Part 3

3 0 0
                                    

Kuala Lumpur diselubungi hujan renyai ketika Maya tiba di lapangan terbang. Langit kelabu menyambutnya, seolah-olah mencerminkan perasaan berat yang menghimpit jiwanya. Percutian empat hari di Mabul yang sepatutnya membawa ketenangan, berakhir dengan tanda tanya besar. Mr. X. Lelaki misteri itu masih menghantui fikirannya. Pertemuan-pertemuan yang aneh dan jawapan-jawapan yang tidak memuaskan membuatkan Maya tidak boleh melupakan segala-galanya begitu sahaja. Namun, dia tiada pilihan selain kembali ke realiti kehidupannya di Kuala Lumpur — sebuah realiti yang kini tidak lagi menyenangkan sejak kehadiran Karl.

Maya lepak di rumah datuk dan neneknya sebelum menaiki teksi ke rumahnya, sebuah banglo di kawasan perumahan elit di pinggir bandar lewat petang. Sepanjang perjalanan, dia termenung, mengingati kehidupannya yang penuh dengan kenangan yang bercampur aduk. Mama berkahwin dengan Hisyam, bapa tirinya, ketika dia baru berumur enam tahun. Walaupun Hisyam tidak pernah menggantikan tempat ayah kandungnya yang telah meninggal dunia ketika Maya masih bayi, dia tetap seorang lelaki yang baik dan penyayang. Maya menghargai kehadiran Hisyam, tetapi hidup bersama Karl, abang tirinya, jauh berbeza.

Karl telah kembali ke Malaysia setahun yang lalu setelah tinggal bersama ibunya di Rome selama bertahun-tahun. Maya masih ingat hari pertama Karl kembali ke rumah mereka. Dia datang dengan bagasi besar dan sikap angkuh yang sukar dijelaskan. Ketika itu, mama memaklumkan bahawa Karl mengalami masalah dengan ibunya, jadi dia akan tinggal bersama mereka buat sementara waktu. Namun, bagi Maya, kepulangan Karl bagaikan membawa badai yang tidak diingini.

Karl, dengan perangainya yang kasar dan pemikiran "open-minded", tidak sesuai dengan suasana keluarga mereka. Di Rome, Karl terbiasa dengan kehidupan bebas; dia tidak mengenal batas-batas yang Maya pegang teguh. Maya masih percaya pada adab dan batasan dalam pergaulan, tetapi Karl seolah-olah langsung tidak peduli. Perbualan mereka sering membawa kepada perselisihan. Karl sering berkelakuan seolah-olah dirinya lebih tahu segalanya tentang dunia, dan Maya sentiasa dianggap kolot dan ketinggalan zaman.

Setibanya di rumah, Maya menghela nafas panjang sebelum melangkah masuk ke ruang tamu yang luas.

Karl duduk di sofa, memasang televisyen dengan suara kuat, satu tabiat yang sering membuat Maya berang. Karl berpakaian seperti biasa — t-shirt kasual yang mendedahkan tatu kecil di lengannya, sesuatu yang Maya tidak pernah dapat terima.

"Hey, balik dah?" Karl terus bangun lalu mendepangkan tangan, mahu memeluk Maya.

Maya terus mengelak.

Karl jatuhkan semula kedua-dua tangannya. "Ada oleh-oleh untuk aku?"

"Nah." Maya hulurkan plastik berisi t-shirt. Dia tidak tahu oleh-oleh apa yang hendak dibeli. Hendak membeli key chain, tentu tak sesuai untuk Karl.

"Mama dan papa ke mana?" Maya perasan tiada kereta orang tuanya di garaj. Biasanya waktu sekarang mereka sudah berada di rumah.

"Entahlah. Mereka tak sayang kaulah tu. Tak ada pun nak tunggu kau balik," usik Karl, terus membuka baju, menayang badannya yang sasa. Dia terus mencuba baju, oleh-oleh dari Sabah.

Maya pula yang malu dengan tindakan abang tirinya itu. Tak beradab langsung.

Maya terus ke biliknya. Selepas menyalin pakaian, Maya terus keluar, meninggalkan banglo. Dia tidak akan sekali-kali duduk di rumah jika Karl ada. Pernah sekali Karl masuk ke biliknya tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Maya yang baru keluar dari bilik air, terkejut melihat Karl. Dia yang hanya berkemban dengan tuala, terus masuk ke bilik air semula. Dia meminta Karl keluar dari biliknya segera. Sejak peristiwa tersebut, Maya akan memastikan yang pintu biliknya dikunci sebelum dia masuk tidur atau mandi.

Di tengah hiruk-pikuk Kuala Lumpur, Maya menemui tempat kegemaran — kedai buku. Di sinilah dia sering melarikan diri daripada kehidupan yang tidak lagi memberikannya rasa selesa. Deretan buku yang tersusun rapi di rak-rak, bau kertas baru, dan suasana sunyi dalam kedai itu selalu memberikan Maya rasa aman. Di sini, tiada Karl, tiada kebisingan, hanya dia dan dunia imaginasinya.

Maya melangkah perlahan di antara rak buku, matanya tertumpu pada deretan novel baru. Tangannya mencapai sebuah novel bertemakan cinta misteri, sesuatu yang sesuai dengan suasana hatinya yang sedang bercelaru. Dia membelek buku itu, membaca sinopsis di belakang kulitnya, tetapi fikiran Maya terganggu oleh sesuatu. Dia merasakan kehadiran seseorang di belakangnya. Perasaan aneh ini begitu kuat.

Maya menoleh, dan di situlah dia melihatnya.

Mr. X!

Degupan jantung Maya tiba-tiba bertambah laju. Lelaki itu berdiri di hadapannya, matanya kelihatan terkejut seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihat. Seperti di Mabul, Mr. X kelihatan sama — tampan dengan aura misteri yang menyelubungi dirinya. Pakaiannya juga masih sama sejak kali pertama mereka bertemu. Namun kali ini, wajahnya lebih terkejut daripada sebelumnya.

"Kamu?" Alfie bersuara perlahan, hampir berbisik. "Kamu... nampak saya?"

Maya mengerutkan dahi. "Apa maksud awak?" soalnya, tidak pasti apa yang ingin disampaikan oleh Mr. X. "Kenapa pula saya tak boleh lihat awak? Kan awak depan saya!"

Alfie menggelengkan kepala perlahan, seolah-olah cuba memahami sesuatu yang di luar kemampuannya. "Saya... tak tahu kenapa kamu boleh nampak saya. Orang lain... mereka tak nampak saya."

Maya terdiam, cuba memahami kata-kata Mr. X yang kelihatan seperti tidak masuk akal. "Apa maksud awak orang lain tak nampak awak? Awak kan berdiri di sini, di depan saya."

Alfie memandang Maya dengan mata yang kelihatan keliru, hampir seperti dia sedang berjuang mencari jawapan dalam dirinya. "Saya tak tahu. Saya rasa seperti... terperangkap di antara dua dunia. Orang lain tak dapat melihat saya, kecuali kamu. Dan saya tak tahu kenapa."

Maya terasa bulu romanya meremang. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Dia pernah mendengar cerita-cerita misteri dan ghaib, tetapi tak pernah menyangka akan terlibat dalam situasi seperti ini.

"Awak... maksudkan awak tak boleh dilihat oleh orang lain? Seperti... hantu?" Maya bertanya, suaranya mengendur. Dia tidak pasti sama ada dia percaya dengan semua ini, tetapi ada sesuatu dalam cara Mr. X berbicara yang membuatkannya rasa seram.

Alfie menggeleng sekali lagi, jelas tidak setuju dengan andaian itu. "Saya bukan hantu. Saya... saya tak tahu siapa saya sebenarnya, atau apa yang telah berlaku. Sejak kali pertama kita bertemu di pantai, hidup saya menjadi semakin kabur. Saya tak ingat masa lalu, dan saya tak tahu kenapa saya berada di sini sekarang."

Maya memandang Mr. X dengan pandangan serba salah. Dia mahu mempercayai lelaki ini, tetapi segala-galanya terlalu aneh dan tidak masuk akal. Namun, mata Mr. X — mata kelabu itu — memancarkan kejujuran yang sukar untuk Maya nafikan.

"Saya tak tahu apa yang awak cuba sampaikan, tetapi saya bukan jenis yang mudah percaya," Maya bersuara akhirnya. "Semua ini terlalu aneh."

Alfie tersenyum lemah, seolah-olah memahami keraguan Maya. "Saya faham. Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana hendak mempercayai apa yang berlaku. Tapi saya harap kamu akan cuba membantu saya, Maya. Sebab... hanya awak yang boleh nampak saya."

"Macam mana awak tahu nama saya?" Maya terpinga-pinga.

"Entahlah. Saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh tahu nama awak... tapi nama sendiri saya tak ingat."

Maya ketap bibir, antara mahu percaya atau tidak.

"Tolong ambikkan novel kat rak atas tu. Saya tak sampai." Maya mahu menguji.

"Maaf, saya tak boleh pegang novel... atau sebarang objek." Alfie menyedari hal tersebut semasa di lapangan terbang. Dia mencuit bahu Maya semasa gadis itu sedang menarik bagasi ke ruang berlepas. Dia ingin mengucapkan selamat tinggal. Namun, jari-jemarinya tidak dapat menyetuh bahu Maya. Alfie cuba menahan bagasi Maya dengan kakinya, juga tidak berjaya. Sejak itu, dia mula mengesyaki sesuatu - dia bukan manusia biasa.

Maya mendiamkan diri, terperangkap antara logik dan perasaan. Di satu sudut, dia merasa was-was untuk terlibat dalam situasi ini. Namun, di sudut lain, dia merasa bertanggungjawab, seolah-olah takdir telah menariknya ke dalam kancah misteri yang belum terungkai.

"Tengok." Alfie cuba menyetuh novel di rak. Tangannya terus menembusi novel tersebut.

Melihat apa yang berlaku di depan mata, Maya terus berundur. Dia memusingkan badan lalu berjalan laju menuju ke pintu kedai. Jantungnya terus berdegup laju. Maya meninggalkan kedai buku tersebut.

TAK KU SEDARIWhere stories live. Discover now