Part 1

18 0 0
                                    

Langit biru cerah menghiasi pagi itu. Angin laut yang lembut membelai rambut Maya, membuatkan helaian-helaian halus berayun mengikut irama alam. Matahari yang bersinar ceria melemparkan sinarnya ke atas pasir putih yang halus, menciptakan kilauan yang seolah-olah permata bertaburan di sepanjang pantai. Ombak lembut menyapa gigi air, mengeluarkan bunyi desiran yang mendamaikan. Suasana tenang dan damai itu, jauh dari kesibukan kota, benar-benar menyentuh jiwa Maya yang selama ini dibelenggu tekanan kerja dan rutin harian.

Pulau Mabul bagaikan syurga yang tersembunyi. Maya berada di sini selama empat hari tiga malam bersama datuk dan neneknya. Percutian adalah hadiah sempena pencapaiannya menggenggam segulung ijazah. Bagi Maya, percutian ini bukan sahaja satu ganjaran, tetapi juga peluang untuk melarikan diri sebentar daripada hiruk-pikuk kebisingan di bandar raya. Di sini, Maya boleh menghirup udara segar dan melupakan segala masalah yang menghantui fikirannya.

Maya mengemaskan ikatan rambutnya sebelum mencapai raga kecil di atas katil.

"Nak ke mana tu Maya?" tegur Abdul Rahman bila melihat Maya membawa raga.

"Jalan-jalan tepi pantai. Nak cari..."

Abdul Rahman terlebih dahulu memintas. "Jodoh?" usiknya.

"Isy atuk ni!" Maya mencebik bibir.

Abdul Rahman ketawa. Isterinya, Noraini turut ketawa dengan gelagat cucu kesayangan mereka. "Ha, jangan lupa kemas barang. Malam ni dah nak balik." Pesan Noraini.

Maya melihat jam di tangan. "Alah, lambat lagi."

Maya terus meninggalkan chalet dan berlari ke tepian pantai.

Pada hari terakhir percutian, Maya memutuskan untuk bersendirian di pantai. Datuk dan neneknya sedang berehat di chalet, menikmati senja yang santai. Maya pula memilih untuk berjalan di sepanjang pesisir pantai, meneliti setiap sudut keindahan alam yang terbentang luas. Ketika langkahnya perlahan menjejak pasir putih yang lembut, pandangannya tertumpu pada beberapa siput yang terdampar. Bentuknya unik, dengan corak-corak kecil yang menarik perhatian.

Maya membongkok dan mula mengutip siput-siput itu satu persatu, menyusunnya ke dalam sebuah bakul kecil yang dibawanya.

Ketika tangannya sedang memungut siput terakhir, satu bayangan melintasi pandangannya. Maya terhenti sejenak. Dia mengangkat kepala, pandangannya bertembung dengan sepasang mata kelabu yang bercahaya. Di hadapannya, seorang pemuda berdiri, ketinggian dan tubuh tegapnya jelas terserlah. Rambutnya sedikit kusut dibelai angin, namun itu tidak mengurangkan ketampanannya. Lelaki itu kelihatan terkejut, seolah-olah baru menyedari kewujudan Maya di situ.

Maya tergamam. Ada sesuatu tentang lelaki itu yang membuatkan hatinya berdebar. Mata mereka bertentang, namun tiada sepatah kata pun terucap antara mereka. Suasana sunyi di pantai itu kini terasa tegang dengan perasaan aneh yang mula menyelubungi mereka berdua. Maya cuba mengalihkan pandangannya, tetapi entah kenapa, dia sukar untuk melakukannya. Ada sesuatu dalam cara lelaki itu merenungnya yang seolah-olah mengaitkan mereka dengan masa silam yang dia sendiri tidak pasti.

Lelaki itu, Alfie, turut tergamam. Dia tidak menyangka akan berada di tempat ini. Maya. Nama itu terngiang-ngiang dalam fikirannya, meskipun dia tidak tahu dari mana datangnya ingatan tersebut. Alfie cuba menyusun ayat dalam kepalanya, tetapi lidahnya kaku. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara. Namun hatinya merasakan sesuatu yang aneh — seolah-olah dia pernah bertemu gadis ini sebelum ini.

"Cantik!" kata Alfie, akhirnya memecah keheningan. Suaranya kedengaran berat namun lembut. Dia tunduk sedikit, cuba mengawal perasaannya yang berkecamuk. Maya mengangkat kening, sedikit terkejut dengan kata-kata itu.

"Hah?" balas Maya dengan dahi berkerut. Namun, hatinya berdegup kencang. Dia merasakan sesuatu yang sukar dijelaskan setiap kali mata mereka bertentang.

"Err... awak sedang kutip siput?" tanya Alfie, cuba mencari topik perbualan. Dia tidak pasti kenapa dia merasa begitu canggung.

"Tak, saya tengah masak nasi."

Maya pandang Alfie dan Alfie pandang Maya. Sesaat kemudian terhambur ketawa dari mulut masing-masing. Keadaan yang tegang kembali reda.

"Ya... saya suka lihat coraknya. Cantik dan unik," jawab Maya sambil menunduk, menunjukkan beberapa siput di dalam bakulnya. Dia mengangkat salah satu siput itu, menunjukkan coraknya yang berwarna-warni. "Ini salah satu yang paling saya suka."

Alfie mengangguk, tetapi matanya masih terpaku pada Maya. Ada sesuatu tentang gadis ini yang tidak dapat dia elakkan. Seolah-olah masa seakan berhenti saat mereka saling bertentang mata. Namun, sejenak kemudian, Maya mengalihkan pandangannya ke laut yang tenang. Dia cuba menghilangkan rasa aneh yang menyelubunginya.

"Cantik tempat ni, kan?" ujar Maya, cuba melonggarkan ketegangan yang mula dirasainya.

"Ya, sangat cantik," balas Alfie perlahan. Tetapi dia tidak memaksudkan pulau itu. Apa yang dilihatnya cantik adalah Maya, gadis yang berdiri di hadapannya dengan rambut yang melambai ditiup angin, seolah-olah menjadi sebahagian daripada landskap pantai yang indah. Tetapi Alfie memilih untuk menyimpan perasaan itu di dalam hati, terlalu awal untuk dia meluahkan apa-apa.

Angin terus menderu lembut di sekitar mereka. Suasana di pantai itu menjadi saksi bisu kepada pertemuan dua jiwa yang mungkin ditakdirkan untuk bertemu. Meskipun perkenalan mereka baru bermula, Maya dan Alfie merasakan sesuatu yang lebih mendalam — sesuatu yang mungkin melangkaui logik dan masa.

Dan begitu, hari terakhir Maya di pulau itu membawa satu pertemuan yang tidak disangka-sangka, yang mungkin akan mengubah seluruh kehidupannya.

***

Ketika sedang menyusun pakaian ke dalam bagasi, Maya dikejutkan dengan kehadiran lelaki yang ditemuinya di tepian pantai senja tadi. Dia sedang menyorok di balik langsir!

"Apa awak buat dalam bilik saya?" Maya mencapai sikat lalu mengacu ke arah lelaki yang berani-berani ceroboh biliknya itu. Suaranya bernada keras.

Alfie angkat tangan. "Maaf... maaf... saya tak tahu macam mana saya boleh ada dalam bilik ni." Alfie kegugupan.

"Baik awak keluar sekarang sebelum saya jerit sekuat hati." Maya masih mengacu sikat ke arah lelaki penceroboh itu, sambil membayangkan sikat tersebut adalah sebilah pisau.

"Okey, okey!" Alfie masih mengangkat tangan, terjengket-jengket ke tingkap. Dia terus melompat keluar.

Maya segera menutup tingkap yang dibiar terbuka luas kerana menganggap kawasan tersebut selamat seratus peratus. Dadanya masih berdebar-debar. Baru hendak berangan tentang pertemuannya dengan lelaki misteri itu, ini pula yang terjadi.

'Huh, harapkan wajah sahaja kacak! Tapi perangai tak semenggah!' Maya menarik nafas. Bersyukur kerana dia tidak diapa-apakan. Bersyukur kerana dia akan keluar dari pulau ini malam ini juga. Keselamatannya sudah tidak terjamin.

TAK KU SEDARIWhere stories live. Discover now