Part 6

18 0 0
                                    

Seminggu berlalu sejak pertemuan aneh dengan Mr. X di kedai buku tempoh hari. Maya masih tidak dapat mengusir bayangan lelaki itu dari fikirannya. Semakin difikirkan, semakin tidak masuk akal. Bagaimana mungkin seseorang yang tidak wujud secara fizikal—atau lebih tepatnya, hantu—boleh muncul di hadapannya dan berbicara seperti manusia biasa? Namun, setelah seminggu berkurung di rumah, melayan Netflix dan menyelusuri dunia media sosial, Maya mula rasa bosan. Dia rindu dunia luar, rindu ketenangan yang hanya dapat dia rasai melalui pembacaan buku-buku kegemarannya.

Setelah mempertimbangkan dengan mendalam dan berjanji kepada dirinya sendiri bahawa pertemuan aneh dengan Mr. X hanyalah satu ilusi, Maya membuat keputusan untuk keluar. Pagi itu, setelah bersiap-siap dengan solekan nipis, Maya melangkah keluar rumah menuju ke kedai buku kegemarannya. Langit Kuala Lumpur cerah, dan angin sepoi-sepoi yang menyapa wajahnya memberikan sedikit kesegaran. Hatinya semakin yakin bahawa hari ini tidak akan ada perkara aneh yang berlaku.

Sampai di kedai buku, Maya dengan tenang berjalan di sepanjang lorong-lorong buku yang tersusun rapi. Aroma kertas baru memenuhi udara, memberikan satu perasaan nyaman yang sukar digambarkan. Maya membiarkan jemarinya menyentuh kulit buku-buku yang dipamerkan di rak. Akhirnya, dia memilih tiga buah novel—semuanya genre yang berbeza, sesuai dengan minatnya yang luas. Satu novel misteri, satu kisah cinta, dan satu lagi buku motivasi yang dicadangkan oleh ramai pembaca dalam talian.

Selesai membayar di kaunter, Maya melangkah keluar dengan hati yang lega. Tiada bayangan Mr. X kali ini. Fikirannya semakin tenang, meyakinkan dirinya bahawa pertemuan dengan Mr. X hanyalah mainan minda akibat tekanan selepas pembedahan.

Selepas membeli buku, Maya singgah di sebuah kafe berdekatan. Kafe itu bukan sahaja terkenal dengan kopi yang enak, malah suasananya yang santai membuatkan Maya sering memilihnya sebagai tempat lepak sambil melayan buku. Dia memesan latte kegemarannya bersama sepotong kek red velvet. Hari ini, dia mahu berehat, menikmati masa lapang sambil membaca buku baru.

Ketika dia sedang menghirup latte panas, tiba-tiba badannya terasa seram sejuk. Hatinya mula berdegup kencang. Mata Maya terangkat perlahan-lahan, dan jantungnya hampir terhenti apabila melihat Mr. X sedang duduk di hadapannya, seolah-olah kehadirannya di situ adalah perkara biasa.

Maya terkedu. Tangannya yang memegang cawan terasa menggigil. Matanya membesar, terkejut dan tidak percaya. Bagaimana mungkin? Dia yakin Mr. X telah hilang dari hidupnya, tapi kini, di sini, dia muncul lagi, tanpa sebarang tanda amaran.

Maya pejam mata. Ini hanya ilusi, dia meyakinkan diri. Perlahan-lahan Maya buka mata. Mr. X masih di situ.

"Awak buat apa kat sini?" soalan itu terhambur dari mulut Maya tanpa berfikir panjang, nadanya penuh kekeliruan dan sedikit marah. Bagaimana dia boleh muncul sesuka hati begini? Mujurlah dia tidak menjerit.

Alfie memandangnya dengan tenang, senyum tipis terlukis di wajahnya. Namun, jari telunjuknya segera diletakkan di bibir, memberi isyarat supaya Maya diam. "Jangan bercakap terlalu kuat," dia berbisik perlahan. "Semua orang dalam kafe ni sedang memerhati kau. Kau tahu, mereka pelik kenapa kau bercakap seorang diri."

Maya terkesima. Mr. X beraku engkau, seolah-olah mereka sudah kenal lama. Dahinya berkerut.

Maya kemudiannya memandang sekeliling. Memang benar, beberapa pengunjung kafe di meja berdekatan sedang memandang ke arahnya dengan wajah bingung. Maya segera menundukkan kepala, memegang cawan latte dengan erat, cuba mengawal dirinya. Dia sedar, dari pandangan orang lain, dia kelihatan seolah-olah bercakap seorang diri.

Maya keluarkan pen. Dia tulis sesuatu di muka surat depan buku motivasi. Ada banyak ruang kosong di situ.

Kau ni siapa sebenarnya?

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 06 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

TAK KU SEDARIWhere stories live. Discover now