AYREEN menyentuh kepalanya yang berdenyut-denyut saat matanya perlahan-lahan dicelikkan. Syiling putih di atas menjadi tatapan pertamanya sebelum seluruh kawasan bilik tersebut dianalisanya.
"Ayreen? You dah bangun?"
Mendengarkan namanya diseru oleh suara yang amat dikenali itu buatkan Ayreen pusingkan kepala ke kiri. Terlihat wajah Puan Sri Daria yang kini sedang tersenyum memandangnya.
"Mummy?" seru Ayreen dengan suara seraknya.
"D, Ayreen dah bangun!" Puan Sri Daria pusingkan tubuhnya ke belakang menghadap Tan Sri Azzam yang turut sama berada di situ. Tubuhnya tegak berdiri mendekati isterinya serta anak gadisnya yang sudah tersedar.
"Daddy?" Terkelip-kelip mata Ayreen memandang Tan Sri Azzam yang kini berdiri di belakang Puan Sri Daria. Wajah lelaki itu tegang tanpa secalit senyuman.
"Finally you wake up, baby. I risau sangat semalam bila you tak sedar-sedar." Kepala Ayreen diusap lembut oleh Puan Sri Daria. Nada wanita itu lembut sekali kedengaran.
Ayreen mengerutkan dahinya tidak faham tatkala butir bicara Puan Sri Daria menyapa koklea telinga. Dia tidak sedarkan diri? Atas sebab apa?
"A-apa yang dah jadi dekat I, mummy? Kenapa I tak ingat apa-apa pun?" Soal Ayreen pelik.
Seingatnya pada malam itu dia cuma keluar bersama Yara. Jadi mengapa mummy berkata sedemikian? Ada apa-apa yang terjadikah?
"You kena food poisoning, sayang. Malam Yara bawa you balik tu, you muntah tak henti-henti." Beritahu Puan Sri Daria tanpa berdalih. Segala apa yang berlaku diceritakan semula bagi mengembalikan ingatan Ayreen tentang malam itu.
Tatkala mendengar cerita mummy tika itu, automatik ingatan Ayreen kembali pada malam di mana dia mengadu pada Yara bahawa perutnya sakit. Kemudiannya di dalam kereta juga dia muntah tidak henti sehinggalah tiba di rumah dan saat itulah di mana dia jatuh pengsan di pangkuan mummy.
"Dah ingat?" Suara Tan Sri Azzam yang kedengaran itu memadamkan segala ingatan Ayreen seterusnya buatkan dia memandang ke arah lelaki itu.
Perlahan-lahan kepalanya terangguk mengiyakan pertanyaan daddy. Ya, dia sudah ingat.
"I betul-betul kecewa dengan you, Ayreen." Tan Sri Azzam luahkan rasa di hatinya. Wajahnya juga memaparkan riak wajah kecewanya terhadap tingkah anak gadisnya itu.
Ayreen kekal diam tanpa rasa ingin menyampuk. Kata-kata yang terbit dari mulut Tan Sri Azzam itu sudah cukup untuk buat dia faham mengapa.
"Selama ni, apa yang you nak, I sentiasa bagi. Tak pernah sekali pun I tolak apa yang you minta dari I. I tatang you bagai minyak yang penuh. Even your mummy too. We both did our best to give you everything you deserve, Ayreen." Sambung Tan Sri Azzam lagi. Setiap patah perkataannya diucapkan dengan penuh rasa kecewa buatkan Ayreen mahupun Puan Sri Daria terdiam sepi.
"Tapi you? You tak pernah nak dengar cakap kami berdua. You hanya pentingkan keseronokan you dekat luar sana. Keluar tak tahu ke mana. Balik lewat malam. Bagitahu daddy apa lagi yang tak cukup, Ayreen? Tell me!" Ton Tan Sri Azzam naik meninggi di akhir kata tanpa dia sedari. Dada yang berombak laju buatkan dia kembali tersedar sebelum dia hela nafas lemah.
"I tak tahu lagi apa yang I kena buat supaya anak I sendiri dengar cakap I, Ayreen." Tan Sri Azzam geleng kepalanya kesal. "You buat I sedar yang selama ni I dah gagal jadi seorang bapa untuk anak I sendiri." Ucap Tan Sri Azzam perlahan.