2 bulan kemudian...
USAI membutangkan baju kemejanya, kunci motor yang berada di atas meja dicapainya. Tidak lupa juga topi yang tersangkut pada bucu cermin dicapai sama. Langkah kakinya kini bergerak keluar dari bilik sebelum menuju ke bilik Dahlan.
Langsir yang menutupi bilik abah diselak sedikit lalu bayangan abah yang sedang menyarungkan songkok di kepalanya menjadi tatapan mata.
"Dah siap, abah?" Tanya Kaer bersama senyuman di bibir.
"Dah." Dahlan turut sama senyum lalu langkahnya dibuka menghampiri Kaer.
"Abah nak Dhaf hantar abah dekat mana? Dhaf dah bagitahu Firash Dhaf lambat sikit harini." Kaer menyoal Dahlan saat mereka tiba di ruang tamu. Duduk dilabuhkan sebentar bagi menikmati kopi yang sudah dibancuh oleh Kaer.
"Abah rasa Dhaf tak payah hantar abahlah. Tadi kawan abah tu ada telefon. Katanya dia sendiri yang nak datang ke sini. Alang-alang tu dia nak tengok sekali kawasan sawah padi kita." Ujar Dahlan bersama tangan yang mencapai secawan kopi.
"Kawan? Dia kawan abah ke?" Rasanya semalam abah tak ada pun bagitahu dia bahawa Tan Sri yang berminat dengan sawah padi mereka itu adalah temannya.
"Ya. Kawan lama. Lama juga rasanya kami tak berhubung. Tahu-tahu semalam dia telefon abah semula. Katanya ada yang perkenalkan kawasan kampung kita dekat dia. Itu yang cepat-cepat dia cari abah." Terang Dahlan.
Kaer sekadar menganggukkan kepalanya mendengarkan kata-kata abah itu. Lagi bagus sebenarnya jika abah saling mengenali dengan investor mereka itu. Mudah untuk mereka berurusan kemudian hari.
"Pukul berapa kawan abah tu sampai? Dia tahu tak jalan ke rumah kita ni?" Kaer kerling jam di tangan. Dia janji dengan Firash untuk tiba di sawah padi pukul 9 jadi dia masih ada setengah jam lagi untuk temankan abah.
"Abah dah bagi alamat dah dekat dia. Rasanya sekejap lagi dia sampailah tu." Balas Dahlan. Susuk tubuh Kaer dipandangnya lama. "Kalau Dhaf rasa Dhaf nak pergi sekarang pun tak apa. Abah boleh je tunggu sorang." Sambung Dahlan lagi.
Mendengarkan ujaran Dahlan itu, Kaer akhirnya menganggukkan kepalanya. Bayangan Firash melakukan kerja seorang diri tiba-tiba bermain di fikirannya.
"Kalau abah dah cakap macam itu tak apalah. Dhaf pergi sawah dulu. Kalau ada apa-apa nanti abah cepat-cepat telefon Dhaf tau." Kaer bangun dari duduknya. Tangan dihulurkan pada Dahlan untuk bersalaman.
"Ya. Hati-hati naik motor tu." Sempat Dahlan menasihati anak lelakinya tatkala huluran tangan itu disambut.
"Baik, abah. Assalamualaikum." Senyuman diberikan kepada Dahlan tatkala kakinya tiba di tangga pintu.
"Waalaikumsalam."
BEKAS berisi mihun goreng yang baru sahaja dimasak itu kini diletakkan di atas meja makan. Sepiring pinggan dicapai lalu mihun goreng tadi diisi sebelum diletakkan di hadapan Puan Sri Daria.
"Jemput makan, Puan Sri." Ujar Mak Milah sambil tangan menuangkan pula kopi di dalam cawan.
"Terima kasih, Kak Milah. By the way, mana Tan Sri? Sejak I bangun pagi tadi lagi I tak nampak dia. Dia ada bagitahu Kak Milah tak dia pergi mana?" Soal Puan Sri Daria pelik.
Selalunya suaminya tidak pernah menghilang tanpa memberitahunya apa-apa tetapi pagi tadi bayangan lelaki itu langsung tidak kelihatan.
"Tan Sri awal pagi tadi lagi dah keluar, Puan Sri. Dia bagitahu yang dia ada nak melawat kawasan harini. Katanya mungkin dia akan balik lewat sikit." Beritahu Kak Milah kembali sama seperti apa yang Tan Sri Azzam beritahu padanya.