Hamdi merenung ke luar tingkap kondominium mereka yang baru. Di hadapannya, pemandangan ibu kota yang penuh cahaya neon seolah-olah bernafas di malam yang gelap. Bunyi hon kereta dan suara riuh rendah dari jalanan mengisi ruang sepi yang asing baginya dan Sarah.
Mereka baru berpindah ke sini, meninggalkan kampung halaman untuk memulakan hidup baru sebagai suami isteri—suatu keputusan yang bukan datang dari hati mereka sepenuhnya, tetapi dari restu kedua belah keluarga, yang sudah sekian lama mengenal satu sama lain.
Sarah memandang sekeliling dengan rasa janggal yang cuba disembunyikan. Dapur yang modern dengan kabinet berwarna putih, ruang tamu yang dilengkapi sofa elegan menghadap smart tv bersaiz 60", dan balkoni yang menghadap panorama bandar, semuanya mengundang rasa kagum dalam diri Sarah.
Namun, dia juga merasakan sedikit tekanan. Seumur hidupnya, jarang dia meninggalkan kampungnya yang aman dan jauh dari hiruk-pikuk kota
Pemandangan bangunan tinggi, bunyi deruan kereta yang tiada henti, serta lampu-lampu neon yang terang benderang seolah-olah membisikkan sesuatu yang asing dan penuh teka-teki. Bagi Sarah, kehidupan bandar adalah sesuatu yang hanya dilihatnya di kaca televisyen.
Hamdi, sebaliknya, kelihatan lebih selesa. Pengalamannya selama beberapa tahun belajar di luar negara telah membiasakannya dengan persekitaran moden dan kehidupan bandar.
Matanya bersinar dengan rasa teruja dan semangat baharu untuk membina kehidupan dengan Sarah. Walaupun perkahwinan mereka bukanlah berdasarkan cinta tetapi atas pilihan keluarga, Hamdi menerimanya untuk tidak mengecewakan kedua ibu bapanya yang sudah banyak berkorban untuk dirinya.
"Penat?" Hamdi menoleh ke arah Sarah yang sedang mengemas kotak di ruang tamu.
Sarah tersenyum nipis, menarik nafas panjang. "Penat, tapi seronok. Tempat ini cantik. Lain sangat dari kampung," jawabnya sambil memandang sekeliling rumah yang masih berselerak dengan kotak-kotak berpakaian, buku, dan perabot kecil.
"Ini peluang kita nak kenal satu sama lain dengan lebih baik," Hamdi berkata dengan penuh lembut.
Sebagai jurutera di Tenaga Nasional Berhad (TNB), Hamdi sudah terbiasa dengan cabaran, namun perkahwinan adalah satu hal baru yang mencabar dari segi emosi dan tanggungjawab.
Sarah mengangguk perlahan, namun di sudut hatinya masih ada rasa canggung. Sebagai seorang ustazah, hidupnya banyak dihabiskan dalam suasana yang tenang, dikelilingi pelajar dan rakan sekerja yang sependirian.
Hidup di kota besar ini adalah sesuatu yang benar-benar baru baginya. Dalam diam, dia berdoa agar Hamdi dapat memimpin keluarga mereka ke arah yang baik.
"Awak, kita cuba buat yang terbaik ya?" Sarah berkata lembut, berharap kata-katanya akan memberikan sedikit kekuatan pada suaminya.
Hamdi tersenyum, namun sebelum sempat dia membalas kata-kata Sarah, pintu utama diketuk dari luar.
"Eh, siapa pula tu?" mereka saling berpandangan sebelum Hamdi melangkah ke pintu, membukanya perlahan dan di hadapannya berdiri sepasang suami isteri yang tampak ramah.
Wanita itu, Intan, seorang wanita cantik yang ceria dengan senyuman yang mempesona, sambil memegang sebuah bakul kecil berisi kek, memperkenalkan dirinya sebagai jiran di unit sebelah.
"Hai! Nama saya Intan. Saya tinggal di unit sebelah. Selamat datang ke kondominium ini!" katanya ceria. Suaminya, Reza, seorang lelaki tampan dan berkarisma, turut tersenyum menyambut mereka.
Sarah dan Hamdi saling berpandangan, sedikit terkejut dengan keramahan wanita itu. Intan memperkenalkan dirinya sebagai seorang konsultan media yang bekerja di syarikat penerbitan terkenal, manakala suaminya, Reza, adalah seorang usahawan muda dalam industri fesyen.
YOU ARE READING
Perjalanan Hidupku
AventuraKisah tentang pasangan yang baru di ijab kabul, dijodohkan oleh keluarga masing-masing dan memulakan hidup di ibu kota. Dengan latar belakang berbeza, mereka menjalani perkahwinan yang penuh cabaran, terutamanya selepas bertemu pasangan kejiranan b...