ARZ | 02

44 10 0
                                    

Bunyi alarm telefon berbunyi dengan kuat, menggegarkan seisi ruangan bilik. Adeline yang masih tenggelam dalam mimpi mulai terkejut, matanya terkebil-kebil menatap skrin telefon.

"Astaghfirullah," gumamnya, terperanjat apabila melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 7:30 pagi. Kelas pertamanya hari ini bakal bermula dalam masa kurang daripada setengah jam, dan dia masih belum bersiap!

Tanpa berlengah, Adeline terus melompat dari katil, mencapai tuala, dan bergegas menuju ke bilik mandi.

"Hari pertama kelas, Adeline! Takkanlah dah nak buat hal?" dia berkata kepada dirinya sendiri, sambil membuka paip air dengan laju.

Fikirannya sudah mula serabut, membayangkan dia akan menjadi pelajar yang masuk lewat dan menjadi tumpuan di hadapan kelas.

Selesai mandi, Adeline dengan tergesa-gesa menyarung pakaian yang sudah disiapkannya malam tadi. Ini adalah hari pertama kelas dan dia perlu memberikan tanggapan yang baik, tetapi hari pertama pun dah kelam-kabut!

Dia mencapai beg sandangnya dan berlari keluar dari bilik asrama. Di fikiran hanya satu perkara iaitu sampai ke kelas tepat pada masanya. Adeline melangkah laju, tanpa peduli kepada pelajar lain yang juga sedang bergerak ke arah bangunan kuliah. Dia menuruni tangga dengan langkah tergesa-gesa, bersedia untuk menempuh hari yang penuh cabaran.

Ketika Adeline sibuk memerhatikan jam tangannya, tanpa sedar dia terlanggar tubuh seseorang.

BAM!

Tubuh Adeline melanggar gerangan tersebut dengan kuat, menyebabkan dia terhuyung-hayang ke belakang. Mata Adeline membulat, dan dia dengan cepat cuba mengimbangkan dirinya. "Ya Allah, apa aku dah buat ni?" gumamnya sambil menggosok kepala.

Baru hari pertama sudah terjadi macam-macam perkara. Apalah malang sangat nasibnya di hari pertama.

Matanya terpaku pada lelaki yang berdiri tegak di hadapannya. Pandangan bengis terlukis di wajah lelaki itu, keningnya berkerut tajam. Mata kelam si lelaki menusuk tepat ke arah Adeline, seolah-olah menyalahkan dia sepenuhnya.

"Ya Allah... apa yang aku dah buat ni?" bisik Adeline dalam hati, cuba menenangkan diri.

Lelaki itu tidak berkata apa-apa pada mulanya, hanya terus memandang dengan tatapan yang membuatkan Adeline merasa lebih kecil dan bersalah. Suasana di antara mereka seakan-akan membeku seketika.

"Maaf... saya betul-betul tak sengaja," kata Adeline perlahan, suaranya bergetar, cuba memecahkan ketegangan yang melingkari mereka.

Lelaki itu menarik nafas panjang, matanya masih tajam memerhati. Dia mendekatkan wajahnya sedikit, cukup untuk Adeline merasakan kehangatan aura tegangnya. "Lain kali, tengok depan kalau berjalan," katanya dingin sebelum dia melangkah pergi tanpa menoleh lagi.

Adeline terpaku di situ, wajahnya merah padma menahan malu. Dia hanya mampu berdiri kaku, melihat lelaki itu menjauh, pandangannya yang bengis tadi masih terbayang di fikiran.

Habislah dia. Dia sudah membuat masalah di hari pertama. Tapi rasanya kesalahan dia tidaklah terlalu besar. Kenapa perlu bengis melebih seperti itu?

Tanpa berlengah, Adeline segera meneruskan kembali langkahnya. Dia cuba menenangkan dirinya, memaksa kaki bergerak lebih cepat, seolah-olah ingin meninggalkan kejadian tadi jauh di belakang. Kelas pertamanya hampir bermula.

"Fokus, Adeline," bisiknya pada diri sendiri sambil melangkah lebih laju.

Bangunan kuliah semakin dekat, dan dia bertekad untuk tidak membiarkan insiden tadi merosakkan moodnya. Lagipun, hari ini adalah hari pertama. Dia tidak boleh biarkan apa-apa, walaupun pertembungan tidak dijangka tadi, mengganggu tumpuannya.

-

Waktu rehat akhirnya tiba setelah dua jam kelas yang penuh dengan nota dan syarahan panjang. Adeline menghela nafas lega sambil mengemaskan buku-bukunya. Perutnya sudah mula berkeroncong, tanda lapar yang tak dapat diabaikan lagi. Dia segera memasukkan buku ke dalam beg dan bangun dari tempat duduk.

Keluar dari dewan kuliah, dia melihat ramai pelajar berkumpul di kafe berdekatan. Bau makanan mula memenuhi ruang, dan suasana agak bising dengan suara pelajar yang berbual dan ketawa. Adeline bergerak perlahan menuju ke kafe, mata melilau mencari tempat duduk kosong.

"Adel!" Suara yang dikenali membuatkan Adeline menoleh. Di sebelah kanan, kelihatan Xaviera melambai ke arahnya, wajahnya ceria seperti biasa. Adeline tersenyum dan cepat-cepat berjalan ke arah Xaviera yang sudah duduk di salah satu meja di sudut kafe.

"You baru habis kelas ke?"

"Ya, baru habis. Tapi petang ada kelas lain lagi sampai pukul 4," keluh Adeline sambil melabuhkan duduk.

Xaviera tergelak kecil. "Sabar ya, Adel. Jom, kita makan. Perut I dah buat konsert."

Adeline mengangguk, sambil matanya memerhati menu di papan kafe. Selepas membuat pesanan, mereka duduk sambil berbual tentang kelas masing-masing. Suasana di kafe semakin sibuk, tetapi tidak menghalangi mereka untuk bercakap antara satu sama lain.

"Tahu tak, tadi I ada terlanggar seseorang," Adeline tiba-tiba mengaku, teringat kejadian pagi tadi.

"Oh ya? Siapa?" Xaviera bertanya, kelihatan berminat hendak mendengar cerita Adeline itu.

Adeline mengeluh. "Tak tahu nama dia, tapi dia... nampak macam senior. Tinggi, muka dia bengis sangat lepas I terlanggar dia."

Xaviera memandang Adeline dengan mata membesar. "Muka bengis? Wah, menarik ni! Macam dalam drama. Mungkin You akan jumpa dia lagi lepas ni and know know berjodohan."

Adeline menggeleng sambil ketawa kecil. "You ni terpengaruh sangatlah dengan drama-drama melayu tu,"

Mereka ketawa bersama, tetapi di sudut hati Adeline, perasaan risau masih ada. Apa agaknya yang akan berlaku kalau mereka berjumpa lagi?















Goodnight, kesayangan!
Kalau ada kekurangan tegur tau.

ARZEL'SWhere stories live. Discover now