Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Mawar menghenyak punggung di atas sofa. Semua pekerjaan rumah tangga sudah siap dilakukan. Dia tidak perlu memasak hari ini kerana suaminya masih belum pulang dari kursus selama seminggu.
Mungkin akan pulang esok atau lusa? Malas dia hendak memikirkannya.
Masak untuk dirinya? Oh, tidak perlu! Dia beli makanan di luar saja. Mudah dan cepat.
Telefon pintar di atas meja dicapai. Niatnya hendak memberi pesanan kepada sang suami. Kebosanan melanda dirinya, maka dia bercadang hendak pulang ke rumah Dato' Azahari.
Tambahan pula, papa dan ibunya akn mengadakan sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 40 tahun pada hari lusa. Jadi, dia bercadang untuk pulang lebih awal ke rumah orang tuanya itu.
[Whatsapp] Mawar Yasmeen : Assalamualaikum. Saya minta izin nak balik rumah papa hari ini.
Terus dia letakkan telefon di atas meja dan berlalu ke kamarnya. Tidak menunggu balasan daripada sang suami, dia terus saja membungkus pakaian dan keperluannya. Usai, dia turun kembali ke bawah.
Capai saja telefon, pesanan balas suaminya sudah terpapar pada papan layar kekunci. Terus dia membuka pesanan tersebut yang dihantar 15 minit yang lalu.
[Whatsapp] My Husband❤️ : Okey. Bawa sekali baju saya. Saya balik nanti terus ke sana.
[Whatsapp] Mawar Yasmeen : Baju yang mana?
[Whatsapp] My Husband❤️ : Baju melayu cekak musang. Warna hitam. Ada dalam kereta, saya gantung. Baju itu baru beli. Saya dah hantar dobi dah basuh, dah siap gosok pun. Baju awak pun ada sekali dalam itu. Baju untuk awak pakai malam majlis itu nanti. Bawa kereta saya pergi rumah papa.
[Whatsapp] Mawar Yasmeen : Ok.
Malas hendak bertanya banyak, Mawar akur.
**********
[Whatsapp] My Clumsy Wife🌹 : Ok.
Najmi hela nafasnya perlahan. Angin daripada bilahan kipas helikopter yang sedang mendarat di hadapannya menampar kuat wajahnya. Namun, lebih kuat tamparan terasa ke hati apabila isterinya membalas pendek pesanannya yang panjang berjela itu.
Sudah hampir satu bulan semenjak pertengkaran itu, dia perasan isterinya itu perlahan-lahan berubah. Tiada lagi soalan-soalan bodoh daripada isterinya itu. Tiada lagi sifat keanak-anakan. Tiada lagi mesej yang panjang berjela. Tiada lagi hantaran gambar-gambar selfie. Tiada lagi hantaran video-video random kepada dirinya.
Namun, tanggungjawab sehari-hari di dalam rumah sebagai seorang isteri tetap dijalankan dengan baik seperti hari-hari biasa. Cuma, mulutnya sudah tidak banyak bicara seperti dulu.
"Berapa dalam luka yang kau dah bagi kat isteri kau, Najmi?" Dia bertanya kepada diri sendiri dengan nada perlahan. Jari-jemarinya laju menari di atas skrin telefon.