Khilaf Ashraff Rafael ( 1 )

925 49 7
                                    

SATU-satunya yang paling aku syukuri atas dunia ini adalah kebaikan Tuhan pada aku yang sudah mengembalikan isteri aku semula ke sisi aku.

Hampir empat tahun aku menunggu. Empat tahun yang sangat menyeksa hidup aku. Pada akhirnya empat tahun yang menyeksa itu dibayar mahal oleh Tuhan dengan kembalinya si isteri. Meski ada masanya aku fikir Mawar tidak perlu pun kembali pada aku. Kesalahan aku dulu terlalu banyak. Terlalu mudah bagi aku meraih maafnya biarpun perasaan tersiksa itu harus aku tanggung bertahun-tahun.

Ditambah aku yang hampir menjadi gila. Itu sebahagian dari cara Tuhan mengajar aku. Ternyata cara itu semakin mendekatkan diri aku padaNYA.

Setiap malam aku tidak pernah tidur melepasi jam tiga pagi. Setiap malam aku akan mengadu pada Tuhan. Mengadu dan terus mengadu diatas tikar sejadah sambil menangis. Setiap dosa yang aku buat satu persatu aku buka di hadapan sang pencipta. Walaupun aku sudah tahu dosa-dosa silam itu sudah dicatit tanpa lepas satu pun, namun hanya dengan cara begini saja aku mahu si pendosa ini bertemu si pencipta abadi.

Aku sesal. Sesal ini sampai bila-bila akan aku tanggung. Bila Tuhan mengembalikan isteri aku semula ke sisi, aku sudah bersumpah akan membahagiakan dia sampai maut memisahkan kami. Aku tidak tahu berapa lama Tuhan sudi meminjamkan isteri sehebat Mawar padaku. Di usia kami yang sudah meningkat ini, aku hanya mampu membilang tahun demi tahun dan mencipta pelbagai memori indah bersamanya.

Tahun pertama Mawar kembali pada aku, Tuhan membenarkan kami menjadi pasangan bahagia. Tahun kedua juga begitu. Masuk tahun ketiga Mawar baru disahkan mengandung. Aku gembira tak terkata. Sampai airmata aku gugur bila aku diberitahu berita tak disangka itu.

Isteri aku mengandung. Itu buah hati kedua kami. Dahulu Mawar sempat mengandung, sayangnya kandungan itu tak bertahan lama. Sekejap saja DIA pinjamkan pada kami. Namun kehilangan buah hati pertama kami sangat dirasai oleh aku, begitu juga Mawar.

Sekarang anak-anak kami sudah berusia dua tahun. Sudah hampir enam tahun Mawar menemani aku disisi. Kehadiran Mawar bukan saja menjadi pengubat malah dia juga menjadi tempat aku berpaut. Hidup aku sudah terlalu sempurna kini.

Aku bimbang. Bagaimana jika kesempurnaan yang aku miliki ini hanya sementara saja. Aku terlalu gembira dengan kehidupan baru yang Tuhan ciptakan pada aku ini. Aku takut kehilangan keluarga aku. Kenangan kami terlalu sedikit. Kerana itu setiap malam aku memohon pada Tuhan agar dipinjamkan isteri dan anak-anak aku lebih lama.

Kalau perlu biar sampai aku dan Mawar bersama sampai puluhan tahun. Biar aku dan Mawar dapat melihat anak-anak kami dewasa dan memiliki kehidupan sendiri.

Mungkin doa aku itu agak berlebihan. Pendosa seperti aku ini menginginkan kehidupan sempurna dan lama. Tuhan mungkin baik hati, namun usia seseorang tiada siapa yang tahu kecuali DIA.

Lama aku berteleku diatas tikar sejadah. Memuji Tuhan dan meminta perkara yang sama sampai beribu-ribu kali. Bibir aku tidak akan lenguh mengucap kata yang sama kerana keinginan aku ingin hidup bersama keluarga aku lebih besar dari keinginan aku yang lain.

“Abang..” seruan Mawar mengembalikan aku kedunia nyata.

“Ya, sayang.”

“Dah pukul berapa ni?”

Dalam cahaya lampu yang samar-samar aku masih dapat melihat wajah bercahaya Mawar. Dia terlalu bersinar dimata aku. Terlalu cantik sehingga aku tidak pernah jemu menatapnya lama-lama.

Ini wajah bidadari aku. Wanita syurga yang aku selalu sebut disetiap doa.

“Masih awal sayang. Lambat lagi nak masuk subuh. Dah subuh nanti abang kejut sayang.” Aku bangkit, bergerak menuju ke arahnya. Mahu mengulit Mawar tidur semula, namun si isteri lebih dulu bangun.

Khilaf Ashraff RafaelWhere stories live. Discover now