Dua tiga hari kebelakangan ini, kediaman rasmi pegawai daerah yang terletak di atas bukit menghadap ke laut itu sibuk dengan urusan perpindahan. Beberapa orang pekerja keluar masuk, menguruskan barang-barang— mengemas, menyusun dan mengatur perabot. Dari depan ke dapur, dari bilik bacaan ke bilik tidur. Dari ruang makan ke ruang tamu. Atas dan bawah, di dalam dan di luar rumah. Hari itu, segalanya beres. Semuanya lengkap, tersusun sempurna. Gambar-gambar digantung ke dinding, perabot mewah cantik menghiasi ruang tamu dan aroma masakan memenuhi udara bercampur dengan angin sepoi-sepoi yang membawa masuk bayu laut melalui jendela yang terbuka.
Sophia bersandar pada bingkai tingkap bilik tidurnya di tingkat dua. Pemandangan dari sudut itu merentang ke pantai. Langit biru diselaput awan putih selembut kapas melayang malas. Di bawahnya, jalan batu berbelok-belok di antara rumah-rumah berbumbung atap genting. Dia melepaskan pandangan ke laut yang terletak di kejauhan— luas dan indah berkilauan di bawah cahaya matahari petang. Sebuah ketenangan luar biasa menyelinap ke dalam hatinya. Apa yang terbentang depan mata kelihatan begitu santai, damai, itu terbukti. Tapi apa yang dia rasai ketika ini, begitu aneh— seperti pernah dia rasai sebelumnya— sebuah keindahan yang pernah singgah dalam hidup atau mungkin dalam mimpi.
Selama bertahun-tahun menjadi warga kota dan bandar-bandar yang sibuk dan serba moden, kesempurnaan di Tanjung Bayu tak layak dijadikan tandingan. Sophia berasa begitu selesa di tempat baru, seolah-olah itulah rumahnya yang sebenar, sebahagian daripada dirinya.
"Phia, turunlah! Kita jalan-jalan ke pantai." Kedengaran suara ibu melaung, memanggil dari tingkat bawah.
Segera dia meraih sunhat— kegemaran terbaru yang dia pilih di pasar malam semalam. Topi yang dianyam ringkas itu mengingatkan dia tentang seorang gadis pulau yang pernah dia baca dalam sebuah buku cerita. Dia selalu berangan, dialah gadis itu— memakai topi pantai, dengan gaun ungu cair seperti warna langit senja, berkaki ayam, bebas menikmati lembut pasir dan air laut.
Sophia menyertai orang tuanya. Ibunya, Puan Kamalia Mohktar sedang menyapu pelindung matahari pada lengan dan muka. Sejurus itu, dia membantu anak gadisnya pula menyapukan losyen yang sama di lengan, tangan, leher, muka dan kaki.
Keluarga Encik Suffiyan Hafizi menuruni bukit melalui anak-anak tangga yang berlumut, menyusuri jalan sempit yang menghala arah pantai. Mereka melintasi kedai-kedai kecil dengan cat yang dah merekah. Kedai-kedai itu menjual pelbagai hasil laut dan tanaman kampung juga kraftangan. Penduduk tempatan yang mengusahakan perniagaan kecil tersebut tersenyum mesra sambil memberi salam— satu kelainan sebenarmya— lebih mesra daripada pandangan acuh tak acuh yang selalu mereka terima di bandar.
Encik Suffiyan melambai pada hampir setiap orang yang lalu lalang. Dia menerangkan kepada anak-anaknya bahawa itu adalah sebahagian daripada tugas— bertemu 'orang baru', sama seperti dia menguatkuasakan peraturan. Mengambil beberapa detik berbual mesra dengan seorang peniaga, Encik Suffiyan turut menyatakan kekagumannya terhadap bandar yang cantik dan permai itu.
Pantai terletak tak berapa jauh dari rumah baru mereka, hanya beberapa minit berjalan kaki. Ia dibingkai oleh tebing dan sebuah pelabuhan kecil. Sophia menarik nafas panjang sebaik saja kakinya menyentuh pasir, membiarkan bayu dari laut memenuhi paru-paru. Burung camar berkicauan di atas kepala, menyatukan nyanyian mereka dengan desiran ombak.
"This place feels like a hidden treasure," katanya, hampir berbisik, tak mahu merosakkan keajaiban di sekeliling.
Ibunya tersenyum. "It does, doesn't it?"
Sophia memerhati abang-abangnya yang menendang pasir, saling mencabar satu sama lain untuk berlumba lari ke arah tepi air. Dia ketawa sambil menggeleng kepala. Kamal dan Kamarul, sentiasa bersaing. Kedua-duanya selalu nak jadi lebih hebat dan terbaik. Sophia terasa bahagia apabila keluarganya dapat meluang masa, berkongsi pengalaman bersama-sama.
YOU ARE READING
Konserto Untuk Sophia
RomanceKonsert untuk Sophia merupakan sebuah 'konsert' yang diterjemahkan dalam bentuk novel, mengorkestrasi pergelutan emosi dua remaja. Berjumpa dan dipisahkan. Bertemu semula dan dipisahkan lagi hingga akhirnya takdir memutuskan untuk berhenti menduga. ...