BAB 02

96 9 0
                                    

"Lepas ni, apa rancangan Syafiq? Nak sambung latihan ke luar negara ke?" tanya Encik Megat kepada anak sulungnya.

Syafiq, yang ketika itu sedang menyeduk lauk ke pinggannya, sekilas memandang Encik Megat.

"Fiq rasa tak nak, ayah. Fiq bercadang nak hantar permohonan untuk sertai latihan PASKAL pula." jawabnya dengan tenang. Encik Megat mengangguk faham, kemudian melirik ke arah Husnie yang masih lahap menjamah makanan tengah hari mereka.

"Kalau Husnie pula macam mana?" soalannya beralih kepada sahabat Syafiq.

Husnie mengangkat kepalanya dan tersenyum nipis.

"Kalau Husnie, memang dah rancang nak sambung latihan ke Amerika Syarikat. Kebetulan pihak mereka tawarkan program pertukaran tentera... jadi nama Husnie tersenarai untuk dihantar ke sana."

"Alhamdulillah, rezeki tu! Siapa tahu, mungkin jumpa bakal isteri kat sana." usik Encik Megat, membuatkan seisi keluarga meletus dalam tawa.

Husnie hanya tersenyum kecil, namun matanya sempat melirik ke arah Bunga yang duduk di samping Puan Zaharah.

"Husnie nak perempuan kampung sini lah, ayah. Tak nak jauh-jauh." balas Husnie, menafikan dengan pantas.

"Uyooo, perempuan kampung sini." Bunga menyampuk, disambut gelak kecil Zambri.

"Apa salahnya perempuan kampung sini?" balas Husnie, mengajukan soalan sambil tersenyum.

Bunga membuat muka selamba.

"Dalam kampung ni, cuma Bunga aje yang lawa... Anak dara Pak Megat sahaja yang meletop! Ke abang nak kahwin dengan Bunga?" gelak Bunga bersambung-sambung di hujung kata-katanya.

Mereka semua turut tertawa mendengar usikan Bunga. Puan Zaharah hanya mampu menggeleng kepala melihat gelagat anak bongsunya yang tak tahu malu menyakat orang.

Husnie tergelak kecil, menunduk sedikit menyembunyikan rasa malunya. Sementara Syafiq hanya menikmati suasana harmoni itu, sesuatu yang sudah lama dia rindukan, masakan ibu, halaman kampung, dan bilik tidurnya. Ya Allah, betapa rindunya dia!

Selain itu, ada seorang lagi yang dirinduinya. Siapa lagi kalau bukan Althea Fatima, satu-satunya gadis yang berjaya menawan hati kerasnya.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Dari suara itu saja, Syafiq sudah dapat meneka pemiliknya. Tanpa berlengah, dia bangun dan menuju ke pintu utama. Senyuman lebar terukir di wajah apabila melihat Althea berdiri di hadapannya.

"Masuk, Tiya. Mari makan sekali." pelawa Puan Zaharah mesra. Althea tersenyum dan melangkah masuk.

"Nah." Althea menyerahkan mangkuk tingkat kepada Syafiq.

"Apa ni?" tanya Syafiq kehairanan.

"Sambal petai udang, saya masak untuk awak." jawab Althea dengan senyuman lebar.

"Terima kasih, susahkan awak je." kata Shafiq sambil menuju ke meja makan.

Althea hanya tersenyum manis dan mengikut langkah Shafiq.

"Kongsilah dengan yang lain, saya memang sengaja masak lebih." Tambahnya lagi.

Mangkuk tingkat itu diletakkan di atas meja lalu dibuka.

"Ado! Sambal udang petai ni! Konfem sedap..." Mata Bunga bersinar cerah, memandang makanan itu silih berganti dengan Althea.

Althea tersenyum puas, senang hati melihat keluarga Syafiq selalu menyambut kehadirannya dengan mesra.

Kau Yang Ku Nanti (OG)Where stories live. Discover now