FAIZAH mendongak tinggi memandang wajah ayahnya. Sesekali matanya terasa pedih tatkala cahaya mentari menerobos masuk ke dalam retina. Dia terkelip-kelip sambil menggosok mata sebelum kembali menatap si ayah.
“Ija okey ke dengan rumah ini? Suka?” soal Azhar. Dia membawa tubuh kecil Faizah ke dalam dukungan. Tangan kiri naik melindungi muka anaknya daripada terkena cahaya matahari.
“Suka! Rumah ini cantik.” Balasan daripada si anak itu mewujudkan rasa syukur di dalam hati Azhar.
“Tapi… Ija kena pindah sekolah lain. Boleh ke? Ayah risau pelajaran Ija terganggu sebab asyik tukar sekolah,” nyata Azhar. Faizah lantas memapar senyuman manisnya.
“Ayah ini… kan ayah juga yang pesan, sekolah dekat mana-mana pun sama saja. Asalkan niat kena betul kerana Allah. Ayah lupalah itu,” kata anak itu.
“Bijak anak ayah ini.” Azhar mencubit lembut pipi Faizah.
Azhar menurunkan Faizah dari dukungan lalu menyuruh anak itu masuk ke dalam kereta. Dia kemudiannya mendekati pemilik rumah itu untuk meneruskan urusan penyewaan.
— — —
BEG sekolah digalas dengan penuh bersemangat sambil berjalan ke arah kelas baru setelah ditunjukkan arahnya oleh seorang guru. Bibir delimanya tidak lekang dengan senyuman manis. Setibanya di hadapan pintu masuk sebuah kelas, Faizah mendongak sedikit ke arah sekeping papan tanda kecil berwarna biru gelap yang terdapat di atasnya tulisan berwarna putih.
Kelas 4 A-1
Faizah melangkah masuk ke dalam kelas itu setelah mengucapkan salam. Dia bertemu dengan guru yang sedang mengajar dan memaklumkan kedatangannya secara sopan dan berbudi bahasa.
Guru yang bernama Ikmal itu menyuruhnya memperkenalkan diri kepada rakan sekelas yang lain. Faizah mengangguk kecil tanda setuju dan mula menyatakan nama dan tempat tinggal kepada pelajar lain.
Setelah itu, dia dibenarkan duduk di belakang seorang pelajar lelaki yang memakai songkok. Pelajar itu menayangkan senyuman kecil ke arahnya. Faizah tidak membalas, sebaliknya menunduk sedikit ke bawah dan terus melabuhkan duduk di atas kerusinya.
Sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa sehinggalah Cikgu Ikmal keluar selepas waktu pengajaran subjek Bahasa Inggeris tamat. Pelajar lelaki itu memusingkan badannya menghadap ke arah Faizah.
“Hai, nama saya Umar. Selamat berkenalan!” Pelajar itu memperkenalkan dirinya dengan ramah. Dia menghulurkan tangan ingin bersalaman. Tetapi Faizah cuma meletakkan tangan kanan di dada dan menunduk sedikit. Umar berkerut seketika dengan mulut yang ternganga kecil.
“Kenapa awak tak salam saya? Awak tak nak kawan dengan saya ke?” tanya Umar, polos. Dia dihurung rasa pelik. Faizah tertawa halus mendengar ujaran Umar itu.
“Sebab kita bukan mahram. Ayah saya cakap, kita tak boleh bersentuhan dengan orang yang bukan mahram kita. Dosa.” Faizah menjelaskan secara ringkas. Dan ia tidak dapat difahami oleh Umar. Lelaki itu menggaru kepala meskipun tidak gatal.
“Maksudnya?” ujar Umar.
“Kita kan tak ada pertalian darah. Senang cerita, kita bukan keluarga. Lagi satu, awak lelaki, saya pula perempuan. Tak boleh salam!” Faizah senyum dengan manis. Umar membulatkan bibir. Dia sudah faham penjelasan gadis kecil itu sekarang.
“Kenapa awak pindah sini?” Umar ingin berkenalan secara lanjut.
“Awak betul-betul nak tahu ke?” Faizah sejujurnya tidak tahu bagaimana untuk menceritakan kepada Umar.
“Ceritalah… nak tahu,” kata Umar.
“Rumah lama saya terbakar. Sebab itu saya pindah.” Itu sahaja ayat yang terhambur dari mulutnya. Terjegil mata Umar ketika itu.
YOU ARE READING
KU BUKAN YANG SEMPURNA (E-BOOK)
General Fiction﷽ - SYUHADAH 9th BOOK "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, surah at-Tin ayat empat. Allah pun dah beritahu dalam kitab Dia bahawa Dia ciptakan kita dalam keadaan yang terbaik. Kenapa kita nak nafikan apa yan...