LUR | 17

242 86 11
                                    

"SAMPAI hati kau buat aku macam ni…" lirih Maryam, penuh pilu. Bibirnya melengkung sedih. Air mata dibiarkan mengalir menuruni pipi tanpa diseka. Sesekali, hingus turut ditarik agar tidak meleleh keluar. Apalah dosa dia sehingga terpaksa diuji sebegini hari ini, ya Allah?

"Sampai hati kau, kan? Kenapa? Apa salah aku? Cuba kau cakap, apa salah aku? Aku buat semua ni bersebab, tahu tak? Bukan suka-suka. Kenapa kau susah sangat nak faham?" Suara Maryam semakin bergetar, mengiringi titisan air mata yang jatuh ke lantai. Bibirnya bergetar menahan sebak yang semakin mengasak dada. Sungguh, dia tidak kuat untuk terus bertahan.

"Aku mungkin nampak kuat dari luaran, tapi dalaman aku?" Maryam berhenti seketika. Kemudian, dia menggeleng perlahan. "Rapuh. Aku cumalah seorang insan yang lemah imannya dan sentiasa jatuh jika diberi ujian. Andai diberi pilihan, aku pun tak nak buat semua ni. Tapi aku dipaksa! Apa saja pilihan yang aku ada melainkan… eh, Li! Apa ni?"

Terhenti sejenak drama sebabak Maryam tatkala Lily menyumbatkan sesuatu ke dalam mulutnya tanpa sebarang amaran.

"Chewing gum," balas Lily seraya mencapai kuali dan meletakkannya di atas tungku dapur. Minyak dituang dan api dihidupkan.

"Petua ke?"

"Kind of. Aku dulu selalu kunyah chewing gum kalau nak potong bawang. Bunyi macam merepek, but strangely, it works." Lily mula menggoreng dua ekor ikan kembung di dalam minyak yang sudah panas.

"Lah! Kau patut bagi aku dari tadi! Aku dah nak habis potong bawang kut!" tutur Maryam, geram. Banyak kut air matanya tumpah tadi! Matanya juga hampir menjadi buta kerana pedih. Tapi Lily baru nak bagitahu petua itu setelah dia hampir selesai?!

"Manalah aku tahu kau nak nangis masa potong bawang. Pula tu, menyempat buat drama TV3 dekat sini. Menyampah aku tengok!"

Maryam tergelak. Namun, tawanya tidak bertahan lama apabila perutnya tiba-tiba berkeroncong lapar. Sedar yang mereka belum selesai menyiapkan makan malam, dia terus berlalu ke peti sejuk.

Sebiji telur diambil daripada rak lalu dipecahkan ke dalam mangkuk. Bawang yang telah dihiris, garam serta kicap cair turut dimasukkan sebelum dipukul bersama-sama telur sehingga kembang.

"By the way, Budi tak ada kacau kau ke sekarang? Aku perasan sejak dua menjak ni dia senyap lain macam. Ke tu cuma perasaan aku aje?"

Soalan itu membuatkan Lily bungkam untuk beberapa saat. Bukan sebab terkejut, tapi kerana dia baru sedar kata-kata Maryam itu ada betulnya.

Jika dikira, sudah hampir tiga minggu lelaki itu tidak datang mengganggu atau menghubungi Lily untuk meminta duit. Kali terakhir adalah semasa di lorong belakang bank pada pertengahan bulan lepas. Selepas itu, Budi senyap tanpa khabar berita. Langsung tidak datang mengganggu Lily seperti selalu.

Pelik.

Ada sesuatu berlaku pada adiknya ke?

"Li!"

"Ya?" Lily tersentak.

"Ada tak?" ulang Maryam apabila soalannya tidak mendapat jawapan.

"Err… tak ada."

"Serius?" Mata Maryam membulat.

Lily angguk.

"Hebat! Kau buat apa dekat dia sampai Budi dah tak datang minta duit? Ugut nak report polis ke?" tanya Maryam, ingin tahu.

Lily diam seribu bahasa. Dia sendiri tidak tahu punca Budi menyepi. Separuh hatinya risau akan keselamatan dan keberadaan si adik.

Buatnya ada sesuatu terjadi pada Budi, macam mana? Dengan sikap Budi yang panas baran dan suka mencari gaduh, tak mustahil untuk lelaki itu tak terlibat dalam masalah.

Lily Untuk Raqib [C]Where stories live. Discover now