"Betul ke Adam tak kenal dia? Mata awak tu asyik ikut gerak geri dia," usik Puan Faizah.
Adam mengeluh berat sambil menyandarkan tubuh ke kerusi. Dia melipat tangan di dada, cuba mempamerkan aksi 'marah' yang jelas kelihatan palsu. Namun, wajahnya yang mula memerah kerana malu lebih menghiburkan kedua orang tuanya.
"Tengok tu, Faizah. Anak kita dah besar tapi perangai macam budak kecil. Siapa yang ajar dia ni?" Tuan Hakim bersuara sambil menahan gelak.
Adam menggelengkan kepala, tidak mahu melayan usikan mereka lagi. Dia mengangkat tangan dan mula berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
"Ibu dengan ayah memang suka buli anak sendiri, kan? Bukan saya tengok dia lama-lama. Saya cuma... tertarik dengan cara dia pegang sudu tu," jelasnya sambil memandang mereka dengan wajah masam.
Puan Faizah tersenyum nakal, membaca isyarat itu dengan mudah.
"Cara dia pegang sudu pun boleh buat kau tertarik? Anak ibu ni memang pelik betul. Kalau suka, cakap sajalah. Tak perlu alasan pelik-pelik."
Adam menghela nafas berat sebelum menggerakkan tangannya dengan gerakan perlahan, jelas tidak berpuas hati.
"Saya cakap betul-betul ni, ibu. Bukan suka-suka."
Kemudian, dia berdiri dengan tergesa-gesa dan memberi isyarat singkat.
"Eh, lupa nak tambah kuah!" sebelum berpura-pura menuju ke meja hidangan.
Puan Faizah dan Tuan Hakim hanya menggeleng kepala melihat kelakuan anak bujang mereka yang satu itu.
-----
"Ye, encik? Encik ada nak pesan makanan ke?" tanya pelayan yang berdiri di hadapan Adam dengan sopan.
Adam terpinga-pinga seketika. Dia tiada niat untuk memesan apa-apa, tetapi kerana terlalu asyik memikirkan usikan ibu dan ayahnya, dia berdiri di situ tanpa sebab.
'Semua ini salah mak dengan abah!' keluhnya dalam hati.
Dia memaksa dirinya tersenyum, walaupun senyumannya kelihatan janggal. Kemudian, dia menggelengkan kepala perlahan, memberi isyarat bahawa dia tidak memerlukan apa-apa sebelum berpaling untuk kembali ke meja.
Namun, langkahnya terhenti dengan tiba-tiba.
'Bam!'
Adam terdorong ke belakang dek pelanggaran kuat dengan seseorang. Dia terkaku, memandang sosok tubuh seorang gadis yang kini berada di hadapannya.
"Aduh! Sakitlah! Mata awak letak mana ni?" bebel gadis itu dengan nada geram. Dia membongkok untuk mengutip barang-barangnya yang bertaburan di lantai.
Adam pula masih berdiri seperti batu. Dia tidak percaya apa yang dilihatnya.
'Bukankah dia dah keluar tadi? Macam mana boleh ada di sini lagi?' fikir Adam, kebingungan.
Gadis ini adalah orang yang sama dengan sosok yang bermain dalam fikirannya sejak tadi.
Namun sebelum dia sempat memahami situasi itu, suara gadis tersebut memecah lamunannya.
"No!" jerit kecil gadis itu, membuatkan Adam tersentak.
Dia memandang gadis tersebut, yang kini memegang komputer riba di tangannya. Skrin komputer itu retak teruk, dan wajahnya kelihatan bergetar antara mahu menangis dan menahan marah.
Adam menggigit bibirnya, rasa bersalah mula membuak. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dengan pantas, cuba menaip sesuatu di aplikasi nota untuk menjelaskan situasi itu. Namun, belum sempat dia menunjukkan skrin kepada gadis itu, mata mereka bertemu.

YOU ARE READING
Tiada Yang Sempurna | Violet Emeline
RomansaAdam Afqar, seorang lelaki tampan dan berjaya, memiliki segala-galanya yang diinginkan oleh ramai orang. Namun, di sebalik segala kelebihan itu, dia menyimpan satu kekurangan yang tidak dapat diubah - dia bisu. Sejak lahir, Adam tidak pernah mampu b...