Lalu Tuhan letakkan gegelung nyawa dan neon hologram di atas kepala untuk pengunjung-pengunjung sebuah supermarket. Lalu timbul nama-nama atas kepala yang DIA rasa perlu untuk dimasukkan di dalam cerita. Raihan sedang membelek bra. Sanji sedang membelek spender. Ali Gila dan bapanya sedang duduk di kantin dan makan bihun sepinggan dua. Shereen sedang melihat-lihat dirinya sendiri di dalam barisan cermin. Inggi pula di bahagian sayur sedang memilih kobis bunga dan juga daun ketumbar. Latif di dalam BORDERS. Uban pula sibuk menghantar ais di Restoran Nasi Kandar yang melekat sekali dengan supermarket. Masing-masing, mungkin pernah berselisih, tapi itu mungkin selisih angin. Lalu ada juga jurutunai-jurutunai wanita yang bernama Rogayah, Junaidah, Amirah, dan juga Faridah yang sedang sibuk mengimbas barang-barang yang dibeli. Saat Junaidah mengimbas deodoran seorang pelanggan, guruh di luar garang menyahut. Masing-masing yang pernah disebut nama berkata di dalam hati, "uish, nak hujan ni."
Itu bermakna rahmat dalam perjalanan dan aku harus laju dalam kayuhan. Kayuh, San, kayuh! Bayang kian hilang bila mendung datang menyapa. Nampak gaya, rahmat akan lebat. Ada bunyi vespa datang dari jauh. Bunyinya hingar tapi mendamaikan dalam segenap cara. Vespa biru laut lalu di sebelah aku sambil penunggangnya sengih seperti tiada masalah. Aku kuli Run To You; syarikat kurier yang punya saham dalam Bursa Malaysia. Sambil kayuh, kotak di dalam beg keluar bunyi. Ia mendesak untuk suruh aku berhenti. Ini tak boleh jadi. Aku nekad di stesen bas. Apa nak jadi, jadilah. Aku lihat sekeliling. Ini kes pos pertama yang terjadi sebegini. Aku berani diri buka bungkusan. Ada buku tebal dan telefon di tengah lubang buku. Lubang D.I.Y. Aku tahu apa-apa yang terjadi selepas ini adalah di atas bahu aku. Telefon mendesak dan aku agak takut-takut. Tapi bab perasaan, mana boleh kita lawan.
Nombornya kepala 7. Orang kampung kata itu nombor bawa ong. Degup-degup berdebar seperti hipnagogik pop. Cepat angkat, San, cepat. Aku kuatkan diri. Aku tidak boleh berhenti separuh jalan dan aku memilih untuk jawab. Pergi mampus semua ragu dalam hati.
"Negatif, negatif! Tukar plan B!"
Telefon diletak. Otak berontak dan jantung lari deras. Aku berharap yang panggilan tadi adalah panggilan salah nombor. Aku balik ke pangkal jalan. Aku balut semula bungkusan Dijah. Saat akhir bungkusan dikedap, telefon berdering lagi. Aku biarkan saja bunyi itu bergema dari dalam. Biar ia meronta sendiri. Aku ketatkan kembali tali Boost, regangkan kaki dan mula kayuh kembali ke alamat Dijah. 8, Lengkok Setiabudi, Bukit Damansara. Bunyi dering masih lagi tak berhenti. Aku kayuh dan terus kayuh. Aku lihat GPS di jam tangan. Aku hanya perlu kayuh untuk 2 minit 30 saat sahaja lagi. Kayuh ke atas bukit untuk beberapa ratus meter dan kemudian belok ke kanan untuk Lengkok Setiabudi. Sebenarnya kayuh adalah sistem sokongan untuk syarikat yang juga menggunakan motor dan van. Aku boleh pilih salah satu. Tapi aku lebih yakin kepada konsep bersenam sambil bekerja. Fit Malaysia kata KJ. Mungkin barang yang aku dapat hantar dalam kuantiti sedikit, tetapi mata aku akan lebih peka dengan keadaan sekeliling kerana setiap kayuhan aku dirakam oleh helmet go pro. Jarak tinggal 100 meter lagi. Aku brek. Aku kayuh lagi. Aku brek balik. Aku sudah nampak rumah no.1, 3, 5, 7. Rumah nombor 8 tiada nombor. Cuma pagar rumahnya unik. Sisi besi membentuk nombor 8 di tengah. Go pro sedang merakam sekeliling. Dari rumah kiri-kanan sehinggalah rumah yang berhadapan.
"Helo, Run To You di sini. Saya hantar bungkusan untuk Dijah Dijon."
"Masuklah dulu, Sanji."
Ini pelik. Dia kenal aku dan aku macam pernah kenal dia. Itu suara abang yang dah lama menghilang sepi. Aku ingin masuk cepat ke dalam rumah dan melihat figura di sebalik suara. Pagar dibuka dan go pro ligat merakam suasana dan suara yang ada. Pintu depan rumah terbuka sendiri. Aku lihat dari jarak 30 meter dekor rumah. Aku rasa teruja. Ala-ala vintaj dan juga sedikit campuran kampung India. Aku nampak sebuah lukisan kerbau-kerbau, dagang pak malau yang dilekap. Itu barang baik dari Rajawali Art Gallery. Aku langkah masuk ke rumah tanpa salam. Tuan rumah dua tingkat itu menyuruh aku duduk dulu di kusyen yang ada. Rumah bau pandan ini mengingatkan aku pada Pesta Pondan Pandan di Siam tahun lepas. Setiap arbok yang datang pasti punya daya kreatif yang tinggi dengan bakul penuh pandan yang dibawa. Ada dibuat bentuk bunga dan ada juga yang membuat payung dengan helai-helai pandan yang ada. Sepertinya bentuk pisang juga tidak terlepas daripada lincah tangan mereka. Mujur ada beberapa apai yang faham ketika aku bertutur bahasa Melayu. Err, sebelum aku beritahu tentang pesta ini lebih jauh, aku lurus dan hanya suka perempuan. Tak percaya boleh periksa nadi paha.
YOU ARE READING
DANDAN - sebuah novel Asyraf Bakti
RandomSanji lari ke Krabi bukan untuk melihat seni batang berdiri. Tapi mencari Nur yang tak pasti. Mencari Nur yang hilang di tengah-tengah Latiff Jamhadi. Mesin taip diketuk hingga berlekuk kertas kajang empat panjang. Gigi-gigi harmonika basah lekit te...