BUNGA yang berada di tangan diperhati sekilas. Iffat sekali lagi melihat telefon demi memastikan dia tidak tersalah masuk wad. Kedatangannya di situ hanyalah untuk melawat si rakan, tidak lebih dan tidak kurang. Lepas sahaja melawat, dia akan blah dari sini.Entah macam manalah si Fathan boleh jatuh tangga yang berada di rumah mereka. Tak cukup dengan itu, boleh pula Zihni selaku member paling sengal dalam abad ini, pergi seret mamat tu ke kereta. Mentang-mentanglah Fathan tak sedar, selamba sahaja Zihni ikut otak tak betulnya tu. Bila sampai ke pengetahuan Dr. Tahira, yakni satu-satunya rakan wanita mereka, Iffat yakin budak berdua tu sudah dipelangkung olehnya.
Oksigen dihirup dalam-dalam.
Hidup Iffat tak pernah tenteram dengan kerenah tiga mangkuk hayun tu.
Sampai sahaja di sebuah bilik, lelaki itu terus memasuki wad tersebut tanpa mengetuk terlebih dahulu.
Malas.
Iffat sangat malas hendak membazirkan tenaga dengan benda-benda remeh sebegitu. Suasana suram yang menguasai bilik wad itu mengamit rasa hairan dalam diri. Setahu Iffat, beruk tiga ekor, yakni rakannya, tu mana pernah senyap sebegini. Ada sahaja benda nak digaduhkan. Tidak pun selalunya suara Zihni dengan si Tahira tu paling kuat. Ini dah kenapa sunyi semacam?
Gerak kaki lambat-lambat diatur untuk menghampiri katil si pesakit. Dan seketika, apa yang berada di depan matanya kini berjaya membuatkan riak wajahnya berubah.
Iffat mendengus kasar.
Apa bendanya ni?
Susuk gadis yang terlantar di atas katil itu diperhati dengan wajah berkerut.
Sah.
Sah yang budak seorang tu memang nak makan pelangkungnya. Iffat sangat yakin yang dia sudah betul-betul ikut nombor bilik Fathan yang Zihni beri. Iffat membunyikan mulutnya perlahan dek sebal dengan tingkah laku Zihni. Memang kenalah budak tu nanti. Baru sahaja Iffat hendak beredar dari situ, satu tarikan perlahan di lengan bajunya membuatkan pergerakkan dia terbantut. Automatik retina terus memandang ke bawah.
Muncul satu tangan kurus yang memegang lengan Iffat. Badan yang tadinya membelakangi si pesakit terus dibawa menghadap. Anak mata hitam milik lelaki itu berbalas pandangan dengan retina jernih milik si gadis.
"To ... long." Kedengaran payah gadis itu hendak melontarkan kata. Dahi Iffat semakin bergaris malah dia masih tidak bergerak dari kedudukannya.
"To ... long." Si gadis tidak lepas merenung lelaki asing yang muncul tiba-tiba itu.
Tolong ...
Tolonglah.
Tik.
Setitis air mata jatuh tiba-tiba sekaligus menyebabkan tubuh Iffat mengejung.
"Hello? Kau nak apa call aku ni?" suara garau itu membuatkan Iffat menjeling ke belakang sesaat sebelum berdecit. Tangan kurus milik si gadis dialihkan perlahan. Melihat wajah pucat gadis itu terkedu, Iffat berhenti bergerak. Sisa tangisan yang berada di hujung mata gadis itu dilap lembut menggunakan sapu tangan.
Badan diturunkan sedikit lalu Iffat membisikkan sesuatu agar rawan di hati gadis itu dapat dihilangkan. Dan ternyata ucapannya berhasil.
Pintu bilik wad dibuka.
"Ya, aku tahu. Sabarlah sikit. Kau ingat senang ke nak dapatkan kelulusan orang tua tu. Bagilah aku sedikit masa. Aku tahu apa yang aku buat, kau jangan risau." Dengan pantas, Iffat bersembunyi di dalam bilik air. Daun pintu tidak dikatup rapat dan perkara itu membolehkan dia untuk melihat situasi di depannya.
YOU ARE READING
IFFAT MAYESA [C]
Short StorySHORT STORY . . . "Cinta aku terputus tanpa sempat aku buat apa-apa."