SUASANA di Dewan Komuniti Sri Pandan tika itu hiruk-pikuk dengan kehadiran orang ramai sempena majlis persandingan anak gadis Haji Salim dan juga Hajah Kalsom yang telah pun selamat diijabkabulkan tengahari tadi.
"Sampai dah kau, Lan. Jemput masuk." Haji Salim yang menjaga pintu utama dewan mengalu-alukan kedatangan Dahlan serta Kaer yang baru sahaja tiba. Senyumannya tidak lekang langsung dari bibir sejak awal majlis tadi.
"Tahniah, Salim. Akhirnya dah bermenantu dah kau," ujar Dahlan usai bersalaman dengan Haji Salim. Bahu lelaki itu ditepuknya perlahan.
"Alhamdulillah. Lepasni InsyaAllah giliran kau pula. Ye dal, Dhaffa?" Haji Salim alihkan pandangannya pada Kaer yang berada di belakang sebelum tawa diantara dua orang lelaki itu kedengaran.
Dhaffa hanya mampu tersenyum mendengar ujaran Haji Salim itu. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini sering sahaja topik tentang perkahwinan dikaitkan dengannya. Seriau pula rasa.
"Irra, bagi goodies bag satu dekat Pak Dahlan dengan Dhaffa," ujar Hajah Kalsom pada Irra di belakang.
Irra menurut perintah lalu dua goodies bag diberikan pada Dahlan dan juga Kaer. Sempat dia pamerkan senyuman manis pada Kaer tatkala lelaki itu memandang ke arahnya semacam.
"Irra buat apa dekat sini? Tak makan sekali?" Soal Kaer pelik.
"Irra ambil upah tolong Mak Kalsom. Saja nak cari duit poket." Irra senyum pada Hajah Kalsom di sebelah sebelum pandangannya didaratkan pada Kaer.
"Oh.." Kaer hanya angguk kemudiannya. Senyuman turut sama diukir dihadapan Irra dan Hajah Kalsom.
"Dhaffa, bawa abah kamu ni pergi makan. Ada banyak makanan tu ha. Jangan malu-malu." Haji Salim menepuk bahu Dahlan beberapa kali sebelum Dhaffa mengajak abahnya untuk ke meja makan.
"Abah nak makan apa? Biar Dhaf pergi ambil." Tanya Kaer sebaik sahaja mereka labuhkan duduk di sebuah meja kosong.
"Nasi ajelah. Tapi abah taknak banyak tau. Separuh cukup." Ujaran Dahlan itu Kaer balas dengan anggukan.
Kaki kini mula melangkah menuju ke ruangan nasi lalu dua buah pinggan dicapai. Satu untuk abah dan satu lagi untuknya.
"Eh, Dhaf?"
Dhaffa yang sedang mencedok lauk itu memalingkan kepala tatkala namanya diseru. Senyuman automatik terukir di bibir melihatkan Syanis kini berada di hadapannya.
"Lah, kau rupanya yang berdiri depan aku ni, Nis." Dhaffa ukir senyuman di hadapan Syanis. "Ni kau datang dengan siapa?" Tanyanya sambil tangan memegang kedua buah pinggan di tangan lalu langkah digerakkan ke hadapan bersama mata yang memandang lauk-pauk berbagai jenis itu.
"Abah dengan mak aku ada dekat meja dengan kakak aku. Kau pula? Datang dengan siapa?" Soal Syanis pula. Matanya kini tertancap pada dua buah pinggan di tangan lelaki itu.
"Dengan abah aku lah. Siapa lagi?" Jawab Kaer bersama kening yang terangkat manakala Syanis pula sekadar mengangguk.
"Kesian pula aku tengok kau pegang sampai dua pinggan dekat tangan. Mehlah aku tolong." Dengan selambanya Syanis sambar pinggan yang masih belum terisi sebarang lauk itu dari tangan Kaer.
"Eh, tak susahkan kau ke, Nis? Aku boleh je buat sendiri." Soal Kaer teragak-agak.
"Apa yang susahnya? Isikan lauk je pun. Ha bagitahu cepat nak isi lauk apa." Arah Syanis.
Kaer menurut perintah bersama tangan yang bergerak menunjuk di hadapan Syanis. Beberapa lauk-pauk kegemaran abah diberitahu kepada gadis itu.
"Okey, siap! Dah boleh hantar dekat abah kau." Syanis serahkan kembali pinggan di tangannya pada Kaer. Bibirnya menarik senyum saat mata mereka bertembung.