepada sesama manusia atau makhluk, manakala ketakwaan pula ialah melakukan segala perkara yang perintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya

Sebenarnya ketakwaan ini dapat mengawal segala kegiatan manusia agar mereka tidak melakukan tindakan yang keterlaluan, liar, menyeleweng, sombong dan angkuh.

Bukan setakat itu, malah orang yang bertakwa itu akan dikurniakan tambahan rezeki oleh Allah SWT tanpa disedari dan diketahui. Hal ini dapat dibuktikan melalui peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat 2-3 dalam Surah at-Talaq sebelum ini.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa 'Awf bin Malik al-Asyja'iy datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: "Anakku ditangkap musuh, manakala ibunya sangat sedih dan gelisah. Apakah perintah Tuan ke atasku?" Rasulullah SAW bersabda: 'Aku perintahkan agar engkau dan isterimu memperbanyakkan mengucap: La hawla wala quwwata illa billah". Lalu isterinya berkata: "Alangkah eloknya perkara yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW kepadamu". Dengan itu, pasangan suami isteri itu pun memperbanyakkan bacaan tersebut. Pada suatu masa, ketika musuh sedang lalai, anaknya yang ditawan musuh itu dapat melepaskan diri daripada tawanan musuh. Dia lari dengan membawa seekor kambing yang dirampas daripada musuh. Sebaik saja 'Awf bin Malik al-Asyja'iy melihat anaknya membawa balik seekor kambing, beliau segera pergi menemui Rasulullah SAW dan memberitahu tentang hal tersebut. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Makanlah ia (kambing itu)."

Peristiwa penurunan ayat ini menunjukkan bahawa Allah SAW akan menganugerahkan dua kenikmatan kepada orang yang bertakwa dan beriman kepada-Nya. Pertama ialah Allah SWT memberi jalan penyelesaian bagi sesuatu kesempitan dan kesusahan hidup. Kedua ialah Allah SWT memberi rezeki yang tidak disangka-sangka. Mendapat rezeki tambahan yang tidak disedari dan disangka-sangka ini yang dikatakan barakah.

Selain iman dan takwa yang menjadi kunci pertambahan rezeki, Allah SWT juga berjanji akan menambahkan rezeki kepada orang yang sentiasa bersyukur. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim ayat 7)

Sabarlah HatiWhere stories live. Discover now