LOCENG rumah yang berbunyi menyedarkan Nawal dari tidurnya. Dah kenapa Hud tak masuk sahaja dalam rumah? Tak akanlah terlupa password rumah sendiri kut?
Buka sahaja pintu, berkerut dahi Nawal tatkala wajah Luthfi yang tersenyum manis menyapa pemandangan. Luthfi tahu dia disini?
Namun, persoalan itu terus mati saat anak matanya terpaku pada bayi lelaki yang berada di dalam dukungan lelaki itu.
Pantas sahaja gril rumah dibuka. Terketar-ketar tangan ingin menyambut huluran kawannya itu.
“Ya Allah, Nufail...” Air mata laju jatuh apabila anaknya jatuh kedalam pelukannya. Akhirnya, dia boleh peluk Nufail. Dia boleh cium Nufail.
“Terima kasih... Terima kasih, Luthfi,” gumam Nawal tanpa henti. Ucapan terima kasih tidak berhenti keluar dari ulas bibir itu.
“Sama-sama. Saya minta diri dulu, ya. Malam nanti Hud datang,” balas Luthfi yang masih lagi tidak lekang dengan senyuman walaupun hatinya yang turut sakit saat melihat keadaan Nawal seperti itu. Apa yang Hud dah buat selama ini?
Sampai hati Hud buat anak isteri macam itu. Macam manalah reaksi kawannya itu jika melihat Nawal dan Nufail sekarang ini?
“Baik, terima kasih sangat-sangat, Luthfi. Terima kasih.”
Lirikan mata menghantar pemergian Luthfi. Nufail yang masih lagi lena didalam pelukannya itu ditatap penuh kasih. Pipi gebu milik anaknya dicium lembut.
“Anak ibu...”
SAAT pintu rumah dibuka, laju Nawal berjalan kearah Hud yang menuju ke ruangan dapur. Mata tidak lepas memerhati tingkah-laku Hud yang hanya beriak biasa. Seperti tiada apa yang berlaku.
“Terima kasih...” Penuh ikhlas Nawal ucapkan buat suaminya itu. Hud tidak membalas malah bergerak mendekati Nawal yang berdiri tidak jauh darinya.
Saat Hud betul-betul berdiri dihadapannya, Nawal menunduk, memandang lantai. Kenapa wajah Hud nampak seperti sedang marah?
Ah, Nawal. Kau lupa ke seperti apa sikap Hud? Lelaki itu tidak mungkin akan melakukan sesuatu tanpa sebab. Sekali lagi kau lupa, Nawal.
Ketika Nawal sedang hanyut dengan fikiran sendiri, tanpa sebarang kata, tubuh genit itu dipeluk erat oleh Hud. Terus kaku badan kecil itu apabila suaminya mengetatkan lagi pelukan.
“Aku minta maaf, Nawal. Aku minta maaf...” ujar Hud dengan suara yang perlahan namun masih lagi dapat didengari oleh Nawal.
Nawal tidak membalas.
Maaf?
Untuk apa?
Hati dia masih sakit. Kata-kata maaf itu tidak dapat menyembuhkan luka di hati dia. Kalau dia maafkan sekalipun, luka itu tetap akan ada.
Kata maaf itu tidak mampu mengembalikan masa yang dia telah hilang untuk menjaga Nufail. Maaf itu tidak akan mengubah apa-apa. Maaf itu juga tidak akan mampu merawat balik hati dia yang telah hancur itu.
“Hud... Lepaskan saya.” Nawal menolak lembut dada suaminya namun Hud tetap tidak berganjak.
“Kau tak maafkan aku ke, Nawal?” soal Hud. Kini, wajah dialihkan untuk memandang wajah isterinya itu.
Nawal menghela nafas lemah. “Bukan... Sebelum itu, lepas dulu, awak berat. Pinggang saya sakit,” dalih Nawal.
Sedar yang dia menyakiti Nawal, pantas Hud melepaskan pelukan. Kedua belah bahu milik Nawal dipegang lembut.
“Sakit ke? Sorry.”
Nawal ukir senyum tawar. Wajah Hud yang tampak serabut itu direnung lembut. Mesti Hud penat. Sekarang sudah pukul 11 malam dan lelaki itu baru sahaja pulang dari tempat kerjanya.
“We need to talk but we’ll do it tomorrow. Sekarang, lebih baik awak mandi lepastu rehat,” arah Nawal sebelum bergerak masuk ke dalam bilik tidurnya.
SELESAI sahaja menunaikan solat fardhu Isyak, Hud memandang kearah Nawal dan Nufail yang sudah terlena diatas katil.
Tanpa sedar, satu senyuman tipis melakar di wajahnya apabila melihat gaya Nawal dan Nufail tidur.
Sama.
Pipi mereka itu ditampung dengan tangan dan masing-masing menghadap sesama sendiri.
Jika dia masuk, mesti pemandangan itu akan musnah dan sekali lagi hatinya terasa sakit. Kenapa dia sanggup pisahkan Nawal dan Nufail dahulu, sedangkan mereka berdua tidak bersalah?
Berdosanya dia kerana telah mengambil kasih sayang seorang ibu daripada anaknya.
Luthfi kata, jangan bagi Nawal bencikan dia namun nampaknya dia sudah terlambat. Isterinya itu sudah betul-betul bencikan dia.
Kaki berjalan mendekati sisi katil. Badan Nawal yang membelakangi dirinya itu dipandang dengan perasaan yang berbelah bahagi.
Entah kenapa, isterinya saat ini terasa sangat jauh walaupun dengan jarak mereka yang dekat. Tangan yang ingin menggapai badan itu terasa tidak layak untuk menyentuh walaupun sedikit kulit isterinya.
Hud jatuh melutut di tepi katil itu. Tangisan yang jatuh pantas sahaja disapu dengan kekura tangan.
Tapi, sakit hatinya masih belum hilang atas kematian Farah walaupun telah hampir dua tahun kekasih hatinya itu telah pergi meninggalkan dirinya.
“Sakit aku kehilangan Farah, tiada siapa yang akan faham termasuk kau, Nawal. Aku hilang isteri dan anak aku dalam masa yang sama. Sakit yang aku rasa ini tidak tertanggung. Tapi, kenapa kau perlu jadi orang terakhir yang jumpa Farah, Nawal? Kenapa? Dan kenapa kau tipu aku, Nawal? Kenapa?”
Air mata laju bercucuran membasahi pipi. Tipulah jika dia kata yang dia percaya bulat-bulat bahawa Nawal punca kematian Farah pada awalnya.
Mustahil untuk Nawal berbuat sedemikian. Dia telah menganggap dan melayan Nawal seperti adiknya sendiri. Tidak mungkin Nawal dalang disebalik itu semua.
Tapi, apabila Nawal mengaku yang dia pernah berniat untuk sakiti Farah, Hud jadi gila dan dia rasa tertipu.
19 tahun dia membesar bersama Nawal. Dia kenal Nawal seperti mana tapi apabila Nawal berkata sedemikian, bagaikan ada batu besar yang telah menghempap dirinya.
Seseorang yang dianggap seperti adik, merupakan dalang kematian isterinya. Siapa sahaja yang tidak sedih dan marah?
Kerana itu, dia sudah bertekad untuk biarkan Nawal rasakan apa yang telah dia dan arwah Farah rasakan. Kehilangan anak.
Sebab itulah dia berkahwin dengan Nawal dan mengambil Nufail daripada wanita itu. Melihat wajah anaknya sendiri pun Nawal tidak sempat.
Kejam?
Iya, dia tahu apa yang dia buat itu semua kejam tapi tidak kejamkah Nawal membunuh isteri dan anaknya?
Dia hanya membiarkan Nawal rasa apa yang dia telah rasa. Sakitnya kehilangan orang yang kita sayang sepenuh hati.
Namun sekarang, dia ingin menebus balik segala kesalahannya pada Nawal. Dia ingin bina balik rumah tangga yang telah musnah angkara diri dia sendiri.
Dia mahu Nufail dan bakal anak mereka itu membesar dengan kasih sayang ibu bapa, bukan seperti mereka berdua yang membesar di rumah anak yatim.
Lama berlutut, akhirnya Hud bangun dan keluar dari bilik itu. Nawal langsung mencelik matanya. Air mata yang tumpah, dibiarkan sahaja mengalir.
Dia faham apa yang Hud rasakan dan biarlah lelaki itu menghamburkan kebencian itu kepada dirinya sahaja. Biarlah dirinya sahaja tahu apa yang telah berlaku.
Dia tidak mampu untuk menyakiti hati suaminya lagi dan biarlah rasa bencinya kepada Hud juga tidak menghilang agar hatinya juga tidak terluka.