KBYS | BAB 1

12 4 0
                                    

SUASANA pagi yang ceria dan damai seusai subuh itu terganggu dek tangisan kecil Faizah. Entah mengapa hatinya jadi takut dan risau saat menatap wajah sendiri pada cermin muka. Parut yang terdapat pada bahagian pelipis dan hujung pipi kirinya sedikit sebanyak menggugat keyakinan Faizah saat itu.

Walaupun dia belum mula bersekolah pada hari tersebut, dia sudah berasa tidak yakin dengan diri sendiri. Dia takut sekiranya ada rakan-rakan pelajar yang akan mengutuk dan membulinya di sekolah nanti.

“Ija? Masya-Allah… kenapa anak ayah menangis pagi-pagi buta ini? Ada apa-apa yang Ija sorokkan daripada ayah ke? Cuba cerita,” pujuk Azhar dengan ton suara yang tenang dan lembut. Dia terkejut melihat anaknya yang menangis sendirian di dalam bilik setelah pulang dari masjid seusai menunaikan solat subuh tadi.

“Ija tak cantik… nanti kalau pergi sekolah, mesti ramai yang ejek Ija.” Anak itu sampaikan tersedu-sedan kerana terlalu lama menangis.

“Siapa kata anak ayah tak cantik? Hm? Ija cantik tau. Dahlah cantik, comel pula itu.” Azhar merendahkan badan separas dengan Faizah. Tangan kiri diletakkan pada bahu si anak, manakala tangan kanan naik mengelap mutiara jernih yang membasahi pipi merah Faizah.

“Tapi Ija ada parut dekat sini. Mesti ramai yang tak nak kawan dengan Ija nanti,” kata Faizah. Dia menunjukkan kedudukan parut itu kepada Azhar.

“Jangan cakap begitu. Ija kena ada keyakinan. Dengan keyakinan, akan munculnya kekuatan dalam diri. Bukan tak boleh merendah diri, tapi jangan berlebihan sehingga merosakkan tembok kekuatan kita.” Ujaran tersebut membuatkan Faizah tunduk menekur lantai.

“Ija… pandang ayah.” Dagu anaknya disentuh lembut. Faizah mengangkat muka.

“Ija, kan ayah selalu pesan dekat Ija, walau apa pun yang kita hadapi, tahulah yang Allah sentiasa ada dengan kita. Biarlah orang nak ejek pun, abaikan saja. Serahkan kepada Allah. Kelak Dia yang akan beri hukuman kepada orang yang menyakiti kita itu. Sabar, okey?” Rambut lebat Faizah dielus perlahan.

“Okey, ayah.” Faizah terus memeluk erat tubuh ayahnya. Azhar cuma membiarkan anaknya memencilkan diri di dalam pelukan tersebut. Asalkan si kecil itu tidak menangis dan memendam perasaannya sendirian.

“Jom, kita turun bawah. Sarapan dulu. Ayah lapar ini.” Azhar meleraikan pelukan lalu dia berdiri. Faizah terus mendongak tinggi memandang wajah ayahnya.

“Jom! Ija pun lapar,” ujar Faizah. Dia memimpin tangan Azhar semasa menuruni anak tangga. Manja!

— — —

BAHU Faizah dirangkul sambil membawa anak itu ke hadapan pagar sekolah. Azhar segera menyapa seorang guru lelaki yang sedang menyambut kehadiran pelajar di situ dengan ucapan salam terlebih dahulu. Guru yang bernama Mohd Nafis itu menjawab ucapan salam bersama senyuman manis.

“Ya, encik? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” soalnya. Azhar mengangguk kecil.

“Maaf, cikgu. Anak saya baru masuk sekolah hari ini. Dia tak tahu kelasnya dekat mana. Saya nak minta bantuan cikgu tunjukkan laluan untuk ke kelas dia,” pinta Azhar.

“Boleh. Anak encik kelas apa ya?” Cikgu Nafis bertanya lagi. 

“Kelas 4 Al-Biruni,” beritahu Azhar. Cikgu Nafis membulatkan bibir.

“Tak apa, encik. Nanti saya minta bantuan daripada pengawas untuk bantu anak encik ke kelas. Insya-Allah,” balas Cikgu Nafis.

Alhamdulillah. Terima kasih, cikgu.” Azhar menundukkan kepala sedikit tanda terima kasih. 

“Sama-sama.” Cikgu Nafis membalas.

Azhar menjatuhkan kepala menatap Faizah. Tangan kanan menyentuh ubun-ubun kepala anaknya yang dilitupi tudung putih sekolah.

KU BUKAN YANG SEMPURNA (E-BOOK)Where stories live. Discover now