Kafe itu sudah hampir kosong ketika Liyana Idayu melangkah masuk. Bunyi loceng kecil di pintu mengiringi ketibaannya, tetapi tiada siapa yang benar-benar menyedari kehadirannya. Kafe ini menjadi tempat dia melarikan diri setiap kali malam terasa terlalu sunyi. Di sini, kesunyian malam dirasakan sedikit hangat, ditemani dengan aroma kopi yang segar.
Liyana mengambil tempat di meja kegemarannya, di sudut berhampiran tingkap, membolehkan dia melihat ke luar. Hujan rintik-rintik mula turun, mengaburkan pandangannya terhadap dunia luar. Namun, dia suka akan suasana ini , seolah-olah segala kekusutan dalam hidupnya dicairkan bersama titisan hujan.
"Latte, seperti biasa?"
pelayan kafe, Encik Johan, bertanya sambil tersenyum mesra.
Liyana mengangguk.
"Ya, seperti biasa."
Encik Johan mengangguk dan beredar untuk menyiapkan pesanannya. Dia sudah biasa dengan pelanggan yang suka duduk lama tanpa banyak berkata-kata. Namun, kali ini, kehadiran seseorang lain mengganggu keheningan rutin malam Liyana.
"Tak sangka jumpa awak lagi,"
suara Aqeel Alexander tiba-tiba bergema di sebelahnya.
Liyana terkejut kecil, tetapi kemudian tersenyum tipis.
"Saya rasa kota ini memang kecil kalau malam-malam begini."
Aqeel duduk di hadapan Liyana tanpa perlu dijemput, seolah-olah kedatangan mereka ke tempat ini sesuatu yang semulajadi. Dia meletakkan kameranya di atas meja, lensa yang besar sedikit berembun akibat hujan di luar.
"Suka suasana hujan?" Aqil bertanya, menoleh ke arah tingkap.
"Sangat suka. Hujan buatkan semuanya lebih tenang,"
jawab Liyana, pandangannya masih pada titisan hujan yang turun di luar.
Aqeel tersenyum sambil mengambil kamera dan membelek lensa.
"Saya rasa hujan buatkan gambar-gambar nampak lebih hidup. Semua jadi lebih dramatik, lebih bermakna."
Liyana menoleh sedikit, tertarik dengan pandangan Aqeel.
"Awak selalu tangkap gambar waktu hujan?"
"Kalau boleh, ya. Hujan punya cara sendiri untuk menceritakan kisahnya,"
jawab Aqil sambil memandang ke arah Liyana.
"Awak tak kisah kalau saya ambil gambar awak?"
Liyana terkejut.
"Gambar saya?"
"Ya. Ada sesuatu tentang cara awak melihat hujan... seolah-olah awak dan malam ini adalah sebahagian dari cerita yang sama,"
Aqeel menerangkan dengan nada lembut.
Liyana terdiam sejenak, tidak pasti bagaimana hendak menjawab. Dia tidak suka berada di hadapan kamera, tetapi cara Aqeel menyuarakan permintaan itu membuatkan dia merasa anehnya selesa.
"Okay... tapi jangan buat saya nampak pelik,"
katanya sambil ketawa kecil, cuba menyembunyikan rasa gugup.
Aqeel tersenyum dan mengangkat kameranya, fokus pada Liyana yang sedang melihat ke luar. Kilat petir yang sesekali memancar di kejauhan memberi cahaya tambahan kepada wajahnya. Ketika itu, Aqeel menyedari betapa malam dan hujan telah benar-benar menjadikan Liyana sebahagian daripada cerita yang cuba dia tangkap.
Klik! Bunyi kamera berbunyi, mengabadikan momen yang indah itu. Liyana tersenyum sedikit, tetapi dalam diam dia merasa seolah-olah dia sedang membuka satu bahagian dirinya kepada Aqeel , sesuatu yang jarang dia lakukan dengan orang lain.
"Kenapa awak suka malam sangat?"
Aqeel bertanya tiba-tiba, memecahkan keheningan di antara mereka.
Liyana menghela nafas perlahan.
"Malam buat saya rasa bebas. Saya boleh jadi siapa saja yang saya mahu tanpa perlu peduli apa orang lain fikir."
Aqeel mengangguk.
"Saya faham. Saya rasa sebab itulah saya juga lebih hidup di waktu malam. Ada ruang untuk kita bernafas dan jadi diri kita sendiri."
Liyana memandangnya, merasa seolah-olah mereka berkongsi perasaan yang sama walaupun baru kenal. Kesunyian malam yang biasanya menenangkan dirinya, kini dirasakan lebih bermakna dengan kehadiran Aqeel. Entah mengapa, dia merasa bahawa Aqeel memahami sesuatu tentang dirinya yang orang lain tidak pernah fahami.
"Ada masanya... saya rasa saya tak boleh hidup dalam dunia siang. Ia terlalu terang, terlalu bising," kata Liyana, suaranya rendah dan hampir tenggelam dalam bunyi hujan di luar.
Aqeel tersenyum lembut.
"Mungkin sebab itu kita berdua hidup dalam malam."
YOU ARE READING
𝐌𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐓𝐀𝐍𝐏𝐀 𝐌𝐈𝐌𝐏𝐈
Romance𝐋𝐈𝐘𝐀𝐍𝐀 𝐈𝐃𝐀𝐘𝐔 terperangkap dalam dunia malam sejak penyakit insomnia menguasai hidupnya. Setiap malam, ketika orang lain lena dibuai mimpi, dia merayau-rayau di kota, mencari ketenangan yang seolah-olah tidak pernah menjengah hatinya. Di...