Part 4

2 0 0
                                    

Maya memacu langkah menuju ke rumah dengan perasaan bercelaru yang tidak mampu dijelaskan. Pertemuan dengan Mr. X di kedai buku tadi masih tergiang-giang di fikirannya, membuatkan dia sukar menerima apa yang telah berlaku. Mr. X mengaku bahawa dia tidak dapat dilihat oleh orang lain. Dan sekarang, Maya adalah satu-satunya yang dapat melihatnya. Tapi... kenapa? Apa yang membuatkan Maya mampu melihat Mr. X, sedangkan seluruh dunia tidak dapat menyedarinya?

Tiba di rumah, suasana sunyi menyambutnya. Mama dan papa menghadiri jamuan di rumah seorang rakan, selepas meninggalkan pejabat. Maya menanggalkan kasut dengan perlahan, dan suara derap langkahnya di lantai marmar terasa bergema di seluruh ruang tamu yang kosong. Di tengah keheningan itu, perasaannya menjadi semakin berat. Maya sedar, hatinya dipenuhi dengan ketakutan dan kebingungan yang semakin menebal.

Karl berada di ruang tamu, masih dengan t-shirt yang sama. Bererti, Karl masih di situ sejak tadi. Maya melihatnya dari jauh, duduk di sofa dengan kaki terjulur panjang, matanya tertumpu pada telefon bimbitnya. Karl tidak memandang ketika Maya melangkah masuk, tetapi dia menyedari kehadiran Maya apabila langkahnya semakin hampir.

"Dari mana?" Karl menyapa tanpa mengalihkan pandangannya dari skrin.

Maya duduk di sofa sebelah Karl dengan perasaan berat. Dia memandang Karl seketika, cuba menenangkan diri sebelum akhirnya bersuara.

"Karl," Maya memulakan, suaranya agak ragu-ragu, "kau percaya tak... kewujudan hantu?"

Karl akhirnya mengangkat kepalanya, memandang Maya dengan dahi berkerut. Dia kelihatan terkejut dan sedikit pelik dengan soalan Maya.

"Hantu? Kau serius?" Karl yang tengah bermain game Mobile Legend, meletakkan telefon ke tepi.

Maya mengangguk, walaupun dia tahu soalan itu mungkin kedengaran aneh. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia bertanya, tetapi dia memerlukan jawapan. Karl, walaupun sering kali mencabar pemikirannya dengan sikap 'open-minded' yang tidak disukainya, mungkin satu-satunya orang yang dia boleh berbual ketika ini.

Karl tersenyum sinis, seolah-olah soalan Maya sesuatu yang tidak masuk akal. "Aku tak percaya benda-benda tu. Itu semua karut. Kenapa kau tiba-tiba tanya? Kau ni dah kenapa, Maya?"

Maya menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal perasaannya yang semakin bercelaru. "Aku... aku nampak hantu, Karl," katanya perlahan, hampir berbisik. Kata-kata itu keluar dengan berat, seperti suatu pengakuan yang dia sendiri masih tidak yakin.

Karl tertawa kecil, tetapi tawa itu tidak mengendurkan kebimbangan Maya. "Kau ni serius ke? Nampak hantu? Hantu apa? Pontianak? Langsuir? Mak Lampir? Di mana kau nampak?" Soal Karl bertalu-talu. Walaupun dibesarkan di Rome, tapi Karl kenal semua jenis hantu. Dia juga fasih berbahasa Melayu.

Maya menundukkan kepala, cuba menyusun kata-kata. Dia tidak tahu bagaimana mahu menceritakan semuanya tanpa kelihatan seperti orang yang tidak waras. Namun, tiada gunanya berbohong.

"Aku nampak dia di pantai... di Mabul. Mr. X... itu gelaran aku pada dia. Dan... tadi, aku nampak dia lagi di kedai buku."

Tawa Karl tiba-tiba terhenti. Wajahnya yang tadinya mempamerkan riak sinis berubah menjadi serius, namun ada kekeliruan yang jelas terpancar di matanya.

"Maya... kau main-mainkan aku ke ni?"

Maya menggeleng pantas, hatinya semakin berat. "Aku tak main-main. Aku tak pernah nampak hantu seumur hidup aku, Karl. Aku tak ada deria keenam, dan aku tak percaya benda-benda macam ni. Tapi aku nampak dia. Dua kali. Eh, tiga! Eh silap, empat!" Maya membilang dengan jari.

Karl terdiam seketika, matanya meneliti wajah Maya. Serius! Maya tidak main-main. Namun, Karl tidak dapat menahan dirinya daripada merasa pelik dan sukar mempercayai cerita itu. Dia tertawa kecil lagi, walaupun kali ini lebih lembut.

"Kau pasti tak penat ke? Mungkin kau bayangkan saja. Yalah, mungkin sebab kau letih sangat lepas bercuti." Karl cuba mencari alasan yang logik, tetapi Maya hanya menggeleng.

"Tidak, Karl. Aku tahu apa yang aku lihat," Maya membalas tegas, suaranya mula mengendur kerana rasa putus asa. Hatinya mula berasa hancur apabila Karl tetap tidak mempercayainya. "Dia... dia bercakap dengan aku. Dia kata, aku satu-satunya orang yang boleh nampak dia."

Karl tertawa sinis lagi, kali ini lebih kuat, menyebabkan Maya tersentak. "Maya, cerita kau ni dah macam dalam filem! Janganlah percaya benda macam tu. Kau terlalu banyak tengok drama, agaknya. Mr. X tu manusia, acah-acah jadi hantu. Apalah kau ni! Senang ditipu! Aku rasa dia nak ambik kesempatan atas kenaifan kau."

Kata-kata Karl menghancurkan hati Maya. Dia tahu tidak mudah bagi Karl atau sesiapa sahaja untuk mempercayainya. Cerita ini memang kedengaran aneh dan sukar diterima akal. Tapi bagi Maya, apa yang dilaluinya adalah nyata, dan kini dia menyesal kerana memilih untuk berkongsi kisah ini dengan Karl. Tawa sinis Karl seperti menambahkan garam pada luka yang sudah terbuka. Dia berasa terhina dan kecewa.

Wajahnya yang tenang mula berubah. Air mukanya menunjukkan kekecewaan yang mendalam. Karl menyedari perubahan itu. Dia tiba-tiba berhenti ketawa dan wajahnya menjadi serius.

"Maya..." Karl mula bersuara perlahan, "Maafkan aku. Aku tak maksud nak gelakkan kau."

Namun, segala-galanya sudah terlambat. Luka di hati Maya terlalu dalam untuk diubati dengan kata-kata maaf. Tanpa menjawab, dia bangkit dan berlari ke arah tangga, meninggalkan Karl di ruang tamu. Karl cuba memanggilnya, tetapi Maya tidak berhenti. Air mata yang mula bergenang di matanya menambah lagi kesedihan yang mencengkam.

Di dalam biliknya, Maya menghempaskan diri ke atas katil. Nafasnya tersangkut-sangkut, menahan tangis yang sudah lama dipendam. Tangannya menutup muka, berusaha keras untuk menenangkan diri. Kenapa semua ini terjadi? Kenapa dia, dari semua orang, harus mengalami perkara seperti ini?

Maya memandang sekeliling bilik, matanya melilau dengan penuh ketakutan. Bayangan Mr. X tiba-tiba muncul di fikirannya. Adakah dia akan muncul di sini juga? Tiba-tiba Maya merasa ketakutan yang amat sangat. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku, dan dia tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Lengan digosok. Perasaan takut mula meresap masuk ke dalam setiap inci tubuhnya. Di dalam bilik yang sunyi itu, Maya merasa seolah-olah dia sedang diawasi. Dia cuba menghilangkan rasa takut itu, tetapi tidak mampu. Setiap bayangan di sekelilingnya terasa seperti satu ancaman.

Maya menarik selimut dan menutup seluruh tubuhnya, berharap rasa takut itu akan hilang. Namun, bayangan Mr. X tidak pernah pergi dari fikirannya. Walaupun Maya cuba untuk tidur, debaran jantungnya semakin kuat.

Di dalam kegelapan biliknya, Maya menutup mata, tetapi mindanya terus memikirkan Mr. X. Siapa dia sebenarnya? Adakah dia benar-benar hantu, atau ada sesuatu yang lebih besar di sebalik misteri ini? Maya tahu, selagi tiada jawapan, ketakutannya akan terus menghantuinya.

TAK KU SEDARIWhere stories live. Discover now