Di kejauhan, Lilith sudah bersedia untuk melangkah pergi, meninggalkan tubuh Arturo yang kaku di atas jalanan sunyi. Namun, sebelum dia sempat beranjak, satu bayangan hitam muncul tiba-tiba di hadapannya, seolah-olah diserap dari kegelapan malam. Lilith terhenti, memandang bayangan itu dengan mata menyipit.
Mata bayangan itu berwarna merah menyala, bercahaya samar dalam gelap, menatapnya penuh intensiti. Ia seperti bara api yang hidup, mengingatkan Lilith bahawa yang berada di depannya bukanlah manusia.
Degupan jantung Lilith semakin rancak, tetapi dia berusaha menyembunyikan rasa gugupnya. Dia mengerutkan dahi, memandang bayangan yang dipanggil Emrys itu. Ada sesuatu yang menakutkan tetapi mengasyikkan tentang kehadiran makhluk itu auranya begitu mengancam dan dingin.
Emrys menyunggingkan senyuman tipis, tetapi matanya yang merah tetap memandangnya dengan dingin, tanpa sebarang emosi. “Lilith,” suaranya keluar perlahan, serak, seolah-olah datang dari jauh. “Kau kelihatan tergesa-gesa. Namun, sepertinya aku yang mendahuluimu kali ini.”
Lilith menjeling tajam, menutupi sedikit perasaan tidak senangnya. “Kalau kau dah buat kerja aku, tak perlu muncul di sini. Hilang saja.”
Emrys mendekatkan dirinya sedikit, matanya yang merah kelihatan seperti bara api yang menusuk jauh ke dalam jiwa Lilith. “Mengapa kau begitu terdesak untuk tahu, Lilith? Tidakkah kau sedar, aku ada di sini kerana kau… mengundang aku?”
Lilith mendengus, mengenggam erat pisaunya, meskipun terasa tidak berguna di hadapan makhluk ini. “Aku tak pernah minta sesiapa untuk datang. Apatah lagi… makhluk seperti kau.”
Emrys tertawa kecil, suara gelapnya mengalir seperti racun. “Oh, Lilith… cepat atau lambat, kau akan faham. Namun untuk sementara, aku akan sentiasa di sini, membayangi langkah-langkahmu. Aku adalah cerminan gelapmu dan aku akan tetap ada, sama ada kau suka atau tidak.”
Sebelum Lilith sempat membalas atau bertanya lagi, Emrys hilang begitu sahaja, tenggelam kembali dalam bayangan. Mata merah itu lenyap, meninggalkan kegelapan yang sepi. Lilith berdiri diam, dihantui oleh bayangan merah itu yang seakan-akan terukir dalam ingatannya.
Dia menarik nafas dalam-dalam, namun perasaan aneh tetap mengganggu. Dia tidak tahu siapa sebenarnya Emrys, tetapi kehadiran sosok itu dengan mata merah menyala yang menyeramkan membuatkan dia tertanya-tanya, apakah misteri yang disembunyikan makhluk itu dan bagaimana ia akan terus mempengaruhi hidupnya.
YOU ARE READING
𝐇𝐈𝐒 𝐃𝐀𝐑𝐊 𝐒𝐄𝐂𝐑𝐄𝐓
Misterio / SuspensoDalam dunia yang dikuasai oleh kekayaan dan kekuasaan, Lilith De Belleville adalah seorang wanita muda yang terperangkap dalam belenggu keluarga yang kejam dan tidak peduli. Terlahir dalam keluarga bangsawan, Lilith dikelilingi oleh harta dan kemewa...