“MAKANLAH. Sekejap lagi aku dah nak masuk kerja,” ujar Hud kepada Nawal yang sudah pun mengambil tempat di meja makan.
Nawal memandang kearah suaminya. “Awak tak makan sekali ke? Jomlah teman saya,” ajak Nawal.
Hud yang baru sahaja ingin masuk ke bilik untuk bersiap, mati langkah.
Wajah Nawal dipandang, meminta kepastian dan wanita itu hanya sekadar mengangguk.
Hud ukir senyum. “Terima kasih,” ucapnya ikhlas.
“Saya nak bincang pasal semalam.” Terus hilang senyuman di wajah Hud saat mendengar kata-kata Nawal.
“No. Kalau kau perlukan masa untuk maafkan aku, ambillah sebanyak mana pun masa yang kau perlukan,” balas Hud tanpa memandang kearah Nawal. Dia tahu apa yang isterinya mahukan.
Dia sangat tahu dan dia tidak mahukan perkara itu. Dia sudah tidak sanggup kehilangan isteri. Cukuplah arwah Farah dahulu.
“Tapi...”
“Cukup, Nawal. Aku tahu apa yang kau mahukan. Tapi, aku tak mampu untuk tunaikan. Just, anything but that.”
Nawal geleng kepala. Tidak. Dia tidak mahu lagi terikat dengan Hud lagi. Cukuplah hampir dua tahun dia menjadi isteri lelaki itu, hati dia terseksa. Dia tidak sanggup lagi.
“Saya tak boleh. Setiap kali saya bersama dengan awak, mental dan fizikal saya sakit tapi... saya boleh tahan dengan semua itu tapi disini,"
Nawal menunjukkan kearah dadanya, “Rasa sakit disini, saya dah tak boleh rawat. Awak dah musnahkan semuanya. Awak dah hancurkan kehidupan saya. Awak ragut kebahagiaan saya sampaikan tak ada satu pun yang tersisa. Jadi, saya mohon, beri balik kebahagiaan saya dan bagi saya kebebasan untuk rawat hati saya ini,” pinta Nawal dengan linangan air mata.
Dia penat. Walaupun hatinya masih lagi pada Hud namun rasa sakit ini terlalu dalam sehinggakan dia sudah berputus asa.
Ini adalah demi kebahagiaan mereka berdua. Hud bahagia jika dia pergi dan mungkin dia dapat mencari kebahagiaan dia sendiri nanti.
Hati Hud sakit. Sakit melihat Nawal yang merayu-rayu minta untuk dilepaskan namun dia tidak sanggup.
“Tak... Nawal, tolong. Apa sahaja Nawal minta, abang akan tunaikan tapi itu sahaja, abang tak mampu. Abang tak sanggup,” rayu Hud lalu berlutut dihadapan Nawal. Tangan besarnya menarik dan menggenggam tangan halus milik Nawal.
“Tolonglah... Saya dah penat, Hud. Saya penat...”
“Tak! Abang tak akan lepaskan Nawal.” Hud masih bertegas.
“Untuk apa kita teruskan semua ini? Awak tak cintakan saya pun malah awak bencikan saya! Daripada kita seksa jiwa kita, lebih baik kita berpisah...”
Nawal rasa seperti ingin menjerit dan melepaskan semua yang sedang terbuku di dalam hatinya tapi dia terlalu penat untuk semua itu.
“Siapa kata abang tak cintakan Nawal? Siapa?” Hampir sahaja tangan Nawal ingin naik dan menampar wajah Hud namun ditahan.
Hud sedar atau tidak apa yang dia telah katakan? Atau suaminya itu menipu?
“Apa yang awak mengarut ni, Hud? Awak ingat saya ni bodoh sangat ke? Mana ada orang buat macam itu dekat orang yang dia cinta,” lirih Nawal. Mahu bercakap kuat pun dia sudah penat ditambah lagi dia sedang berbadan dua.
“Semua itu sebab...” Hud tidak mampu menghabiskan ayatnya. Alasan apa lagi yang perlu dia reka? Dia sudah tekad untuk baiki hubungannya dengan Nawal. Dia sudah tidak mampu untuk menipu isterinya lagi.
“Sebab awak bencikan saya, bukan?” balasan Nawal itu, Hud tidak menafikan walhal hatinya menyangkal segala kata-kata Nawal.
Dia benci namun dia turut cintakan isterinya itu.
Tidak mendengar sebarang respon daripada Hud, Nawal hanya tersenyum tawar. Betullah, Hud memang bencikan dia. Apa yang dia harapkan?
Berharap semoga Hud menafikan segalanya? Mustahil.
NUFAIL yang seronok bermain, dipandang dengan penuh kasih. Inilah apa yang Nawal mahukan, bermain dan menjaga anaknya tanpa rasa bimbang dan gelisah.
Namun, jauh disudut hatinya, dia rasa kosong. Walaupun dia telah boleh bersama dengan Nufail, impian dia untuk memiliki keluarga yang bahagia tampak mustahil.
Tinggi sangatkah angan-angannya untuk mengharapkan keluarga yang dibinanya ini sama seperti orang lain?
“Ma...” Satu tangan kecil menyentuh lembut paha Nawal. Terus hilang benda yang dia fikirkan apabila Nufail sudah pun berada di hadapannya.
Rasa kosong tadi telah digantikan dengan rasa gembira dan sedih. Benarkah apa yang dia dengari tadi? Nufail menyebut perkataan ‘Ma’ kepada dia, kan?
“Iya, sayang... Panggil ibu ke?” Laju sahaja tangan mengangkat anaknya itu dan wajah gebu milik Nufail dicium dan dihidu semahunya.
“Ma... Pa...” sekali lagi suara Nufail memanggil. Nawal tertawa seorang diri, dia gembira. Benarlah apa yang orang katakan, jangan tamak. Bersyukur dengan apa yang kita ada.
Dia bersyukur kerana Nufail sudah kembali dan cukuplah sekadar itu.
Semua ini sudah cukup untuknya.
BALIK sahaja dari tempat kerja, Hud langsung membersihkan diri dan berehat di atas katil di bilik mereka.
Langsung tidak ditegur isterinya. Dia takut jikalau Nawal kembali meminta untuk dilepaskan.
Dia sedar yang dia telah banyak kali lukakan hati wanita itu namun kali ini, dia benar-benar ingin perbaiki segalanya.
Bermula dari hubungan mereka dan salah faham yang telah berlaku.
Semuanya dia ingin perbetulkan balik. Dia mahu kembalikan senyuman Nawal yang telah hilang itu.
Dan... dia juga sudah mampu menerima takdir bahawa arwah Farah meninggal kerana takdir yang tertulis. Samada Nawal terlibat atau tidak, itu hanyalah punca untuk sesuatu kematian.
Lama dia memikirkan tentang semua ini. Malah, dia tidak masuk kerja pun hari ini, hanya menghabiskan masa di kafe berdekatan dengan rumah mereka sahaja.
“Hud...” Nawal menyeru lembut nama suaminya. Risau juga dia apabila melihat Hud yang senyap sahaja dari tadi. Nufail pun lelaki itu tidak pandang.
“Hud, awak okey tak ni?” Sekali lagi Nawal menyoal seraya melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
“Kalau aku kata tak, macam mana?” Soalan dibalas dengan soalan. Nawal tidak mampu melanjutkan kata-kata.
Betullah, apa sahaja yang dia boleh buat.
Hud tarik senyum. “Tak ada apalah, aku penat sikit. Kau pergilah main dengan Nufail,” ujar Hud sambil mengusap lembut pipi milik isterinya.
Kejung satu tubuh Nawal dan tangan Hud ditepis lembut. “Nufail tengah tidur, penat mungkin sebab kuat sangat main.”
Mendapat tolakan daripada Nawal, Hud hanya senyum hambar. Dia tidak layak untuk berasa sedih seperti ini. Dia yang mulakan semua ini jadi dia tidak patut mempersoalkan tingkah-laku Nawal kepada dirinya.
Semua ini dia yang mulakan.