"Nek ngono, lunga wae. Langgar wae kabeh petuahé mama lan simbah. Gawe sak karepmu."Sebuah motorsikal berkuasa tinggi meluncur laju membelah jalanan yang masih meriah meskipun waktu hampir menginjak tengah malam. Nuh menambahkan kelajuan, menyelit di antara sebuah kereta dan bas persiaran, memintas keduanya sebelum mengambil susur kiri naik ke jejambat menuju ke pesisir Pantai Indah.
Di sebalik topi keleder yang menutup rapat wajahnya, nafasnya berombak kencang. Aksi berbahaya tadi yang hampir mengundang kemalangan membakar adrenalin dalam diri Nuh serta menghentikan otak yang sedang bising dengan kata-kata Zayden yang menghantui.
"Gila," gumam Nuh. Bibirnya melorek senyum. Nuh tahu apa yang dia lakukan itu salah namun itu tak dapat menyangkal keseronokan yang menjalar dalam diri. Melepaskan tekanan dengan cara begini merupakan satu pelepasan berkesan bagi Nuh.
Setiba di kawasan Pantai Indah, Nuh memperlahankan motosikalnya. Sepasang mata coklat cair itu bersinar terang, terpukau dengan keindahan yang terhidang di hadapan mata.
Bangunan bercirikan Eropah setinggi lima tingkat berdiri megah di kanan jalan, dihiasi lampu-lampu yang tergantung dari langit-langit yang diikat kemas pada tiang-tiang lampu. Nuh terpukau dalam keindahan yang jarang sekali dapat ia nikmati.
Hampir setahun Nuh tidak merasai keriuhan malam Pantai Indah. Semuanya kerana mama yang melarangnya ke pantai pada waktu malam. Katanya hantu laut itu bahaya dan mama risau Nuh menjadi mangsa kerakusan mereka. Kerana itu Nuh jarang kw pantai. Kali terakhir ke sini pun kerana menemani mama ke majlis pelancaran butik pakaian rakan niaga mama.
Pacuan dua roda itu semakin perlahan ketika Nuh hampir tiba di sebuah kedai yang berada di corner lot milik keluarga Luth. Dari jarak lima puluh meter bangunan itu tampak mencolok dihiasi papan tanda bercahaya neon. Bangunan lima tingkat itu terbahagi kepada dua bisnis yang dilakukan keluarga Luth. Dua aras pertama digunakan untuk restoran makanan laut manakala aras tiga dan ke atas dijadikan pusat hiburan karoake dan pub.
Nuh membelok ke sebuah lorong sempit di sebelah restoran dan memakir motosikalnya di antara deretan motosikal lain. Setelah memastikan enjin benar-benar mati, dia mencabut kunci dari soket dan melompat turun dari motosikal yang sudah ditongkatkan.
Helmet ditanggalkan dan dikalungkan ke lengan kiri.
"Nuh!"
Nuh mundur beberapa tapak ke belakang, mengelak dari tenggelam dalam pelukan Aiden. Aiden yang entah dari mana datang mahu memeluknya itu mengejutkannya.
"Aa... tolong!"
"Watch your step." Nuh lekas menarik baju Aiden dari belakang sekaligus menahan kawannya dari tersungkur ke jalan.
"Hantu kau tolak aku ke?" Lancang Aiden. Dia mengusap permukaan dada yang berombak kencang. Hampir luruh jantungnya, sedikit lagi dia tersembam ke tanah kalau Nuh tidak menolong.
Nuh menjeling. Bukan terima kasih yang diterima, lelaki genit itu mengutuknya pula.
Aiden yang sudah berdiri stabil itu Nuh lepaskan.
"Kenapa elak? You don't want my warm hug?" Aiden menyoal lirih. Dia mendepakan tangan luas bersama kerdipan mata yang sengaja dilakukan berkali-kali.
Nuh menggeleng. Jari telunjuknya mendarat di dahi Aiden. Ditekan sekuat hati bagi menghentikan langkah tertatih-tatih Aiden.
"Jangan dekat," larang Nuh.
Bibir Aiden panjang sedepa. Dia jatuhkan tangan ke sisi.
"Don't cry." Tegas Nuh. Naik pening dia dengan Aiden yang manja lain macam malam ini.
YOU ARE READING
Bebas
HorrorDream Series : 1 - Nuh Zyad Impian Nuh hanyalah satu: kebebasan. Dilahirkan dalam keluarga yang terikat dengan kepercayaan mistik, hidupnya dipenuhi dengan pantang larang yang menyekat keseronokan di luar sana. Melanggar pantang larang yang ditega...