KEPALA mengangguk kecil tatkala pemanggil di hujung talian berkata-kata. Senyuman juga terukir di bibir menandakan dia setuju dengan idea tersebut.
"Boleh, Zam. Terima kasih sekali lagi. Okey, baik. Waalaikumsalam." Talian yang telah tamat itu buatkan fokus Dahlan kini beralih pada Kaer yang sedang menikmati sarapan.
"Uncle Zam cakap apa, bah? Dia jadi ke datang dengan pihak kontraktor tu minggu depan?" Soal Kaer bersama tangan yang mencapai cawan berisi kopi.
"Jadi, Dhaf. Katanya kertas kerja semua dah settle. InsyaAllah minggu depan rasanya dah boleh mula penanaman." Dahlan senyum di akhir kata. Terpancar rasa gembira di wajah lelaki itu.
"Harap-harapnya cuaca semua eloklah ya, bah. Takut juga kalau tiba-tiba hujan berkala ke apa," ujar Kaer bersahaja.
"Ya, abah pun harap gitu. InsyaAllah kalau niat kita baik, Allah pasti permudahkan." Ucap Dahlan.
"Aamin." Kaer turut mengaminkan kata-kata Dahlan itu. Doanya semoga projek sawah padi mereka kali ini berjalan dengan baik. Itu sahaja harapan dia dan abah.
"Assalamualaikum!"
Suara yang memberi salam dari luar rumah itu membuatkan Dahlan dan Kaer sama-sama memusingkan kepala.
"Rasanya Fir dah sampai tu, bah. Dhaf gerak dululah." Kaer kembali pandang Dahlan.
"Ha pergi cepat. Nanti lambat pula." Suruh Dahlan.
Kaer mula bangun dari duduknya bersama topi yang diletakkan di atas kepala. Tangan dihulurkan kepada Dahlan lalu disambut oleh tangan tua itu.
"Abah boleh kan duduk sorang rumah ni?" Soal Kaer risau. Lagi-lagi bila abah tak berapa sihat akhir-akhir ini.
"Aih, Dhaf buat macam abah tak pernah duduk sorang pula," kata Dahlan dengan senyuman.
"Risau, bah. Dhaf pergi ni tak tahu balik pukul berapa." Memanglah jangkaan dia balik tengahari tapi dewan komuniti mereka itu besar, mustahil tak sampai ke petang.
"InsyaAllah tak ada apa." Ujar Dahlan yakin.
"Kalau ada apa-apa cepat-cepat telefon Dhaf tau!" Pesan Kaer tegas.
"Ya! Pergi cepat! Kesian Fir tunggu lama tu." Halau Dahlan.
Kaer menyengih. "Pergi dulu, abah! Jaga diri!" Jeritnya sebelum keluar dari rumah.
Dahlan kekal tersenyum.
"TAK apa. You guys go on jelah. I probably tak pergi malamni. Sorry." Ucap Ayreen bersama gelengan. Telefon yang berada di telinga dipegang utuh bersama kaki yang berjalan di sisi kolam renang.
"Tapi babe, malamni kan birthday party Zoey. You tak kesian ke dekat dia kalau dia tahu you tak datang?" Soal Qierana dengan nada yang memujuk.
"Later I cakaplah dengan dia yang I tak boleh pergi. Please Qie, jangan paksa-paksa I macamni. Fahamlah keadaan I sama." Nada Ayreen naik meninggi entah kenapa. Tidak suka dengan cara Qierana memujuknya.
"Fine! Ikut suka youlah."
Talian yang dimatikan secara tiba-tiba itu buatkan Ayreen kerutkan dahinya. Rengusan kasar terbit di bibirnya bersama tangan yang berura-ura ingin mencampak telefonnya ke dalam kolam renang tersebut tetapi suara yang kedengaran di belakang menghentikan tingkahnya.